Sabtu, 26 September 2009

Melayan Karenah Anak-Anak Berhari Raya.

Ada sekumpulan kanak-kanak memberi salam berkali-kali di sebelah rumah jiran. Tapi nampaknya tidak ada tanda-tanda tuan rumah untuk menerima mereka masuk. Saya keluar dan menyatakan kepada mereka tidak perlulah beri salam berkali-kali. Cukup tiga kali, jika tuan rumah tidak suruh masuk elok beredar saja. Saya suruh mereka masuk berhari raya ke rumah saya.
Saya minta mereka basuh tangan dulu di paip luar. Apabila mereka masuk saya nyatakan kenapa mereka mesti basuh tangan. Sekarang ini kita menghadapi wabak H1N1, elok kita berhati-hati dan mesti jaga kebersihan.
Saya tanya mereka dari mana. Mereka datang dari taman perumahan sebelah. Lapan orang semuanya. Masih bersekolah rendah. Dua orang sudah tahun enam. Saya bertanyakan tentang keluarga mereka. Tentang persekolahan mereka. Ada di antara mereka yang kelihatan tidak berapa sopan. Saya tegur mereka dengan baik dan nyatakan mengapa kita mesti bersopan bila berada di rumah orang. Apa yang mesti kita ucapkan. Bagaimana ketika menghadap makanan. Berdoa sebelum makan. Jangan makan dulu sebelum dipelawa.
Lalu perbualan saya dengan mereka menjadi lancar. Mereka rajin bertanya. Apabila melihat gambar anak-anak saya yang menerima ijazah, mereka bertanyakan tentang anak-anak saya. Saya nyatakan bahawa mereka pun boleh berjaya dalam pelajaran jika rajin belajar. Anak saya pun bukan tergolong dari pelajar pintar. Tapi saya pastikan mereka rajin belajar. Kamu semua pun boleh berjaya. Tuhan beri kita otak yang sama, yang membezakan cuma usaha dan doa.
Dalam perbualan itu saya sempat juga menguji mereka tentang mengapakah kita umat Islam merayakan 1 syawal ini, yang dikenali sebagai Hari Raya Adilfitri.
Untuk bermaaf-mafaan, kata salah seorang daripada mereka. Ada juga yang menyatakan hari raya untuk sembahyang raya. Untuk balik kampung dan untuk dapatkan duit raya.
Semuanya betul. Sempat juga saya nyatakan tentang ibadat sebelum raya, iaitu ibadah sepanjang bulan ramadan. Tentang bertrawih, membaca al-Quran, berzikir, berzakat dan beramal banyak-banyak. Itu yang penting. Bukan untuk berhibur.
Agaknya dah macam ustaz pula berceramah pada mereka.
Sebenarnya inilah masanya bagi kita mendekati anak-anak. Pembelajaran bukan hanya semata-mata di bilik darjah. Bagaimana cara berziarah, bagaimana ketika berada di rumah orang perlu juga kita beritahu mereka.
Berbuallah dengan mereka. Berbuallah dengan baik. Sebut nama mereka. Beri pujian jika mereka menunjukkan sesuatu yang baik.
Kita sendiri mesti memulakan dengan mengucapkan selamat hari raya kepada mereka. Bertanyakan tentang keluarga. Balik beraya di kampung ke tidak. Dan ketika mereka nak balik nyatakan kepada mereka bahawa kita berkirim salam pada kedua ibubapa mereka.
Saya sungguh kesal jika ada orang yang tidak suka melayan anak-anak. Malah ada yang cuma menghulurkan duit raya di luar pintu pagar tanpa menyuruh mereka masuk, dengan alasan anak-anak itu cuma nakkan duit raya. Jadi kitalah yang mengajar mereka minta sedekah.
Layanlah mereka. Anak-anak sebenarnya lebih jujur bila berkunjung ke rumah kita. Apabila mereka keluar dari rumah kita dengan hati yang gembira, itu adalah doa untuk kita juga. Bila di hati mereka terdetik bahawa tuan rumah ini pemurah, tuan rumah ini baik, tuan rumah layan kita dengan baik, mudah-mudahan Allah memberkati kita.
Ingatlah mereka adalah tetamu kita. Mereka belajar daripada kita.

