Kamis, 07 Januari 2010

Bila Penyair Bersuara…


Kita masih berada dalam bulan Hijrah. Semangat hijrah nampaknya menghangatkan isu tentang perkataan ‘Allah’. Lalu kita sibuk mempertahankannya daripada dieksploitasi. Memanglah, harap-harap jangan ada agama lain pula yang mengklaim kata-kata ‘Allah’ untuk diletakkan pada patung yang disembah. Inilah ‘Allah’ kami, kata mereka. Harap-harap dengan isu ini para pemimpin, para ulamak dan juga ahli politik akan berhati-hati dengan segala permainan orang-orang yang ingin menghancurkan Islam.

Sebenarnya saya ingin menulis sebuah puisi tentang isu ini. Tapi saya rasa hal ini tidak akan ke mana-mana. Suara penyair biasanya dipandang sepi, kerana kebanyakan kita beranggapan suara penyair susah difahami.
Benarkah kita betul-betul sayangkan kalimah ‘Allah’, sehingga bila disebut kalimah itu akan menggetarkan hati kita, atau pun sekurang-kurangnya kalimah ‘Allah’ yang sentiasa di bibir itu akan menyebabkan kita sentiasa takut dan takwa .

Ada juga yang beranggapan selama ini kalimah ‘Allah’ itu sendiri tidak ada apa-apa makna selain daripada kata-kata biasa sahaja. Apa tidaknya, kalau kita percaya kepada Allah sudah tentu kita takut melakukan rasuah, takut kepada perbuatan zina, perbuatan menipu, minum arak apa lagi melakukan perkara-perkara syirik. Kadang-kadang kita dapati mereka inilah yang kuat bersuara apabila isu ‘Allah’ ini timbul. Mereka lupa mereka juga selama ini mempermainkan Allah dengan rasuah, menggunakan harta kerajaan untuk kepentingan diri, menggalakkan hiburan yang melampau, memakan harta anak yatim dan sebagainya.

Itulah, bila pemimpin bersuara kita akan terus berkata ya. Bila orang politik bersuara mereka akan terus ke jalan-jalan raya, membakar apa saja. Bila orang agama bersuara, mereka akan menyerbu pusat-pusat hiburan dan menangkap siapa saja. Bila artis bersuara, mereka akan diberi anugerah dan ditaja. Bila penyair bersuara, angin pun tidak ingin menyapa.

7 komentar:

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Harap-harap apa yang tuliskan diblog ini akan membuka mata kepada mereka yang sering melaung-laung sebutan "ALLAH". Seolah-olah mempermainkan saja , suka-suka sebut tetapi dihatinya kosong dalam erti kepercayaan kepada Allah. Tidak mengikut perintahNya dan jauh sekali hendak melarang kemungkaran yang berlaku secara terang sekarang ini.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Saya tertarik pada baris terakhir entri ini, "apabila penyair bersuara, angin pun tidak ingin menyapa." Saya masih tidak faham mengapa dalam sesuatu majlis khas utk sastera, ada artis yang diundang? Maka keluarlah kenyataan yang saya fikir kenyataan yang plastik (saya memang sudah lama meminati puisi). Tetapi dalam program-program hiburan, tidak ada sesiapa pun yang sudi mengundang penyair.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Haji Tahir,
Benar, kita semua tidak kira apa agama, apa bangsa hatta semua isi alam ini adalah milik 'Allah', cuma perbezaannya 'Allah' itu pula hanyalah milik orang-orang yang percayakannya dan yang sentiasa taku dan takwa.

Md. Nizar,
Memang ada lagi 'dinding' yang tidak jelas kelihatan yang erlu kita robohkan agar suara sastera dapat mencerdikkan bangsa, bukan melekakan.

faziz ar mengatakan...

tuan
salam kunjungan
menyisihkan sastera
adalah menyisihkan jiwa
yang tinggal adalah benda
yang tak punyai rasa
Bila kapitalis menguasai suasana
itulah jadinya
suara-suara perjuangan adalah hipokrit
mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan
kejap ke sana
bila perlu kesini pula
ilmu tidak dijadikan asas
hanya retorik dan kekal kuasa lebih penting

Melihat Kesunyataan mengatakan...

faziz ar,
Ungkapan yang menarik tentang suasana penerimaan masyarakat terhadap dunia sastera.
Ada yang masih perlu diperjuangkan.

wardah munirah mengatakan...

Assalammualaikum, Cikgu.

Kadangkala, masyarakat menjadi bertambah bobrok apabila kebanyakan daripadanya hanya melaungkan kalimah suci itu secara ikut-ikutan tanpa hati benar-benar ingin memperjuangkannya. Kalimah Allah dilaung konon dipertahankan dalam bentuk yang tidak mencerminkan perjuangan hakiki.

Waallahua'alam

FadzliAbuBakar mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Mungkin kita perlu sama-sama fikirkan bagaimana untuk menyebarkan suara penyair melalui pelbagai medium komunikasi dan pendekatan kontemporari. Saya akui budaya berfikir kian pudar di kalangan masyarakat kita, membuatkan puisi2 kurang diamati. Teruskan perjuangan tuan kerana saya percaya bahawa ia masih perlu diteruskan.

"Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan."