Minggu, 31 Januari 2010

40 Cerpen Terbaik Johor.

Perkembangan sastera di Johor dimeriahkan oleh pengiktirafan kerajaan Negeri Johor yang mengadakan Anugerah Sastera Darul Ta’zim setiap dua tahun sekali sejak 1996. Kini HSDT telah memasuki kali ke-7 dengan menumpukan kepada beberapa kategori penulisan seperti kumpulan puisi dan puisi eceran, kumpulan cerpen dan cerpen eceran, drama radio dan pentas, novel dewasa dan novel remaja dan juga esei kritikan.

Setelah tujuh kali HSDT diadakan kita dapati YWJ telah berjaya menerbitkan enam antologi hasil anugerah tersebut. Karya-karya yang menang telah terkumpul dalam antologi berikut:

1. Rel Waktu (1999)
2. Hujung Tanah, (2001)
3. Rimba Perkasihan, (2003)
4. Kasih itu Kesabaran, (2005)
5. Gapura Merdeka, (2007)
6. Kidung akarku, (2009)

Jumlah cerpen eceran setelah tujuh kali HSDT adalah sebanyak 40 buah, daripada 20 penulis seperti Zahrah Nawawi, Mohd. Kasim Mahmud, Mawar Shafie, Saadiah Haji Ibrahim, Aminah Mokhtar, Hasidah Disan, Anis (Amida Abdul Hamid), Anis Sabirin, Johan Jaafar, Shapiai Mohd. Ramly, Ruzaini Yahya, Rozninah Abd. Azib, Siti Aisah Murad, Hasidah Disan, Sharil Hasrin Sanin, Zulfazlan Jumrah, W.B. Rendra, Tiras R, Zaid Akhtar dan Serunai Fakir.

Memang tidak dinafikan Johor mempunyai sebilangan tokoh penulis dalam genre cerpen yang berjaya mewarnai jalur perkembangan sastera tanah air. Khadijah Hashim, Zahrah Nawawi, Anis dan Anis Sabirin adalah empat tokoh yang begitu sinonim dengan penulisan cerpen. Dr. Othman Putih(Allahyarham) pernah membariskan pengarang-pengarang Johor yang berjasa dalam jagat pencerpenan seperti Akhbar Muhammad Bakri, Kasmani Haji Arif, Abdullah Sidek, Jymy Asmara, Usman Awang, Adibah Amin, Rukiah Abu Bakar, Masod Haji Abd. Rahman, Nora, Asmaranda, Anis Sabirin, Kalam Murni, Anis, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmah Mohsen, Zawiyah Mohd. Noh, A. Shukor Harun, Onn Abdul Rahman, Johan Jaafar, Sarah Rahim, Jumaanoh Abdul Bunga, Rogayah A. Hamid, Gunawan Mahmood, Hasidah Disan, Saadiah Haji Ibrahim, Mawar Shafie, Shapiai Mohd. Ramly, Md. Ishak Hj. Abd. Rahman, Siti Aisah Murad, Rajiee Hadi, Talib Samat, Maskiah Mashrom, Aman Shukor, Saiful Juraimi dan Rosninah Abd. Azib. Amida @Hamidah Haji AbdulHamid(1997) menambah lagi barisan penulis cerpen Johor seperti Habsah Hassan, Siti Muhawa Rahmat, Azmi Taib dan Amiruddin Ali Hanafiah.

Tidak dinafikan HSDT dapat melahirkan penulis-penulis baru seperti Mohd. Kasim Mahmud, Saharil Hasrin Sanin, Tiras R, Serunai fakir, W.B. Rendra, Saiffulizan Tahir, Aminah Mokhtar, Ruzaini Yahya, Zaid Akhtar dan Zulfazlan Jumrah.

Di samping itu dari semasa ke semasa lahir penulis muda yang menjanjikan masa depan seperti Syafiq Zulakifli, Zulkifli Khair, Md. Nizar Parman dan Eizda Amani.

Rabu, 27 Januari 2010

Boikot

Boikot atau ‘pengasingan’ cuba dilakukan sekali lagi untuk barangan Israel (Yahudi). Dulu sudah pun diuar-uarkan, tapi nampaknya masih tidak berkesan. Kali ini dilakukan kembali oleh badan NGO VIVA Palestin. Mereka mengadakan perhimpunan aman sambil mengedarkan risalah kepada orang ramai. Memang niat ini cukup baik. Media pun membantu mereka.

