Senin, 29 Juni 2009

Suara dari Alam Barzah


Persoalan ini menarik. Orang yang sudah meninggal berbicara kepada kita yang masih hidup. Soalnya bolehkah?
Hilal Asraf dalam bukunya ‘Langit Ilahi’ mengulas persoalan ini. Hilal memetik sebuah ceramah yang disampaikan oleh seorang pensyarah Akidah di Universiti Yarmouk. Dalam ceramahnya pensyarah itu menekankan betapa manfaatnya mendengar bicara orang yang telah mati itu. Apakah mereka boleh mengubah pendirian dan pemikiran kita, sedangkan mereka telah lama tiada di dunia ini? Apakah faedah yang kita dapat daripada bicara mereka, sedang mereka sendiri tidak mampu melakukan apa-apa?
Sebenarnya dalam Al-Quran ada dinyatakan tentang persoalan ini. Dalam Surah Yassin: ayat 26 , bermaksud: ‘Alangkah baiknya, sekiranya kaumku mengetahui hal ini (yakni balasan yang didapati kerana mentaati Allah)’. Ayat ini selalu kita baca, terutama pada malam Jumaat. Di Johor ini sudah menjadi kemestian pula setiap surau dan masjid akan mengadakan majlis bacaan Yasin selepas sembahyang maghrib pada malam Jumaat. Malah di kampung dan taman-taman perumahan pula ada giliran membaca surah Yasin dari rumah ke rumah pada setiap minggu. Sayangnya kita sering melupakan intipati ayat-ayat dalam surah Yasin itu.
Begitulah, dalam surah Yasin itu ada kisah bagaimana seorang lelaki berlari-lari mendapatkan kaumnya dan menyatakan bahawa kedua-dua Rasul yang diutuskan itu adalah benar belaka. Namun, malangnya lelaki itu dipukul dan diseksa hingga mati. Maka dia dibangkitkan di alam barzah, lalu Allah menunjukkan kepadanya seluruh balasan atas usaha dan kerja kerasnya yang dilakukannya untuk mengajak manusia ke arah kebaikkan.
Kenapa dia hendak memberitahu kepada yang hidup sedangkan dia sudah mati? Jawapannya, kerana dia mahu manusia yang masih hidup mengetahui bagaimana balasan kepada kebaikan, lalu kita pun ghairah ingin berbuat kebaikan. Supaya kita yang masih hidup mendapat lebih banyak, dan lebih baik daripadanya.
Sayangnya jika merujuk kepada masalah sosial di kalangan orang Melayu (Islam tentunya), kita berasa kecewa kerana masalah ini seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Buku ‘Langit Ilahi’ tulisan Muhammad Hilal Asyraf ini banyak menyentuh tentang kecelaruan-kecelaruan yang membuatkan manusia hilang arah dan terpesong. Kecelaruan dalam meniti kehidupan, dalam mencari kebahagiaan dan dalam mencari kesenangan hidup. Jawapan kepada kecelaruan ini adalah kerana sikap manusia yang materialistik dan kurangnya penghayatan terhadap agama itu sendiri.
Muhammad Hilal Asyraf adalah seorang penulis muda kelahiran Johor yang kini sedang menuntut di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Usuluddin. Beliau juga seorang penulis novel. Novel Hilal berjudul , ‘VT’ telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Sebuah lagi karyanya yang berjudul, ‘Relasi’ juga bakal diterbitkan.

Kamis, 25 Juni 2009

Zaini Ujang dan Puisi Alam



Prof Dato’ IR Dr Zaini Ujang, kini Naib Chanselor UTM Skudai merupakan pemikir yang mempunyai gagasan alam sekitar yang menakjupkan. Fikiran beliau tercermin dalam buku barunya ‘Minda Lestari’ (2009) terbitan UTM. Memuatkan hasil tulisan beliau yang tersiar di media terutama dalam akhbar Berita Harian.
Apa yang menarik bila beliau memperkatakan tentang puisi dan alam sekitar. Rupanya sejak di bangku sekolah lagi beliau berminat dengan puisi. Siapa sangka seorang prof. yang menerima ijazah dalam kejuruteraan kimia dan seterusnya dalam bidang kejuruteraan Alam Sekitar boleh berbicara tentang sajak.
Beliau mengulas dua buah sajak SN Usman Awang yang berjudul,’Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya’ dan ‘Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar’.
Kata beliau, sesungguhnya kedua-dua puisi itu begitu mempengaruhi pemikiran dan perasaan beliau. Beliau sering membaca dan meneliti kembali puisi itu setiap kali berasa bingung dengan pelbagai fakta dan data tentang penyelidikan atau episod pencemaran alam sekitar. Bukti dekatnya puisi ini kepada diri beliau apabila beliau sering mendeklamasikannya dalam acara puisi sejak lebih 20 tahun lalu.
Saya sungguh terharu dengan sikap beliau kerana meskipun beliau bukan seorang penyair, tetapi beliau dapat menghargai dan menikmati hasil karya kreatif terutama puisi yang begitu sukar didekati oleh kebanyakan ilmuan kita.
Beliau turut memetik bait-bait puisi Usman untuk dihayati bersama:
‘…Tuan Datuk Bandar Surat ini merayu kebijaksanaan tuan.Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan. Tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan. Itulah rumah kami, kediaman kami turun temurun. Malah demi kesejahteraan manusia. Kesihatannya, kebahagiaannya, kedamaiannya. Alam semula jadi seribu keindahan mekar. Di bawah mata hari bersinar.’(Usman Awang: Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar)

Rabu, 24 Juni 2009

Masjid Al Gufran


Kebetulan pagi semalam sempat menonton Malaysia Hari Ini TV3 yang menyorot bagaimana sebuah masjid di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail sentiasa dikunjungi bukan sahaja sebagai tempat ibadah solat, malah sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Ini kerana jawatankuasa mesjid tersebut mempunyai idea yang kreatif mempelbagaikan aktiviti sehingga masjid mereka sentiasa hidup dan diimarahkan.
Bermula sebagai sebuah surau pada tahun 1993, kini telah dinaik taraf menjadi masjid
hasil daripada sumbangan dermawan dari golongan para koprat. Surau ini telah diubahsuai dan dibangunkan sesuai dengan peningkatan peranannya yang bukan sahaja sebagai surau malah mempunyai kemudahan seperti sekolah rendah agama, kamar musafir, dewan konferen, dewan makan dan bilik mesyuarat.
Sudah sepatutnya kita memikirkan semula bagaimana masjid boleh dijadikan pusat ilmu baik untuk dunia dan juga untuk akhirat.

Saya sempat menjengah blog masjid berkenaan dan memetik sebahagian daripada keterangan tentang masjid tersebut:
Kewujudan Masjid Al Ghufran ini akan menambahkan lagi rumah - rumah Allah yang bukan sahaja berfungsi sebagai masjid untuk pusat kegiatan sosial yang islamik kepada masyarakat, tetapi juga berfungsi sebagai tempat kemudahan yang diperlukan oleh para musafir khususnya dan umat Islam amnya dalam membantu menyemarakkan lagi syiar Islam ke pelusuk dunia.
Selain untuk kegunaan beribadah dan beriktikaf, bangunan ini juga menyediakan kemudahan penginapan, bilik seminar/konferen dan mesyuarah dengan kadar sewa yang terendah serta kemudahan makan-minum untuk para pengguna.
Terdapat 18 kamar musafir (ala hotel) sebagai tampat penginapan bagi mereka yang berkunjung ke Kuala Lumpur untuk melancong, menziarahi sanak saudara, menghadiri majlis perkahwinan, konvokesyen dan sebagainya. Kepada para peniaga, ahli korporat, badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan serta kumpulan-kumpulan, kompleks ini sangat sesuai untuk berseminar dan bermesyuarah di dewan persidangan dan bilik mesyuarat yang lengkap dengan peralatan.
Dewasa ini masjid makin bercambah, tetapi kegiatannya cuma wujud untuk waktu-waktu sembahyang sahaja. Selepas itu masjid kembali sunyi. Contohilah masjid Al Gufran ini.

