Selasa, 09 Maret 2010
Bicara Hujung Benua
Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) yang terdiri daripada ahli-ahlinya seramai 40 orang telah membuat lawatan kunjungan ke Johor pada 6-7 Mac yang lalu. Kedatangan mereka ini sebagai kunjungan balas lawatan PPJ ke Selangor pada tahun lepas.
Sempena pertemuan PPJ-KEMUDI itu telah diadakan majlis pengucapan puisi ‘Hujung Benua’ dan juga sesi dialog. Semasa mengelu-elukan kedatangan KEMUDI , Sdr. Amiruddin Ali Hanafiah, Ketua Satu PPJ menyatakan bahawa pertemuan seumpama ini seharusnya dapat membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada perkembangan sastera dan bahasa bagi kedua-dua pihak, khususnya bagi perkembangan sastera tanah air. . Memang benarlah, dalam dialog yang hangat sesekali diselangi jenaka itu ada nada-nada yang masih sinis terhadap beberapa perkembangan yang menimpa nasib bangsa, bahasa dan sastera Melayu. Kehilangan ‘Batu Putih’ masih menjadi isu, kerana kebanyakan peserta dialog merasakan kita seharusnya jangan lagi dihadapkan dengan kehilangan-kehilangan lain seperti kehilangan bahasa dan budaya. Pandangan Dr. Ibrahim Ghafar dan Khalid Salleh begitu jelas terhadap isu tersebut. Sebagai penulis kita harus menjalankan peranan kita. Kita bukan menentang, tetapi tugas kita sentiasa mengingatkan agar kita semua jangan lalai.
Sesungguhnya pertemuan dua hari di Tanjung Piai Resort, hujung benua itu telah mencetuskan inspirasi ‘sedar-budaya’ kepada penulis-penulis Johor- Selangor, untuk terus berperanan secara aktif dan kreatif ketika menyentuh sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.
Malam pengucapan puisi ‘Hujung Benua’ pula diisikan dengan bacaan sajak oleh beberapa orang penulis PPJ dan KEMUDI seperti Rosli Bakir, Zulkifli Jamadar, Khalid Salleh, Ria Asmira, Amiruddin Ali , Yahya Suib, Sulaiman Md. Nor, Hamzah Hamdan, Nurzihan Md. Jan, Abu Hassan Ashari, Mohd. Khair Ahmad, Ismail Supandi dan Mahwa Mohamad. Lain-lain penulis KEMUDI yang turut hadir termasuklah Kasajiza A.S dan Hamisal
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
3 komentar:
Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Saya terasa begitu ralat kerana tidak dapat bersama-sama mengucup damai piai, menghirup nafas bayu segara, dan menekuni bait puisi lontaran penyair hebat. Saya terasa begitu ralat kerana dalam banyak pertemuan, saya terkurung dalam sangkar tuntutan yang beragam. Mudah-mudahan, Bicara Hujung Benua yang ada di tangan mampu menawar rasa. Tahniah kerana PPJ makin galak berwacana di pentas ilmiah. Suatu hari nanti, saya pasti akan kembali...bertemu dengan rakan dan saudara untuk sama-sama berbicara tentang nasib bahasa, sastera, dan nasib bangsa.
Azhar,
Saya memahami bagaimana sibuknya sifu setiap hari. Lebih-lebih lagi dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa, di samping tugas memberi kursus-kursus sebagai Munshi. Apa yang penting selagi Azhar tidak meninggalkan kegiatan berkarya, seperti menulis puisi itu adalah lebih baik. Berpersatuan ini, cuma untuk berjumpa teman dan sebagai motivasi sahaja.
Begitulah apa yang penting, terus menulis.
Tuan Haji Shapiai,
Saya hanya tumpang gembira...
Posting Komentar