Jumat, 25 September 2009

Hari Raya Pemimpin Politik

Dalam Astro Awani terdapat perbincangan yang menarik tentang pendekatan ahli politik semasa menyambut hari raya. Ahli panel terdiri daripada Datuk Ismail kijo, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Dr Mujahid Yusof Rawa Ahli Parlimen PAS Parit dan YB Yusmadi Yusof Ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang.
Apa yang menarik apabila ketiga-tiga ahli panel bersetuju pada dasarnya bahawa rumah terbuka perlu bebas daripada fahaman politik. Sepatutnya pada hari baik bulan baik ini kita melupakan segala fahaman politik, kita boleh duduk semeja bermaaf-maafan. Malah YB Yusmadi mencadangkan pula agar wakil rakyat sendiri turun padang untuk bertemu rakyat pada hari baik bulan baik ini. Bukan setakat menunggu di rumah sahaja dengan mengadakan rumah terbuka. Memanglah katanya dia sendiri tidak akan mampu berkunjung ke semua rumah pengundi di kawasannya, tetapi mungkin boleh difikirkan buat secara kelompok dan wakil rakyat pula datang berkunjung dan berziarah.
Apa yang jelas sekarang ini kita masih lagi dapat melihat bahawa masih ada majlis-majlis rumah terbuka yang mengehadkan pengunjungnya kepada fahaman politik tertentu sahaja. Kalau orang UMNO maka untuk orang UMNO sahajalah, begitu juga jika rumah terbuka orang PAS dan KEADILAN maka kehadiran tetamu boleh kita lihat adalah terdiri daripada penyokong-penyokong mereka sahaja. Begitulah senario politik di negara kita masih belum matang, sampaikan untuk sambutan hari raya pun masih tidak dapat membebaskan diri daripada ideologi politik masing-masing.

Hari Raya, Jalan Raya dan Pilihan Raya

Tan Sri Musa Hassan menyatakan rsa kecewanya apabila mendapati op sikap di jalan raya tahun ini tidak berjaya mengubah sikap pemandu Malaysia. Katanya, tak usah denda RM300 jika dikenakan hukuman mati pun mereka tidak peduli. Inilah sikap orang Malaysia bila berada di jalan raya.

Bukan itu sahaja, sikap orang Malaysia juga teruk bila menyambut hari raya. Sudahlah perbelanjaan dan persiapan hari raya sampai kepada tahap membazir. Pada hari raya inilah mereka akan makan sepuasnya, setelah sebulan menahan nafsu makan. Malah mereka juga menyuap hidangan hiburan yang disajikan oleh media tv, seolah-olah inilah harinya bagi mereka bergembira sakan.

Sikap membazir bukan habis setakat itu sahaja, malah rumah-rumah terbuka akan berlarutan hinggalah berakhirnya syawal. Ada agensi kerajaan yang sudah buat persiapan awal-awal lagi dengan budget sebanyak RM40,000. semata-mata nak sambut hari raya. Khabarnya majlis tersebut bukan setakat makan-makan sahaja, ada pula persembahan tarian dan nyanyian.

Satu lagi yang perlu disebut di sinilah ialah tentang pilihan raya. Tidak lama lagi akan ada satu lagi pilihan raya bagi kawasan DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Sama jugalah, sikap kita.Akan banyaklah wang dibazirkan dengan berleluasa oleh pihak-pihak yang hendak menang.

Bila agaknya kita nak berubah.?