Minggu, 21 Juni 2009

Orang-Orang Di Bendang

Orang-orang di bendang
tidak lagi menggenggam renggam
tidak lagi memukul-mukul padi
tidak lagi menampi-nampi rezeki
tidak lagi tercari-cari tuahnya
tidak lagi menangguk sukar

Orang-orang di bendang semakin bijak
menajak kemiskinan membajak keyakinan
membuang batas-batas percaya
menanam padi politik
menabur beras saham

Orang-orang di bendang
tidak lagi menabur benih malang
mereka menambat kerbau keluhan
melepaskan ikatan tradisi
ada padi ada pilihan di hujung musim

Orang-orang di bendang
mula bersuara lantang.


Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian Sabtu 20 Jun 2009.

Selasa, 16 Juni 2009

Tentang Ziarah dan Hijrah


Setelah sekian lama menuggu akhirnya penduduk Islam Taman Sri Wangsa berlega hati kerana surau yang berharga RM300,000 telah siap sepenuhnya. Pada pertengahan bulan April lalu penduduk di sini sudah boleh bersembahyang jemaah.
Sabtu lepas Surau Assyakirin, Taman Sri Wangsa, Parit Besar Batu Pahat, menerima 16 tetamu dari kalangan Tabliq. Masa berjemaah sembahyang Asar saya sempat mengenali salah seorang daripadanya. Katanya dia dari Pontian, bekas pesara Guru Besar. Lepas sembahyang ada sedikit usrah. Tentang ziarah dan hijrah. Nampaknaya inilah pegangan orang-orang Tabliq. Mereka mengajak kita sama-sama ikut ziarah ke rumah-rumah orang Islam mengajak mereka solat jemaah. Mereka juga mengamalkan hijrah dari satu masjid ke satu masjid, dari satu surau ke satu surau semata-mata untuk berdakwah dan juga untuk meningkatkan keimanan.
Semasa solat maghrib saya dapati tidak ramai juga orang datang. Yang meramaikan saf terdiri di kalangan orang-orang mereka juga.
Sejauh manakah kesannya tarbiah mereka ini? Rasanya kumpulan Tabliq ini sudah lama wujud.Tapi mereka kurang berjaya mengajak orang-orang Islam untuk bersembahyang jemaah di surau-surau atau masjid. Kenapa?
Kalau dalam ceramah Maulidur-Rasul dan ceramah-ceramah agama yang lain rasanya sudah berbuih ustaz-ustaz menyeru, mengajak supaya kita sama-sama mengimarahkan masjid dan surau, tapi keadaannya tetap macam tu juga. Surau dan masjid tetap lenggang. Tapi lihatlah kalau Jom Heboh atau konsert, berduyun-duyunlah orang-orang kita Melayu -Islam tentunya sanggup bersusah payah datang walaupun jauh dari rumah.

Kamis, 11 Juni 2009

Noor S. I : Rakaman Roh


Keberaniannya bermain kata menyebabkan dia digelar penyair kabur. Sebenarnya Noor S. I membangun makna dengan gayanya yang tersendiri. Di samping unsur-unsur puitis yang dipelihara dia juga berupaya bermain dengan kata-kata metafora yang signifikan dengan tuntutan zaman pada ketika itu. Dengan kecerdikan bahasa Noor S. I. melepaskan kekecewaan, geram, sindiran pada dunia di sekelilingnya yang kelihatan sempurna tetapi masih jauh dari realiti hidup yang sebenar. Ekspresi yang agak asing pada penulis-penulis ketika itu memungkinkan sajak-sajaknya sukar untuk difahami. Tetapi setelah meredah tahun-tahun di mana pembaca semakin matang, kita dapati sajak-sajak Noor S. I. ini tetap hidup sepanjang zaman. Meskipun sajak-sajaknya ditulis pada tahun 50-an dan 60-an, tetapi sajak-sajaknya terus bertahan hingga ke hari ini.