Nabi Muhammad SAW pernah melakukan hal yang sama terhadap tiga orang penduduk Madianah yang tidak bersama-sama menyertai peperangan Tabuk. Ketiga-tiga mereka tidak ada alasan yang kukuh mengapa mereka tidak ikut sama berjuang. Oleh itu, Nabi menyarankan agar ketiga-tiga mereka diboikot. Mereka ini bukan sahaja diboikot oleh masyarakat Islam keliling, tetapi juga oleh saudara-mara, adik-beradik dan juga isteri dan anak-anak mereka. Jika mereka ke masjid untuk solat dan memberi salam, Nabi akan menjawab salam mereka sahaja, tetapi selepas itu tidak akan bertegur sapa dengan mereka. Begitu juga bila mereka ke pasar, semua orang hanya sekadar menjawab salam, tetapi tidak melayan mereka bercakap. Hal ini menyebabkan mereka bertiga tertekan dan bersedih. Mereka akhirnya mengasingkan diri ke padang pasir dan berdoa agar mereka diberi keampunan. Sehinggalah Nabi mendapat wahyu yang menyatakan doa mereka diampunkan oleh Allah swt. Barulah Nabi sendiri mengistiharkan ‘pengasingan’ itu atau boikot itu ditamatkan.

Berdasarkan kisah tersebut elok kita menyahut seruan memboikot barangan yahudi ini. Wahai orang Islam.Marilah sama-sama kita bersimpati dengan kesengsaraan rakyat Palestin. Inilah sahaja satu cara bagi kita sama-sama menunjukkan keperihatinan kita terhadap perjuagan dan kesengsaraan mereka.

Kamis, 21 Januari 2010

Terlihat Lukamu di Tasik Takdir


Kupilih tahun yang terdekat
waktu yang jauh
musim yang tak menentu
menduga-hajat, pilih-kelu
keruh tujuan keruh alasan
cemar tasik takdirnya

Kupilih meja masalah
di kerajaan kebendaan
menakung wajah geruh
sepanjang garis di langit resah
sepanjang arus di laut payah

Terlihat lukamu di tasik takdir
darah kemajuan tersasar-hadir
kumuntahkan kembali
menjadi sungai kesalan
sesekali melimpah guram
kenyang dengan harapan
yang sering sebu
berkongsi gementar.


Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak.
Mingguan Malaysia, 17 Januari 2010

Minggu, 17 Januari 2010

Sumpah Atikah dalam Semanis Kurma

Ini bukan sumpah ibu Si Tanggang, bukan juga sumpah ibu Malin Kundang, tapi sumpah Atikah. Sumpah ini dilafazkan di kaca tv, sudah tentu di hadapan beribu-ribu penonton yang menyaksikannya.

Kenapa sampai begini? Menerusi siri 'Semanis Kurma' yang dihoskan oleh Ustazah Nur Bahiyah dan suaminya Ustaz Akashah di sebuah rangkaian tv baru-baru ini, saya begitu terharu dan terkedu apabila seorang Ibu bernama Atikah sampai membuat sumpahan melaknat anaknya yang disifatkannya sebagai menderhaka.

Kita begitu bersimpati kepada si ibu itu, yang selama ini berpisah dengan tiga anaknya, setelah bercerai dengan suaminya ketika dia dalam berpantang melahirkan anaknya yang ketiga. Selama 18 tahun dia berdoa kepada Allah agar dapat dipertemukan kembali dengan anak-anaknya kerana selepas itu dia tidak berpeluang langsung untuk menemui anak-anaknya yang di bawah jagaan bekas suaminya.

Kini anak sulung sudah berumur 22 tahun, barulah doanya diperkenankan Allah. Akhirnya dia dapat menemui anaknya yang sudah bekerja itu. Tetapi pertemuan itu membawa padah kepadanya pula. Hasrat untuk melepas rindu dan kasih kepada anaknya itu berubah menjadi tragedi apabila anaknya cuba memperkosa dirinya pula. Sebab itulah dia sudah pasrah dan menyerahkan nasib anaknya kepada Allah. Biarlah Allah membalas segala doanya itu. Dia sudah nekad untuk membuang anaknya dan bersumpah....(tak perlulah saya turunkan sepenuhnya bunyi sumpahan itu).

Selasa, 12 Januari 2010

Siapakah Bimala?


