Selasa, 05 Juli 2011
Menambat Hidayah
1
Seekor kuda tiba-tiba berada di halaman rumah. Meragut-ragut rumput yang kebetulan sedang tumbuh subur.
‘Bagaimana mungkin ada kuda?’
Itulah yang difikirkan Maulud. Ini bukan negara kuda. Mana mungkin tiba-tiba saja seekor kuda perang bertompok-tompok kehitaman muncul begitu saja. Kalau kambing, lembu atau kerbau munasabah juga. Ini kuda.
Adakah kerana dia sudah sembuh daripada sakit yang lama, kuda muncul untuk menyatakan rasa senangnya. Kuda yang kelihatan begitu jinak. Sehingga Maulud datang hampir, membelai-belai belakangnya, kuda seperti membiarkan saja elusan persahabatan itu. ‘Engkau datang saat aku kesunyian setelah sembuh dari sakit yang lama. Engkau adalah sahabatku kini. Aku namakan kau ‘Hidayah.’
Lalu kuda terus berlari-lari dalam dirinya. Berlari-lari dalam fikirannya. Berlari-lari melompat dari fikiran ke hati, ke dalam urat nadi dan darahnya. Melompat ke padang-padang ragut perasaan yang lebih lapang.
Seperti biasa Maulud akan berada di halaman rumah pusakanya, duduk di bangku kayu sambil memandang ke arah banjaran gunung. Banjaran gunung itu bermula dari tasik Bukit Merah kemudian semakin tinggi bila menganjur ke arah Gunung Semnggol.
Lalu ramailah orang-orang kampung berdatangan untuk melihat kuda di halaman hidupnya ini. Mereka mengkaguminya. Mereka bercakap-cakap tentang kuda yang tiba-tiba muncul itu. Ada yang menyatakan tentulah kuda ini kuda sarkis yang terlepas. Lihatlah ia nampak begitu jinak. Ada juga yang menyatakan bahawa kuda itu kuda lumba berdasarkan faktor bangun tubuhnya yang sasa.
Anak-anak lebih lagi. Mereka cuba menyelidiki kemungkinan kuda itu boleh ditunggangi.
Memang Maulud tidak menambatnya. Bila-bila masa sahaja kalau ia mau boleh saja pergi. Tapi Hidayah tetap di situ, meragut-ragut rumput yang subur di halaman.
Memang ramai yang mencadangkan agar kuda itu ditunggang. ‘Apa perlunya ada kuda kalau bukan untuk ditunggang,’ ujar mereka. ‘Ayuh, tungganglah!’
Kalau tidak biar saja mereka mencubanya. Begitu mereka mencadangkan sesuatu yang di luar kehendak Maulud. Memang kuda wujud untuk diperkuda. Begitukah? Memang manusia ini suka kepada binatang-binatang jenis yang boleh ditunggang.
‘Biarlah Hidayah di situ!’ Dia tidak menyukai saranan mereka.
Satu hari yang lain datang Tok Ketua. Dia beria-ia ingin meminjam Hidayah. Katanya ada tugas penting di kepala bendang sana. Dia ingin menunggang Hidayah.
‘Cubalah kalau ia mau.’ Balas Maulud..
Memang Hidayah menolak. Dia tidak mahu ditunggangi. Dia mencampak Tok Ketua kembali jatuh ke tanah. Hidayah kelihatan tenang tetapi dalam ketenangannya ada keengganan. Sehingga Maulud datang menghampiri dengan hati-hati. Mengusap-usap belakangnya.
‘Hidayah!’ Maulud cuba memujuk.
‘Tok Ketua bermaksud baik. Dia cuma ingin pertolongan.”
Hidayah seolah-olah mengerti. Mengangguk-anggukkan kepala.
Maulud memberi isyarat kepada Tok Ketua. Sambil Tok Ketua naik atas belakang Hidayah, Maulud mengusap-usap lehernya. Hidayah nampaknya merelakan. Malah Hidayah seperti tahu kehendak Tok Ketua. Hidayah terus berlari membawa Tok Ketua ke destinasinya. Melompat ke batas bendang. Merengkek dan terus berlari.
Bila Hidayah hilang dari pandangan, entah kenapa tiba-tiba dia berasa seperti kehilangan sesuatu. Hidayah hilang ditelan keluasan tanah bendang. Pandangannya beralih ke arah barisan gunung yang menjadi latar belakang kampung. Di gunung itukah Hidayah berumah? Gunung itu memang menyimpan banyak rahsia. Sejak dulu ada saja dongeng yang dikaitkan dengan banjaran gunung itu. Memang kisah seorang puteri yang turun setahun sekali untuk memberi restu pada roh padi dengan menunggang kuda coklat bertumpuk hitam telah menjadi mitos. Itu beratus-ratus tahun dulu. Maulud pun tidak mempercayainya. Bagaimana mungkin seorang puteri tinggal di pergunungan. Bagaimana mungkin sang puteri turun berkuda? Maulud pernah juga mendengar kisah puteri Gunung Ledang. Puteri yang menjadi kegilaan sultan Melaka itu. Ah, semuanya dongeng belaka. Tidak masuk akal. Yang ada cuma pohon-pohon mentaruh, meranti, halban, beringin dan manau. Juga pohon-pohon renek seperti dedulang, resam, keduduk, letup-letup, duit-duit, pokok tumbit kayu dan banyak lagi pokok hutan yang akan binasa.
Hinggalah Hidayah muncul dalam hidupnya. Hidayah mengembalikan mitos tuan puteri itu. Kanak-kanak lebih-lebih lagi percaya. Tok Ketua berkali-kali menghidupkan kembali mitos tuan puteri yang turun untuk merestui kehidupan petani. Sebab itulah Tok Ketua ingin menunggang sendiri Hidayah, berkeliling bendang hingga ke baruh, hingga ke kepala bendang.
Anak-anak bertanya, mana puterinya? Maulud hanya menggeleng kepala. Mereka tidak percaya kepadanya apabila menyatakan Tuan Puteri tidak wujud. Tuan Puteri hanya wujud dalam khayalan datuk nenek mereka. Hanya wujud dalam khayalan Tok Ketua.
‘Habis, bagimana kuda itu boleh wujud?’ soal mereka lagi.
‘Bukan sahaja kuda, harimau pun boleh muncul secara tiba-tiba.’ Katanya.
‘Gajah pun?’ soal yang lain pula.
‘Memanglah, lihat sahaja gunung itu, sudah demikian cedera.’ Maulud menyambung. Binatang-binatang yang berumah di sana sudah tentu kehilangan tempat tinggal mereka. Di bendang ini juga sudah kehilangan tempua. Begitulah setiap kali dia hanya mampu membasuh resah di kali berdarah. Dulu kali yang mengalir di sebelah rumahnya membawa air jernih yang mampu diminum dan membasuh muka apabila pulang dari bendang. Kini Maulud hanya mampu melihat gunung yang cedera itu mengalirkan darah keruh ke halaman kehidupannya, malah ke halaman kehidupan orang-orang kampung. Membunuh riak-riak kecil ikan seluang, sepat dan puyu dan ikan tembakul.
Petang itu Tok Ketua pulang dengan sekepuk kepuasan. Dia memuji-muji Hidayah, malah dia ingin menunggang Hidayah lain kali jika perlu. Maulud tidak memberikan apa-apa reaksi, cuma tersenyum pilu. Bermakna Hidayah akan mula sibuk untuk melayani pelbagai kehendak orang-orang kampung. Kata Tok Ketua, misinya kali ini berjaya memujuk penduduk untuk menjual tanah bendang mereka. Ada taukeh dari bandar besar ingin menjadikan tanah bendang sebagai kolam ternak ikan dan udang.
Memang benarlah. Sejak hari itu Hidayah sentiasa ditunggangi. Sentiasa dibawa pergi. Sentiasa cuba memenuhi kehendak orang-orang yang berkeperluan. Bukan sahaja Tok Ketua, Pak Imam juga mempunyai alasan untuk menunggang. Katanya tugasnya menikahkan orang cukup meletihkan. Ramai anak-anak kampung yang terpaksa dinikahkan kerana sudah terlanjur. Kehadiran Hidayah sudah tentu meringankan sedikit tugasnya. Anak-anak muda kampung lebih lagi, mereka merasakan kuda sebagai tunggangan untuk berseronok. Mereka silih berganti untuk menungganginya. Malah kerana kuda seekor itu menimbulkan masalah pula, menimbulkan kontroversi yang menyebabkan kampung terbahagi kepada belahan pendapat. Konvesi kuda yang memang untuk ditunggangi, tetapi ada penduduk yang menyatakan kehadiran kuda akan membawa perpecahan. Ini kuda kroni, kata mereka.
(Sebahagian daripada cerpen Menambat Hidayah
Yang disiarkan dalam 'Dewan Sastera Mei 2011)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
2 komentar:
Kenapa semakin sukar nak dpt DS sekarang?
Nassury,
Memang kebelakangan ini Dewan Sastera agak lambat keluar.
Posting Komentar