Saya petik sebuah sajak beliau yang berjudul,

Pulang

( i)
Ada setangkai malam dan wajah di depan
tenaga terbuka mengira seluruh rancangan
sayang, cermin muka di kamar. Tinggal mengutuk.

Ada sepasang mata dan nama jalan
kasih berbunga kepada bunda dan ciptaan
sayang, orang tua di pintu. Tinggal merajuk

(ii)
Sebuah hidup jauh di jendela
tertikam sinar dunia

Sebutir bintang jatuh ke dada
terbenam usia berwarna.

Saya suka memetik sajak-sajaknya yang seolah-olah menjadi identiti penulis, iaitu dengan menulis dua baris sahaja pada penutup kebanyakan sajak ciptaannya:

Kita anak yang puas dipacu
Menuju pembebasan di tanah ibu

Kesepian meremang di kamar berlari
Entahkan berteman di pematang sendiri

Demikian jika berani membawa api ke dunia gila
Keji dan puji ialah perhitungan di hari muka

Berlari harapan antara jeritan memanggil nama
Di usia bertambah tua dengan tangan kaku meminta

Aku bertandang di bawah dunia
Masa ‘kan gila

Jika takdirnya bersua lukanya berdarah
Sedang rancangan di kepala tak sempat tumpah

Hidup dan mati terhitung lepas
Cita dan cinta tinggal terhempas

Jika kita bersua di kota yang puing
Lakukan sahaja bintang di langit kuning

Sebutir bintang jatuh ke dada
Terbenam usia berwarna

Kalau lautan luas dan keinsafan mendatang
Tentu akan pulang di pagi mengambang

Rabu, 10 Juni 2009

Burung Kertas

Berjuta burung kertas berterbangan di angkasa
singgah di halaman rumahku
takdirkah yang meniup seruling kematian semalam?
kemanusiaan dicengkam kesumat rakus memilukan

Benarkah mereka datang membawa misi persahabatan?
Benarkah mereka datang membawa kesal kemaafan?

Kami pemuda Tak Bai tidak pernah membawa senapang
yang ada hanyalah suara menyeru diberi peluang
yang ada hanyalah nada sekata tentang ketidakpuasan

Meski berjuta burung kertas berguguran
siapakah yang dapat memadam calar perasaan?
bukan kemanusiaan namanya
kalau suara kami sentiasa dihalang
bukan pengganas namanya kalau kami sujud sentiasa

Ganas dan keganasan mesti ditentang oleh semua
tidak kira tangan siapa yang menggenggamnya
taburkanlah burung kertas memenuhi pusara
pemuda yang gugur akan bangkit
dengan sejuta semangat burung waja.


Shapiai Muhammad Ramly
Jendela Selatan
Johor Bahru.

Serangan Di Masjid Al-Furqan, Narathiwat.

Memetik berita utama hari ini di akhbar-akhbar perdana, kita berasa sedih dan tergamam dengan kejadian serangan tidak berperikemanusiaan di sebuah masjid di wilayah Narathiwat itu.
Berdasarkan fakta serangan, tentulah kematian 11 penduduk tidak berdosa itu tiada kena mengena dengan pihak tentera dan pihak polis. Angkara siapakah pula?
Mungkin ini adalah jawapan kepada komitmen Abhisit yang berjanji kepada dunia untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Selasa, 09 Juni 2009

Sesekali Membaca Akhbar Mingguan Singapura

Kawan saya dari Singapura sering membawakan saya akhbar Mingguan (Berita Minggu) terbitan Singapura. Dia tahu saya sukakan ruangan Spektra Pena yang memuatkan cerpen dan sajak.
Sambil itu dapat juga saya membaca berita-berita Malaysia dan dunia melalui perseptif wartawan Singapura.
Ada beberapa berita yang menarik untuk dikongsi bersama yang tersiar dalam Berita Minggu, 31 Mei lepas.

Tragedi di Tak Bai:
Tiada salah laku oleh pasukan keselamatan, kata mahkamah Thai. Berita ini dipetik dari Songkla yang berbunyi: Hampir lima tahun selepas insedin Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam, sebuah mahkamah Thai kelmarin memutuskan tiada sebarang salah laku di pihak pegawai keselamatan.
Sebaliknya, pegawai tentera dan polis dikatakan bertindak mengikut undang-undang, menggunakan pertimbangan mereka untuk menangani keadaan yang mendesak dan melakukan yang terbaik berdasarkan situasi ketika itu.

Ada- Ada Saja:
Isteri dipukul dengan tukul besi kerana capati basi di New Delhi.
Berita seterusnya berbunyi: Seorang jurufoto pulang ke rumah untuk makan tengahari, mendapati si isteri menghidangkan sajian capati basi. Apa lagi dia mengamuk memukul isteri dengan tukul besi. Selepas memukul isteri si suami cabut lari. Ini bukan kes buli, tapi kes cubaan bunuh isteri.
(Ayat-ayat di atas saya susun sendiri..hehe)

Pilihan Raya Kecil Dun Penanti:
Polis mula siasat tiga pemimpin PR.
Di Bukit Mertajam polis sudah memulakan penyiasatan ke atas tiga pemimpin Pakatan Rakyat, ekoran kandungan ceramah mereka pada kempen pilihan raya kecil tersebut.
Sementara itu, sekitar 5,000 ahli UMNO dilaporkan tidak akan keluar mengundi hari ini kerana calon BN tidak bertanding.
Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang,…..berkata tindakan tidak keluar mengundi itu boleh mengurangkan kesombongan PKR.

Rebut Jenazah:
Jenazah pengarah seni bebas jadi 'rebutan'.
Di Shah Alam pula terdapat berita kejadian ‘merebut’ jenazah. Kali ini melibatkan jenazah pengarah seni bebas,…

Catatan: Berita-berita di atas saya tidak petik seluruhnya. Nak tau cerita sepenuhnya, carilah sendiri Berita Minggu keluaran 31 Mei. Baca dan ….fikirlah sendiri…

Senin, 08 Juni 2009

Kebenaran adalah racun yang membunuh Socrates.

Ada kalanya demokrasi pun membuat kesilapan. Kisah Socrates boleh dijadikan contoh. Negara Athena adalah negara demokrasi. Prosedur perundangannya juga dibuat secara pungutan suara.
Kesalahan Socrates cuma, dia ‘orang yang serba ingin tahu, yang bermenung tentang hal-hal di balik awan dan di bawah bumi, serta menampilkan hal-hal yang sesat dalam bentuk-bentuk yang lebih baik..’Socrates sering turun ke jalan-jalan untuk bertanya sesiapa sahaja. Pertanyan-pertanyaan itu biasanya mengundang jawapan yang bertentangan dengan kehendak semasa. Kadang-kadang pertanyaannya itu membawa kepada kebenaran baru. Misalnya tentang matahari dan bulan yang selama ini dianggap sebagai Tuhan. Socrates menyatakan dengan berani bahawa matahari adalah batu dan bulan adalah bumi. Kerana kenyataannya itu dia dianggap atheis. Kerana dia tidak percaya bahawa matahari dan bulan sebagai Tuhan dia dihadapkan ke mahkamah.
Selain itu dia juga menyeru warga Athena agar berasa malu menghimpun harta sebanyak-banyaknya dan mengejar pangkat serta kedudukan, tanpa menghiraukan sedikitpun bagaimana cara mendapatkan kekayaan dan pangkat itu, malah sering mengabaikan kebajikan dan kebenaran.
Kerana ajaran-ajaran dan seruan-seruan kepada kebenaran inilah Socrates didapati bersalah dan dihukum meminum racun.
Begitulah kebenaran seringkali menyepikan diri di kalangan kita manusia. Sejak dulu lagi. Semuanya kerana kebenaran itu tidak menyebelahi kita. Lalu orang yang sering bertanya-tanya itu disuruh senyap dan diberi racun ugutan.