Tagore mencipta Bimala dalam novelnya, Rumah dan Dunia. Bimala seorang isteri yang dibawa keluar dari dunia rumah tangga, untuk melihat dunia luar yang lebih mencabar. Bimala akhirnya tersepit di antara dua pertentangan pendapat dan faham. Begitulah bagi Tagore,perbezaan pendapat dan pertentangan setiasa wujud selagi kita bernama manusia. Tagore melihatnya dalam konteks gerakan yang lebih ekstrem jika dibandingkan dengan gerakan Ghandi.. Bagi Tagore sebuah rumah adalah juga sebuah negara. Sebuah rumah juga adalah sebuah dunia. Rumah tangga Bimala dan Nikhil tidak terlepas dari campur tangan Sandip, sebagai orang ketiga.

Novel ini membawa kisah pertentangan antara dua fahaman, realisme melawan idealisme. Antara Nikhil yang ideal dengan Sandip yang realis. Nikhil yang Idealis melihat rumah dan dunia dengan penuh kepercayaan kepada isterinya Bimala. Bimala yang tertarik dengan perjuangan Sandip yang progresif akhirnya menjadi alat kepada pergerakan yang lebih mementingkan ‘kemenangan’, meskipun caranya agak keterlaluan.
Begitulah politik. Dunia politik Malaysia juga melihat pertentangan antara beberapa fahaman. PAS dan UMNO bagai Nikhil dan Sandip. PAS terlalu ideal dengan perjuangannya untuk sebuah Negara Islam, manakala UMNO lebih bersifat realis dengan melihat kepelbagaian kaum untuk memerintah. Dalam konteks ini siapakah Bimala?
Bimala adalah bangsa Melayu itu sendiri.

Minggu, 10 Januari 2010

Ada Guri Persoalan yang Belum Terpecahkan

Ketika menunggu Mesyuarat AJK PPJ bermula, saya sempat berbual-bual dengan Rosli Bakir, Setiausaha Satu. Beliau adalah Guru Penolong Kanan 1, Sek. Men. Datuk Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas. Beliau juga adalah seorang guru Sastera Melayu yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan luas tentang Sastera Tradisonal Melayu. Bagi beliau fungsi edukatif sastera nampaknya tidak dapat menyeimbangkan dacing pendidikan , seperti masih ada guri kurikulum yang masih belum dipecahkan.

Ketika Haji Khairy bin Haji Halimi, Ketua Dua PPJ tiba bersama isteri, beliau pula lebih menjurus melihat peranan bukan pendidik, kerana beliau adalah pesara Pegawai MARDI yang banyak menghasilkan novel, tapi masih menyimpan ‘guri’ kekesalan kerana ramai yang masih menganggap sastera itu sebagai ‘wadi di dalam guri’ kehidupan.

Ketika Ustaz Ahmad Nawawi, Pensyarah UiTM tiba untuk pertama kalinya menjadi AJK PPJ Negeri, setelah menang dalam pemilihan kepimpinan baru-baru ini, saya dapat merasakan bahawa UiTM juga telah ‘memecahkan guri’ keterpencilannya terhadap dunia sastera. Dengan keterbukaan Prof. Dr. Muhd Kamil (Terkenal dengan buku Trevelog Hajinya), mantan Pengarah UiTM Johor itu punya peranan besar untuk berduel dengan kesalahan fungsional sastera dengan menggalakkan kakitanganya menulis. Kini di UiTM sendiri telah lahir beberapa orang penulis seperti Lee Tan Luck, Ainol Hasanal, Nazhatulshima Naolan, Noraini Ismail dan Ustz. Ahmad Nawawi sendiri..

Ketika Amiruddin Ali , Ketua Satu mempengerusikan mesyuarat kali pertama tahun ini, menyatakan persatuan tetap bergerak di landasan memperkasakan Bahasa dan Sastera di Johor dengan menggariskan beberapa aktivti berskala besar seperti Seminar Kepengarangan Johor (dijangka pada 30- 31 Januari ini). Saya sendiri mengambil tanggungjawab untuk berkontemplasi dengan tugas yang diberikan., iaitu untuk memecahkan guri-guri persoalan yang sering menjadi penghalang kepada kegiatan sastera dan bahasa. Saya diberi tanggungjawab mengetuai Biro Pengembanagan Bahasa dan Sastera PPJ.

Guri di hatiku, masih belum kupecahkan lagi!

Kamis, 07 Januari 2010

Bila Penyair Bersuara…


Kita masih berada dalam bulan Hijrah. Semangat hijrah nampaknya menghangatkan isu tentang perkataan ‘Allah’. Lalu kita sibuk mempertahankannya daripada dieksploitasi. Memanglah, harap-harap jangan ada agama lain pula yang mengklaim kata-kata ‘Allah’ untuk diletakkan pada patung yang disembah. Inilah ‘Allah’ kami, kata mereka. Harap-harap dengan isu ini para pemimpin, para ulamak dan juga ahli politik akan berhati-hati dengan segala permainan orang-orang yang ingin menghancurkan Islam.

Sebenarnya saya ingin menulis sebuah puisi tentang isu ini. Tapi saya rasa hal ini tidak akan ke mana-mana. Suara penyair biasanya dipandang sepi, kerana kebanyakan kita beranggapan suara penyair susah difahami.
Benarkah kita betul-betul sayangkan kalimah ‘Allah’, sehingga bila disebut kalimah itu akan menggetarkan hati kita, atau pun sekurang-kurangnya kalimah ‘Allah’ yang sentiasa di bibir itu akan menyebabkan kita sentiasa takut dan takwa .

Ada juga yang beranggapan selama ini kalimah ‘Allah’ itu sendiri tidak ada apa-apa makna selain daripada kata-kata biasa sahaja. Apa tidaknya, kalau kita percaya kepada Allah sudah tentu kita takut melakukan rasuah, takut kepada perbuatan zina, perbuatan menipu, minum arak apa lagi melakukan perkara-perkara syirik. Kadang-kadang kita dapati mereka inilah yang kuat bersuara apabila isu ‘Allah’ ini timbul. Mereka lupa mereka juga selama ini mempermainkan Allah dengan rasuah, menggunakan harta kerajaan untuk kepentingan diri, menggalakkan hiburan yang melampau, memakan harta anak yatim dan sebagainya.

Itulah, bila pemimpin bersuara kita akan terus berkata ya. Bila orang politik bersuara mereka akan terus ke jalan-jalan raya, membakar apa saja. Bila orang agama bersuara, mereka akan menyerbu pusat-pusat hiburan dan menangkap siapa saja. Bila artis bersuara, mereka akan diberi anugerah dan ditaja. Bila penyair bersuara, angin pun tidak ingin menyapa.

Senin, 04 Januari 2010

Sukarnya Memilih Kebenaran.


Musashi atau nama penuhnya Miyamota Musashi adalah watak pendekar samurai dalam novel terkenal Jepun karya Eiji Yoshikawa. Novel tujuh siri ini menceritakan kehebatan seorang pahlawan samurai yang berpegang teguh kepada kebenaran. Kadang-kadang dia terpaksa menentang kebatilan secara berseorangan. Malah sampai pada suatu peringkat musuhnya memperjudikan seorang kanak-kanak untuk menjadi perisai menentang Musashi. Puas dia berperang dengan jiwanya bila berhadapan dengan situasi begini. Menyerah kerana tidak mahu mengorbankan kanak-kanak bererti dia tidak dapat menghapuskan kebatilan itu, malah mengorbankan dirinya sendiri. Melawan menyebabkan kanak-kanak itu terbunuh, akan menyebabkan dia dituduh kejam. Mana satu pilihannya?
Dalam perjuangan apa pun biasalah orang yang lemah, pengecut dan jahat akan menggunakan anak kecil atau manusia biasa atau rakyat biasa untuk dijadikan perisai. Kumpulan ini berharap musuhnya akan tewas kerana mengharapkan massa akan menghukumnya. Katalah dia menang menumpaskan orang yang dijadikan umpan itu, orang akan berkata dia dayus kerana hanya mampu menumpaskan seseorang yang bukan lawannya. Kalau dia kalah lagi teruk. Dia akan dimalukan habis-habisan dengan menyatakan bahawa dengan orang kerdil seperti itu pun dia tidak mampu mempertahankan diri.
Inilah hakikat dalam kehidupan kita seharian, hatta dalam politik sekalipun. Sebagai pahlawan samurai, Musashi tetap memilih kebenaran daripada nyawa seorang anak kecil.

Minggu, 03 Januari 2010

Sabda Hati yang Mendiami Sepi

Aku lahir dari payung kebebasan yang terbuka
dewasa dan terlontar di bumi merdeka
bersanding di pelamin pembangunan
tapi masih mendirikan pagar-pagar bimbang

Aku bangun dari kuburan sejarah luka
mencari tongkat ketuanan
yang hilang dari mimbar bangsa
mencari imam yang berani bersuara

Aku merindu arak dari syurga
membuang mabuk dunia
merawat gelisah kebendaan
dengan wirid-wirid penyesalan

Aku bersabda di tasik kearifan
ketika hati mendiami permukaan sepi
ada sepatu ukhrawi yang keliru
bukan perjalanan berliku memperindah diri


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Wangsa Batu Pahat, Johor.
Berita Harian Sabtu, 2 Jan.,2010