Selasa, 22 September 2009

Salam Aidilfitri


Hari Raya tahun ini agak suram bagi kami sekeluarga. Mak Mertua meninggal sebelum bulan ramadan.Kemudian adik ipar pula meninggal sehari sebelum hari raya menjelang. Hendak dijadikan cerita pula, pada malam raya cucu saya cedera di kepala akibat jatuh katil. Jam 3.00 pagi bekejar ke hospital. Kena empat jahitan. Jadi selepas sembahyang sunat hari raya, kami berada dalam keadaan mood yang muram.
Nasib baik anak-anak semua balik. Terubat juga hati.
Pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat hari raya kepada semua teman-teman dan pengunjung blog ini. Salam adil fitri, maaf zahir batin.

Selasa, 15 September 2009

Hari Raya di hati anak-anak.

Dalam waktu terdekat ini kita umat Islam akan menyambut hari raya aidilfitri. Sudah tentulah jalan raya akan dipenuhi kenderaan kerana masing-masing akan balik kampung. Sudah tentu juga tidak lama selepas itu akan ada satu lagi pilihan raya, iaitu di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Dalam Kamus Dewan ‘Raya’ membawa maksud besar (walaupun terbatas penggunaannya), tetapi bila dikaitkan dengan hari menjadi ‘Hari Raya’ dengan jalan, menjadi ‘Jalan raya’ dan dengan pilihan, menjadi ‘pilihan raya’ – sudah tentu kita dapat mengagak bahawa ketiga-tiganya mempunyai makna yang besar bagi kita di Malaysia. Sebab itulah, hari raya dirayakan sampai 30 hari. Pada hari raya pertama dan kedua, nampaknya khas untuk menziarah keluarga dan sanak saudara yang terdekat sahaja. Hari-hari lain hinggalah akhir syawal bersedialah pula untuk berkunjung dan menerima kunjungan rakan taulan dan sahabat handai. Kanak-kanak lebih teristimewa. Mereka akan pergi ziarah ke rumah siapa sahaja, meskipun mereka tidak kenal. Ketika inilah selama sebualan mereka akan mencari duit raya. Sampai ada rumah yang menutup pintunya kepada anak-anak ini kerana tak sanggup melayan mereka. Pantang ada di rumah, tak lama lagi kedengaranlah mereka memberi salam secara serentak. ‘Assalamualaikum! Kami datang nak raya!’
Bagi saya pula kehadiran anak-anak ini memang saya tunggu-tunggu. Saya akan bertanya dan berbual dengan mereka. Rupanya kebanyakan yang datang zirah raya adalah anak-anak dari kampung lain. Mereka sanggup datang dengan bas. Saya sendiri tidak kenal siapa ibubapa mereka. Saya tetap melayan mereka. Ada ketikanya mereka cuma berdiri di depan pintu dan menyatakan tidak mahu masuk. Saya faham maksud mereka. Saya tetap menyuruh mereka masuk. Sekurang-kurangnya dapat membasahkan tekak. Waktu inilah saya akan mengambil kesempatan berbual dan berkenalan dengan mereka. Tanya ibubapa mereka dan tinggal di mana. Sempat bertanyakan tentang kemajuan pelajaran mereka. Bagaimana belajar? Biasanya dapat nombor berapa? Saya ambil kesempatan menasihati mereka agar belajar lebih rajin. Berikan contoh-contoh orang yang berjaya, seperti Dr. Mudzafar dan Dr. Faiz yang berjaya ke angkasa lepas. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang berjaya mendapat 18A dan 21A dalam peperiksaan. Saya dapati ada juga kanak-kanak yang kurang dapat berkomunikasi dengan baik. Saya ajar mereka bagaimana caranya untuk menghormati orang tua. Menghormati tuan rumah dan sentiasa mengucapkan terima kasih dan bila masanya mengucapkan selamat hari raya.
Sebagai guru, saya berasa tugas saya bukan sahaja di bilik darjah. Ini masa yang terbaik bagi saya menanamkan sifat-sifat terbaik ketika berkunjung ke rumah orang. Kalau beri salam selepas tiga kali, tuan rumah tidak buka pintu elok terus sahaja beredar. Tidak baik beri salam sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Semacam memaksa pula. Kita harus faham, kadang-kadang tuan rumah yang kita kunjungi itu baru balik dari perjalanan jauh, tentu penat. Bila berada di rumah orang perlu jaga tatatertib. Jangan terus duduk. Bersalaman dulu dengan tuan rumah dan ucapkan selamat hari raya. Hal ini saya lakukan kerana saya dapati ada anak-anak yang datang terus saja mencapai hidangan di depan mereka. Ada yang datang di depan pintu dan menyatakan mereka cuma mahukan duit raya. Apa lagi saya pun berhujah panjang dengan mereka. Saya suruh juga mereka masuk dan menerangkan dengan baik supaya menjaga tatatertib ketika menziarah. Tidaklah dengan nada marah kerana mereka ini tidak tahu, jadi kitalah yang sepatutnya memberi tahu kepada mereka dengan baik dan berhemah.
Entah kenapa saya pula jenis suka melayan kanak-kanak. Jadi melayan mereka tidaklah menjadi beban.

Senin, 14 September 2009

Kasihan Ibu Sekandung.

Mereka telah lama menderita. Derita dijajah lagi. Selalu pula diberi gempa. Sekali dulu diberi juga tsunami. Sebab itu mereka mudah terasa. Bangsa yang mudah terasa sanggup buat apa saja. Selama ini pun mereka sanggup meredah lautan. Biar bergelora, biar disumbat ke penjara dan disebat mereka tetap tidak putus asa. Begitulah semangat mereka untuk hidup. Semangat untuk hidup yang berkobar-kobar ini selari pula dengan semangat kebangsaan mereka. Jangan cuba-cuba memperlecehkan negara mereka, mereka sanggup mati kerananya. Begitulah hebatnya orang Indonesia.
Saya masih ingat selepas konfrantasi dulu, kita telah menghantar duta budaya kita ke sana, dengan tujuan untuk bersilaturrahmi. Rombongan budaya itu membawa beberapa orang penyanyi seperti Rafeah Buang, S.M Salim dan Jamal kerdil. Kita bawa juga penari-penari zapin dan kita buat persembahan di sana. Selepas persembahan media di sana mengkritik habis-habisan persembahan kita yang tidak asli itu. Kita mempersembahkan balik budaya mereka. Mereka menyindir. Hinggakan nyanyian Jamal Kerdil, yang menyanyi lagi Beng Slamat dengan suara mirip-mirip Beng Slamat pun dikritik. Apa lagi tarian zapin yang seada-adanya itu yang sebenarnya adalah berasal dari tarian Indonesia juga. Kalau ada pun yang menarik hanyalah nyanyian Rafeah Buang, itu pun kita tidak tahu malu kerana membawa penyanyi Singapura dan mengakunya sebagai penyanyi Malaysia (Ketika itu Rafeah Buang masih belum menjadi rakyat Malaysia). Mereka namakan persembahan kita itu sebagai “Rayuan Ibu Sekandung’.
Rupanya sampai sekarang isu ini tak habis-habis dicanang oleh pihak media Indonesia. Beberapa buah TV utama Indonesisa juga menjadikannya sebagai isu mencabar maruah mereka. Kita dilihat sebagai pencuri dan penciplak. Hinggakan isu makanan seperti ‘rendang’ pun kita dituduh tidak tahu malu mengaku sebagai makanan tradisi kita. Isu ‘batik’ juga menyentuh kemarahan mereka. Batik itu mereka punya. Mengapa kita mengaku sebagai pakaian tradisi kebangsaan kita. Hingga dalam sebuah blog mereka menamakan kita sebagai Malingsia atau ‘Maling Asia’.
Saya cuba menjawab tuduhan blog tersebut dengan menyatakan bahawa tradisi membatik di Malaysia sebenarnya telah lama beroperasi di Malaysia, terutama di Kelantan dan Terangganu. Sebagai bangsa yang mempunyai rumpun yang sama sudah tentulah budaya kita akan kelihatan sama. Jadi soal siapa mencuri siapa tidak timbul. Jawapan ini menyebabkan ada yang marah-marah dan menjawab dengan menyatakan (saya petik sepenuhnya); ‘Semua warga negara bukan cuma warga indonesia pasti akan marah bila haknya diambil. Begitu juga saya waktu pertama denger salah satu budaya kita diambil malaysia, aku berfikir klo bisa bikin bom atom pasti negara yang bersangkutan mau saya bom. Itulah pikiran yg pertama terlintas dalam benak saya. Apalagi malaysia sudah menginjak- injak harga diri Indonesia dengan berbagai hal dari tki/tkw truz banyak hak kita yang dirampas adalagi wasit jadi ajang latihan tonjok. Truz apakah kita akan diam. Klo kita diam kita akan makin di lecehkan. Seakan- akan kita takut sama mereka. Takut klo kita lawan mereka kita ga makan kali. Padahal harusnya malaysia mikir klo kita ga kerja untuk mereka mereka ga bakal makan. Jangan diputer balik. Mereka dah nganggap klo tanpa mereka kita ga makan .Seakan-akan kita tuh budak mereka’.

Selasa, 08 September 2009

Dus! Dus! Ta! Ta!

Ayah saya suka bercerita. Kami suka kalau dia ada di rumah. Banyak cerita dongeng, cerita-cerita nabi, cerita jenaka, cerita-cerita binatang saya ketahui lebih dahulu melalui cerita ayah. Ada sebuah cerita yang saya masih ingat sehingga kini, kerana ceritanya agak lain. Kata ayah, cerita ini adalah cerita rekaannya sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di kampung, kalau ada majlis kenduri kahwin, orang-orang kampung akan bergotong royong (istilah orang Johor- rewang). Rewang pada waktu malam kadang-kadang berlanjutan hingga larut malam. Untuk menceriakan suasana beberapa orang kampung yang pandai bercerita akan bertanding sesama mereka untuk mempersembahkan cerita lucu mereka. Meskipun tiada hadiah yang diberikan, tetapi ketawa orang yang mendengar cerita itu sudah merupakan satu kepuasan kepada mereka.
Cerita ayah saya itu tentang pertandingan memancing yang diadakan disebuah kampung, berikut kematian Tok Ketua. Ada 4 tokoh yang dirasakan sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan Tok Ketua kampung itu. Bagi Penghulu pula agak sukar untuk memilih salah seorang daripada mereka. Jadi Pengulu mencadangkan agar mereka bertanding memancing di sebuah tasik di kampung itu, iaitu Tasik Merah (agaknya Tasik Bukit Merah, kerana kampung saya berhampiran tasik itu). Syaratnya mereka tidak boleh menggunakan umpan biasa seperti cacing, belalang, katak yang biasa digunakan oleh para pemancing. Kata Tok Penghulu, ikan-ikan di Tasik Merah sudah pandai, mereka tidak lagi mahu umpan pancing yang biasa. Memang benarlah sejak kebelakangan ini nelayan-nelayan tasik itu sering pulang kehampaan kerana ikan-ikan sudah tidak makan umpan pancing mereka. Mereka lebih suka menggunakan jaring.
Tokoh calon pertama bernama Badang (Bukan Badang yang makan muntah hantu). Dia menyatakan akan memancing menggunakan umpan duit siling yang diikat berhampiran mata kail. Calon kedua pula bernama Bakar. Dia menggunakan umpan siling emas, kerana baginya ikan-ikan itu lebih tertarik kepada emas. Ikan sekarang sudah cerdik mereka juga memandang kepada kebendaan. Calon ketiga pula Buntat. Katanya dia cuma menggunakan batu biasa yang mempunyai kilauan bagai berlian. Biar ikan-ikan itu tertipu dengan kilauan itu. Dan akhir sekali Badar, seorang calon yang menyatakan bahawa dia akan menggunakan umpan seekor monyet. Belum sempat dia menyatakan sebab-sebab kenapa dia memilih monyet, dia telah diketawakan terlebih dahulu. Sebenarnya dia pernah bersampan di tasik Merah dan kebetulan dapat melihat sendiri bagaimana pada suatu hari seekor monyet yang sedang bergayut di dahan yang melentur berhampiran permukaan tasik, tiba-tiba disambar oleh seekor ikan.