Jumat, 05 Juni 2009

Benarkah boleh mendapat pahala dengan cara ini…?

Selesai solat jumaat saya mengambil sebuah risalah fotostat yang menerangkan tentang satu program yang dinamakan atas asas persaudaraan Islam. Dalam risalah itu dinyatakan dengan jelas bahawa meminjam Ah Long, berjudi, (baik toto, 4D, loteri) adalah haram.Ada juga petikan Al-Quran surah Al Maidah: 90 yang menyatakan bahawa ‘Sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah pekerjaan kotor daripada amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhkan diri daripadanya. Mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.’
Melalui program ini diterangkan caranya amat mudah, terutama bagi mereka yang sesak dan ingin kaya. Cuma bermodalkan RM60.00 sahaja lepas itu terus fotostat borang dan risalah yang disediakan sebanyak seratus keping dan edarkan kepada kawan-kawan. Sertakan juga tiga borang simpanan Bank dengan mengisikan nama kita di tempat yang pertama, kedua dan ketiga. Seterusnya cari 100 orang untuk kita hantar risalah ini dan menamakan nama kita di borang simpanan bank untuk tempat ke dua dan ke tiga dan kosongkan untuk borang yang pertama (untuk diisi oleh orang yang menerima risalah ini). Dari 100 orang/borang yang kita hantar kalau ada sepuluh orang yang respon dan menyertai program ini kita akan memperolehi RM420.
Persoalannya..adakah cara ini sesuai dan dibolehkan dalam Islam? Risalah ini berleluasa diletakkan di masjid-masjid dengan slogan yang menarik. Program ini boleh mendekatkan diri dengan Allah. Malah boleh mendapat pahala dengan menyertai program ini. Benarkah?

Selasa, 02 Juni 2009

Peribadi Rasulullah

Dr. Ratna Roshida Abdul Razak, pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM memetik pendapat Za’ba (Dewan Masyarakat Jun 2009) yang menyatakan bahawa, ‘Antara masalah utama bangsa Melayu ialah suka mencampuradukkan ajaran Islam dengan kepercayaan lain seperti anamisme dan ajaran Hindu. Semua ini berpunca daripada kegagalan bangsa Melayu menghayati ajaran al-Quran dan Hadis. Islam yang difahami oleh bangsa Melayu tidak mencakupi aspek kesejahteraan hidup sama ada di dunia atau akhirat.

Khutbah jumaat lepas amat menarik kerana menyentuh tentang peribadi Nabi Muhammad saw. Saya percaya semua orang Islam mengakuinya, bahawa Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji. Perlu dicontohi. Meskipun ada orang Barat yang melihat akhlak Nabi dari sudut lain, yang banyak memaparkan yang buruk-buruk sahaja.
Salah satu peristiwa yang menarik bila menyentuh tentang akhlak nabi itu, bila adanya peristiwa seorang Badwi yang kencing di masjid. Hal ini menimbulkan kemarahan orang Islam ketika itu. Tapi nabi sendiri dengan penuh berhemah, menasihati agar mereka bersabar, malah nabi sendiri mengambil air dan membersihkan tempat yang dicemari najis itu.

Banyak lagi peristiwa yang menggambarkan bagaimana nabi begitu penyabar orangnya. Ketika saya sendiri melawat Uhud, melihat sendiri kubur para syuhada termasuk kubur bapa saudara nabi, Syadina Hamzah, saya amat terharu dan sedih hingga mengalirkan air mata. Meski pun peristiwa itu sudah lama berlalu, tapi bagi saya tidak dapat menerima kematian begitu ramai muslimin yang berjuang untuk agama Allah ini.
Tidak hairanlah, apabila Nabi melihat jenazah bapa saudaranya Hamzah yang diperlakukan dengan kejam oleh Hendon, sampai Nabi berkata:
"Takkan pernah ada orang mengalami malapetaka seperti kau ini. Belum pernah aku menyaksikan suatu peristiwa yang begitu menimbulkan amarahku seperti kejadian ini." Lalu katanya lagi: "Demi Allah, kalau pada suatu ketika Tuhan memberikan
kemenangan kepada kami melawan mereka, niscaya akan kubalas mereka dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh orang Arab."

Dalam kejadian inilah firman Tuhan turun.

"Dan kalau kamu mengadakan pembalasan, balaslah seperti yang mereka lakukan terhadap kamu. Tetapi kalau kamu tabah hati, itulah yang paling baik bagi mereka yang berhati tabah (sabar). Dan hendaklah kau tabahkan hatimu, dan ketabahan
hatimu itu hanyalah dengan berpegang kepada Tuhan. Jangan pula engkau bersedih hati terhadap mereka, jangan engkau bersesak dada menghadapi apa yang mereka rencanakan itu." (Qur'an, 16: 126 - 127)

Lalu Rasulullah memaafkan mereka, ditabahkannya hatinya dan ia melarang orang melakukan penganiayaan. Diselubunginya jenazah Hamzah itu dengan jubahnya lalu disembahyangkannya.

Ketika Nabi Muhammad berjaya kembali menguasai Makkah, adakah beliau mencari pembunuh bapa saudaranya untuk membalas dendam?

Ketika itu Nabi benar-benar berdiri di depan pintu Kaabah dan berkata kepada penduduk Mekkah:
"Orang-orang Quraisy. Menurut pendapat kamu, apa yang akan
kuperbuat terhadap kamu sekarang?"

"Yang baik-baik. Saudara yang pemurah, sepupu yang pemurah."
jawab mereka.

"Pergilah kamu sekalian. Kamu sekarang sudah bebas!" katanya.

Dengan ucapan itu maka kepada Quraisy dan seluruh penduduk Mekah ia telah memberikan pengampunan umum (amnesti).

Alangkah indahnya pengampunan itu dikala ia mampu! Alangkah besarnya jiwa ini, jiwa yang telah melampaui segala kebesaran, melampaui segala rasa dengki dan dendam di hati! Jiwa yang telah dapat menjauhi segala perasaan duniawi, telah mencapai
segala kemampuan insani! Itu orang-orang Quraisy, yang sudah dikenal betul oleh Muhammad, siapa-siapa mereka yang pernah berkomplot hendak membunuhnya, orang yang telah menganiayanya dan menganiaya sahabat-sahabatnya dahulu, orang yang memeranginya di Badar dan di Uhud, siapa yang dahulu mengepungnya dalam perang Khandaq? Dan orang yang telah menghasut orang-orang Arab semua supaya melawannya, dan siapa pula, kalau berhasil, yang akan membunuhnya, akan menghancurkannya. Mereka itu, orang-orang Quraisy itu sekarang dalam genggaman tangan Nabi Muhammad, berada di bawah telapak kakinya. Perintahnya akan segera dilaksanakan terhadap mereka itu.Nyawa mereka semua kini tergantung hanya di ujung bibirnya dan pada perintahnya kerana baginda kini punya balatentara yang bersenjatakan lengkap, yang akan dapat mengikis habis Mekah dengan seluruh penduduknya dalam sekejap mata. Tetapi baginda tidak bertindak kerana balas dendam.
Inilah sebahagian daripada ajaran Islam yang indah itu!
Mengapa kita terlalu sukar memahaminya. Ini juga adalah sebahagaian daripada cara kita berdakwah.