
Sesekali kita perlu juga pandangan orang luar. Janganlah kita berasa bahawa kita sahaja yang betul. Kadang-kadang penilaian orang lain lebih tepat daripada penilaian kita sendiri.
Sepanjang cuti Tahun Baru Cina ini saya sempat membaca ‘Max Havelaar’ karya Multatuli, yang diterjemahkan oleh H.B Jasin . Karya yang dihasilkan pada tahun 1840-an ini cuba memberikan gambaran yang jelas tentang wajah bumiputera (Melayu/Jawa) di Indonesia semasa dalam penjajahan Belanda. Max Havelaar adalah wajah dunia Melayu/Jawa yang menderita. Melalui Max Havellar, beliau melihat betapa penderitaan peribumi ketika itu adalah lebih kepada tindakan zalim penjajah dan juga Bupati (pemerintah) sendiri.
Meski Max berada di pihak penjajah, beliau mengakui sistem ‘Rodi-kopi’ yang diperkenalkan menyebabkan rakyat peribumi semakin miskin. Ditambah lagi dengan Bupati yang zalim. Sudahlah cukai yang dikenakan terlalu tinggi, Bupati dan orang-orangnya sewenang-wenang pula merampas apa saja milik rakyat. Kalau ada aduan, pengadu sendiri akan diancam. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga akan disiksa, dipenjara dan dituduh sebagai pengkhianat. Luarannya kelihatan Bupati dan orang-orang begitu baik. Memperlihatkan bagaimana mereka bertutur dengan sopan, melayan tetamu dan sentiasa menderma. Mereka juga membina masjid dan menghantar (membiayai) orang naik haji. Tetapi disebalik kebaikan itu, mereka mempunyai satu lagi permukaan duit siling yang kejam.
Max cuba menjadi juara untuk membetulkan keadaan ini. Kompeni sendiri tidak berminat dengan masalah bumiputera ini. Mereka lebih berminat menjaga kepentingan Bupati yang lebih banyak membawa keuntungan kepada Belanda sendiri. Pengajaran kepada Max, ialah , ‘Kita sebagai orang luar, apa peduli hal kezaliman mereka. Tidak ada kena mengena dengan Syarikat Hinda Belanda yang banyak mengaut keuntungan dari sistem yang sedia salah itu.’