Pada hari yang ditetapkan mereka berempat pun turunlah ke tepi tasik untuk memancing. Memang benarlah seperti telahan Tok Penghulu, ikan-ikan tasik sekarang sudah pandai memilih umpan. Badang dan Bakar berjaya memperoleh banyak ikan. Buntat juga yang hanya menggunakan kilauan batu untuk menggelabui ikan-ikan itu ternyata berjaya memancing banyak ikan. Tinggal Badar sahaja yang masih belum berjaya. Sudahlah untuk menangkap monyet satu hal. Monyet yang ditambat berhampiran mata kail itu puas berenang kesana- kemari dan hampir-hampir lemas dan letih. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan ada seekor ikan pun mahu menangkap umpannya itu. Hinggalah mencecah waktu petang, Badar hampir-hampir kecewa. Ketiga-tiga calon Tok Ketua itu sudah pun pulang untuk mengira jumlah tangkapan mereka hari itu.
Ketika Badar hampir berputus asa, ketika itulah baru pancingnya mengena. Monyet di permukaan air yang sudah penat itu tiba-tiba dibaham dan dibawa ke dasar tasik. Badar cuba menarik pancingnya, tetapi ikan yang menelan umpan itu cukup kuat menarik pancing dan dirinya sendiri hampir-hampir terbawa masuk ke dalam tasik. Sebelah tangannya cuba berpaut ke sebatang pokok berhampiran. Pokok itu tumbang. Dia mencapai lagi sebatang pokok, juga tumbang. Beberapa batang pokok ikut tumbang bila dia cuba berpaut. Wah, besar sungguh ikan itu, fakir Badar. Dia hampir-hampir putus asa dan ingin melepaskan sahaja pancingnya. Tiba-tiba dia memaut sahaja rumput di tepi tasik itu. Menghairankan. Dia berjaya menarik pancingnya. Menakjubkan. Pada umpan pancangnya itu penuh dengan ribuan ikan seluang (Ikan kecil sebesar jari kelingking kanak-kanak).
Esoknya sewaktu Tok Penghulu mengumumkan calon Tok Ketua, berdasarkan kemenangan pertandingan memancing itu. Didapati Buntat yang menggunakan kilauan batu sahaja itu berjaya mengatasi Badang dan Bakar. Ketika itu orang menyangka sudah tentu Badar tidak berjaya. Tiba-tiba Badar muncul dengan tujuh tempayan. Bila Tok Penghulu bertanya. Badar menyatakan itulah hasil tangkapannya semalam. Ribuan ikan seluang yang terpaksa dibuat pekasam. Dapat tujuh tempayan. Semua orang ternganga mendengarnya.
‘Ada satu lagi Tok!’ kata Badar
‘Apa dia?’ Tok Penghulu bertambah hairan.
‘Ini, kalau Tok Penghulu tak percaya, saya gunakan kulit ikan seluang itu untuk buat gendang. Ini ha gendangnya. Biar saya pukul untuk kita dengar bunyinya. Memang sedap bunyinya.’ Kata Badar lagi.
‘Pukullah biar kita semua dengar!’ kata Tok Penghulu.
Badar pun memukul gendang daripada kulit ikan seluang itu. Bunyinya begini..’Dus, dus, ta, ta. Dus, dus, ta, ta. Dusta! Dusta!’

