Kamis, 14 Juli 2011

Orang Melayu Suka Berhimpun


Berhimpun memang sudah menjadi budaya orang Melayu. Kini ada usaha-usaha untuk menyatakan berhimpun bukan budaya Melayu. Kerana perhimpunan yang terlalu ramai, kata-kata ‘berhimpun’ sudah tidak sesuai, jadilah ‘demonstrasi’. Ada pula istilah ‘demonstrasi jalanan’. Maknanya samalah dengan berhimpun di jalanan.
Sejak dulu kita sudah mula berhimpun di jalanan bila tiba menyambut dan perayaan 31 Ogos. Beraraklah kita seluruh bandar raya, termasuk bandar raya Kuala Lumpur. Berhimpun begini tentu atas restu kerajaan. Begitu juga berhimpun di jalanan semasa menyambut Maulidur-Rasul. Seluruh Umat Islam akan berarak dari Padang ke Masjid Negara, sambil menjulang sepanduk.
Ada ketikanya kita akan berhimpun bila menyatakan rasa kesal terhadap kuasa-kuasa asing yang sewenang-wenangnya membuli negara-negara kecil. Macam Palestine, kita akan turun ke jalan-jalan raya membawa sepanduk menyatakan rasa kesal kita terhadap perbuatan Israel yang membunuh rakyat Palestine dengan kejam.
Biasanya perhimpunan orang melayu akan berlarut hingga ke malam. Misalnya bagi menyambut hari kemerdekaan, orang melayu akan berhimpun di padang-padang. Begitu juga bagi menyambut tahun baru setiap tahun, rakyat Malaysia terutama orang Melayu sanggup bertunggu-tangga merayakannya. Ini juga jenis perhimpunan bagi menunjukkan rasa cinta kita kepada negara.
Ada lagi jenis perhimpunan yang berlaku secara kecil-kecilan di kampung, seperti perhimpunan untuk meraikan perkahwinan. Pengantin akan diarak di jalan hinggalah tiba ke rumah pengantin. Orang Cina juga biasa mengarak jenazah sepanjang jalan hingga ke perkuburan. Orang Hindu juga biasanya akan berarak ketika merayakan perayaan agama mereka seperti pada hari-hari taipusam. Jadi, perhimpunan dan perarakan sebenarnya sudah menjadi budaya orang-orang kita.
Malah Jom Heboh, konsert muzik, konsert AF dan banyak lagi jenis hiburan semuanya berbentuk ‘berhimpun’ untuk menunjukkan rasa suka, riang dan berhibur.
Oleh itu sudah sampai masanya kita memikirkan kembali tujuan dan cara kita berhimpun. Eloklah kerajaan menyekat beberapa budaya berhimpun yang jelas bertentangan dengan agama dan norma masyarakat. Misalnya apabila anak muda berhimpun di jalan raya untuk merempit, sudah tentu tidak sesuai dan berbahaya, malah menggangu ketenteraman orang lain. Begitu juga konsert hiburan yang melampau yang tidak menghormati nialai-nilai budaya dan agama perlu juga dibentras.

2 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Memang kena berhimpun ramai seramai yang mungkin untuk menyedarkan masyarakat kepentingan bahasa dan sastera yang bermutu ke arah membina jati diri yang murni, inilah seharusnya dibuat setiap masa tanpa penat lelah dalam konteks memangkinkan kelangsungan hidup bahasa dan sastera kebangsaan.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Berhimpun menyatakan perasaan.Di akhirat nanti juga kita akan berhimpun di padang Mahsyar.