Kamis, 25 Juni 2009

Zaini Ujang dan Puisi Alam



Prof Dato’ IR Dr Zaini Ujang, kini Naib Chanselor UTM Skudai merupakan pemikir yang mempunyai gagasan alam sekitar yang menakjupkan. Fikiran beliau tercermin dalam buku barunya ‘Minda Lestari’ (2009) terbitan UTM. Memuatkan hasil tulisan beliau yang tersiar di media terutama dalam akhbar Berita Harian.
Apa yang menarik bila beliau memperkatakan tentang puisi dan alam sekitar. Rupanya sejak di bangku sekolah lagi beliau berminat dengan puisi. Siapa sangka seorang prof. yang menerima ijazah dalam kejuruteraan kimia dan seterusnya dalam bidang kejuruteraan Alam Sekitar boleh berbicara tentang sajak.
Beliau mengulas dua buah sajak SN Usman Awang yang berjudul,’Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya’ dan ‘Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar’.
Kata beliau, sesungguhnya kedua-dua puisi itu begitu mempengaruhi pemikiran dan perasaan beliau. Beliau sering membaca dan meneliti kembali puisi itu setiap kali berasa bingung dengan pelbagai fakta dan data tentang penyelidikan atau episod pencemaran alam sekitar. Bukti dekatnya puisi ini kepada diri beliau apabila beliau sering mendeklamasikannya dalam acara puisi sejak lebih 20 tahun lalu.
Saya sungguh terharu dengan sikap beliau kerana meskipun beliau bukan seorang penyair, tetapi beliau dapat menghargai dan menikmati hasil karya kreatif terutama puisi yang begitu sukar didekati oleh kebanyakan ilmuan kita.
Beliau turut memetik bait-bait puisi Usman untuk dihayati bersama:
‘…Tuan Datuk Bandar Surat ini merayu kebijaksanaan tuan.Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan. Tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan. Itulah rumah kami, kediaman kami turun temurun. Malah demi kesejahteraan manusia. Kesihatannya, kebahagiaannya, kedamaiannya. Alam semula jadi seribu keindahan mekar. Di bawah mata hari bersinar.’(Usman Awang: Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar)

4 komentar:

ideamenulis mengatakan...

Namun Tn Hj jurutera yang cakna kepada sastera dilihat BUKAN sebagai suatu kelebihan dan suatu yang menarik bagi sebahagian orang.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Saya secara peribadi pada tahun 2006 beberapa kali berurusan dengan Dr. Zaini Ujang (ketika itu beliau mengetuai IPASA UTM) untuk hal mengadakan untuk program Malam Puisi Alam. Idea mengadakan program ini juga datang bersama pihak IPASA dan DBPWS.

Dengan gandingan IPASA UTM, DBPWS dan Jabatan Alam Sekitar maka terlaksananya program Malam Puisi Alam pada 25 Ogos 2006 di Dewan Sultan Iskandar UTM. Terbit juga sebuah kumpulan puisi (bukan untuk dijual tetapi untuk tujuan khidmat sosial) yang mengambil 40 buah puisi bertemakan alam termasuklah puisi Allahyarham Usman Awang. Dr. Zaini sendiri mendeklamasikan puisi tersebut pada malam program tersebut.

MOHD SHAH IBRAHIM mengatakan...

Salam Haji,
kerjaya tidak semestinya melambangkan jiwa seseorang. Bukan begitu?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ustaz,
Seharusnya sastera dapat dinikmati oleh para akademik kita.

Rusdi,
Rasanya dalam kumpulan puisi yang terbit itu ada sebuah sajak saya.

Mohd Shah,
Benar, kerjaya tidak melambangkan jiwa seseorang. Saya juga merasakan Sdr. Mohd. Shah berpotensi untuk jadi penulis. Saya ikuti tulisan dalam blog sdr itu. Punya gaya penceritaan yang menarik.