Senin, 07 September 2009

Kita Masih Terus Membunuh Hang Nadim

Bila Hang Nadim dibunuh, fitnah menguasai pemerintahan. Berlakulah hukuman yang tidak adil. Pintu kota pun dibuka kepada musuh. Kerajaan pun kalah. Sultan pun melarikan diri. Negeri baru dibuka. Berlaku lagi pembunuhan-pembunuhan Hang Nadim. Negeri kembali dikuasi oleh pemimpin dan penasihat yang lemah. Fitnah dan rasuah berleluasa. Musuh datang lagi. Negeri kalah dan sultan berundur lagi.
Begitulah sejarah akan berulang berkali-kali. Hingga kini kita masih membunuh Hang Nadim. Kita masih memperluas fitnah. Kita masih menghukum dengan berpandukan kuasa politik. Kita tidak pernah serik. Jika kali ini kita kalah, ke manakah lagi kita akan lari untuk membina sebuah negara baru?
Inilah satu-satunya Negara kita. Ke manakah lagi kita akan pergi jika berlaku ketidakstabilan. Macam negeri Sadam. Bila musuh datang menyerang, dia hanya dapat lari ke dalam lubang. Akhirnya ditangkap dan dibicarakan oleh mahkamah asing.
Begitulah, bila Negara dikuasi oleh orang-orang yang lemah. Inilah yang akan terjadi.

Minggu, 06 September 2009

Mencari Titik Archimedes

Rupanya pada bulan Ramadan ini wajah politik tidak juga berubah rupa. Selepas pilihan raya Permatang Pasir akan ada lagi pilihan raya menyusul. Kali ini di Bagan Pinang, Negeri Sembilan pula. Pemain-pemain politik akan kembali ke gelanggang. Banyaklah isu yang timbul. Tuduh menuduh dan pendedahan demi pendedahan akan kembali dibuat. Masing-masing akan mencari suatu titik yang kukuh buat menggegar lawan. UMNO sudah tentu akan bermati-matian akan mempertahankan kawasan yang disandangnya ini. Kekalahan akan menyebabkan maruah UMNO akan jatuh teruk. Jadi segala strategi akan digunakan. Saya pasti kedua-dua akhbar Melayu seperti Utusan dan Berita Harian akan kembali memainkan peranannya sebagai senjata yang akan menyerang pihak pembangkang habis-habisan. Biasanya pembangkang juga akan menggunakan apa juga bentuk media untuk menangkis serangan atau pun memulakan serangan. Siapakah dahulu yang dapat mencari titik Archimedis itu. Satu titik yang kukuh buat berpijak dan menggerakkan dunia politik. Sekali lagi kita akan menonton segala macam bentuk keburukan dari kempen untuk menang itu.
Kata Archimedes, ‘Berikan aku suatu titik kukuh untuk aku berpijak, nescaya aku akan menggerakkan dunia.’ Inilah yang dicari oleh mereka, cuma sebuah titik tempat berpijak…

Sabtu, 05 September 2009

AKU INGIN BERBEKA-BEKA DENGAN-MU

Basah aku
dalam sumur kasih-Mu

Berpeluh aku
dalam sahara kekuasaan-Mu

Tersihir aku
dalam samudera wilayah-Mu

Terlempar aku
dalam cakrawala semesta-Mu

Aku malu
bermuka-muka dengan-Mu

Aku rindu
bantal peraduan hidayah-Mu

Tuhan
aku ingin berbeka-beka dengan-Mu


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Batu Pahat, Johor
Berita Harian Sabtu, 5 September 2009.

Kamis, 03 September 2009

Kelebihan Solat


Dalam ‘MHI’ TV3 hari ini menyiarkan wawancara Abby dan Fazidul dengan tiga orang tokoh akademik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Fakulti Kejurteraan Universiti Malaya, iaitu Prof Wan Abu Bakar, Prof Madya Dr. Fatimah Ibrahim dan En Ng Siew Cheok yang mengkaji kelebihan solat dari sudut kajian sains. Dalam hasil kajian itu Dr. Fatimah yang mengkaji tentang kesan terhadap degupan jantung dan kalestrol mendapati bahawa orang yang solat dengan kedudukan yang betul akan dapat mengurangkan kadar kalestrol dalam badannya. Beliau mengkaji tentang komposisi tubuh semasa seseorang itu duduk antara dua sujud baik semasa tahiyat awal dan juga semasa tahiyat akhir. Bagi aktiviti rukuk yang betul iaitu dengan kedudukan 90 darjah pula didapati 90% memberi kesan kepada pemulihan sakit jantung.
Prof Wan Abu Bakar pula yang mengkaji tentang aktiviti otot dalam badan juga mendapati bahawa dalam kajiannya, seseorang yang mengerjakan solat akan dapat memelihara dirinya daripada sakit-sakit sendi dan tulang belakang.
Begitu juga bagi Ng Siew Cheok seorang pensyarah yang menumpukan kajiannya terhadap isyarat otak juga menyatakan ada kesan yang ketara terhadap tahap ketenangan seseorang yang mendirikan solat dengan betul dan sempurna.
Kajian mereka itu telah pun dibukukan dan telah berada dipasaran sejak tahun 2008 lagi.
Oleh itu sempena bulan Ramadan yang mulia ini sama-samalah kita merebut pahala solat disamping dapat menjadikan solat sebagai terapi. InsyaAllah.

Sajak Dalam DS Ogos 2009

Selasa, 01 September 2009

Sesekali Bila Anak-anak Pulang Berkumpul

Cuti hujung minggu lepas semua anak ( 6 semuanya) dapat berkumpul di rumah di Taman Sri Wangsa, Batu Pahat. Lima (lelaki) semuanya sudah bekerja. Anak yang bongsu (perempuan) masih belajar di UTM, Skudai. Anak sulung Khairul Ariffin sudah berumah tangga balik bersama isteri (Suraidah ) dan anaknya (Fakhirah Syakila) yang sudah berumur 5 tahun. Mohd Saiful anak kedua belum berkahwin. Faiz (anak ketiga) dan isterinya Farah pertama kali pulang bawa cucu (anak pertama) yang baru berusia dua bulan. Jadi kami sudah ada dua cucu. Abdul Hadi baru bertugas sebagai guru di Muar . Afif anak kelima juga sudah bekerja di Taman Universiti, Skudai.
Bila berkumpul begini saya teringat sudah lama tidak mengadakan usrah keluarga seperti dulu, semasa anak-anak masih kecil dan masih bersekolah. Ketika itu sebulan sekali saya pasti mengadakan usrah atau mesyuarat keluarga bersama isteri dan anak-anak, selepas sahaja bersembahyang maghrib secara berjemaah. Bila berkumpul begini saya ambil peluang untuk satu usrah pendek selepas sembahyang trawih. Bukan usrah tentang kelebihan bulan puasa tapi lebih kepada harapan-harapan seorang bapa dan Ibu, terhadap masa depan mereka. Kita mestilah merancang hidup kita, merancang kewangan, masa dan juga rumah tangga kita. Siap berikan contoh-contoh rumah tangga saudara mara yang terdekat, baik yang gagal maupun yang berjaya. Kenapa? Apakah puncanya? Itulah yang kami harap kepada anak-anak. Biarlah kita bina rumah tangga dan kehidupan yang bahagia. Kebahagiaan itu di tangan kita. Kita yang menanam benihnya, kita yang menuainya dengan izin Allah juga.
Saya masih ingat ketika mereka masih kecil dan masih sekolah dulu, usrah keluarga lebih tertumpu kepada kehidupan masa depan mereka. Bagaimana harus mencipta kejayaan terutama di bidang pelajaran. Kini mereka semuanya sudah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti dan bekerja. Rupanya mereka harus mencari takah kebahagiaan seterusnya, iaitu kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat.