Minggu, 30 Desember 2012

Peringatan Buat Diri

Biasanya kita sentiasa mengingatkan orang lain agar berhati-hati, agar berbuat baik, agar jangan sombong dan banyaklah lagi peringatan. Bacalah blog dan dinding-dinding fb. Kebanyakannya berupa pesanan-pesanan dan peringatan kepada pembaca. Pernahkah kita berfikir untuk sentiasa berpesan kepada diri sendiri pula? Seharusnya begitu. Banyakkanlah berpesan-pesan buat diri sendiri. Malah sebelum berpesan untuk menasihati orang lain, pesanlah kepada diri sendiri terlebih dahulu. Biarpun kita selalu membaca suurah al-Asr yang membawa maksud, 'Demi masa.Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. Mengambil iktibar dari ayat tersebut seharusnya kita yang menjadi informer kepada jalan kebenaran perlulah tahu tentang apa itu kebenaran. Malah perlu lebih dulu mencintai kebenaran. Sebab itulah ayat tersebut didahulu dengan menyatakan bahawa kita sendiri mesti dulu beriman. Kita mesti lebih dahulu mengerjakan kebaiakan. Barulah mengingati orang lain. Kebenaran ini tentulah kebenaran al-Quran dan al-hadith. Mana mungin orang yang tidak membaca al-Quran dan hadith mencanang-canang kebenaran? Mana mungkin orang yang tidak mengamalkan kebenaran al-Quran dan hadith bercakap tentang kebenaran? Kepada diri dan juga kepada sesiapa sahaja, marilah sama-sama kita memasuki tahun 2013 ini dengan lebih banyak berpesan-pesan kepada jalan kebenaran.

Rabu, 26 Desember 2012

Apakah Kita Sudah Cukup Bersedia?

Diam tak diam kita sudah berada di garisan penamat hujung tahun 2012. Beberapa hari lagi kita akan memasuki garis baru, iaitu tahun 2013. Rasanya tahun 2012 banyak meninggalkan kenangan. baik kenangan yang mamnis juga kenanagan pahit. Apa pun itu adalah asam garam kehidupan. sebagai manusia kita tidak akan dapat lari daripada ketentuan Ilahi. apa yang penting apakah pengajaran yang dapat kita ambil daripada kejadian yang menimpa diri dan keluarga. Begitu juga kejadian yang berlaku di sekitar kita, di taman perumahan tempat kita tinggal, di bandar kita tinggal juga tidak ketinggalan di negara kita ini. Sudah tentu banyak kejadian yang boleh dijadikan pengajaran buat kita. Sesuatu yang perlu kita sedari ialah umur kita sebenarnya makin berkurangan. Bertambah angka bermakna berkurangan hari-hari kehidupan kita. Bagai daun-daun umur yang berguguran satu persatu. Hinggalah akhirnya daun umur yang terakhir. Untuk itu apakah selama ini kita sudah bersedia? (pertanyaan ini buat diri saya juga). Seharusnya kita sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat kita menyediakan bekalan untuk dunia yang seterusnya, iaitu akhirat. Tapi berapa ramai kita yang berfikir tentang akhirat? Kita begitu ghahirah untuk menghadapi tahun baru, tahun 2013. Macam-macam persediaan dan azam yang hendak kita lakukan. Biasanya 'azam' kita hanyalah bertumpu kepada pengisian dunia sahaja. Kita lupa pada dunia akhiran yang sebenarnya lebih penting. Apakah bekalan kita sudah cukup?

Minggu, 19 Agustus 2012

Sambutan Hari Raya

Seharusnya tradisi menyambut hari raya, baik hari raya aidilfitri atau aidiladhar boleh dijadikan titik-tolak kepada perubahan kepada sesuatu yang lebih bermakna. Kemenangan aidilfitri bukan bermakna kita harus memeriahkannya dengan bunga api dan mercun. takbir hari raya mempunyai makna yang lebih kepada ketakwaan dan perjuangan. Bermula dengan perjuangan mengekang nafsu selama sebulan dalam bulan ramadan, seterusnya mempertingkatkan amal siang dan malam, sepatutnya ditutup dengan rasa keinsafan. Sebagai umat Islam kita seharusnya akan bertambah kualiti, bukan sebaliknya. Berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, kedatangan 1 syawal nampaknya disambut dengan meriah kerana kita berasa telah bebas daripada kongkongan satu bulan yang amat menyeksakan. Bulan dimana kita terpaksa menahan nafsu makan. Bulan dimana kita terpaksa mempertingkatkan amal. Semuanya dinilai dengan rasa terpaksa. Bukan datang dari hati yang cukup insaf bahawa kita ini hamba Allah yang perlu kepada pengekangan nafsu dan tahu bagaimana amal di bulan ramadan adalah amalan yang berlipat ganda pahalanya. Ketika media tv memaklumkan bahawa hari raya menjelang, maka kedengaranlah bunyi mercun di sana-sini, sedangkan di surau dan masjid ada manusia yang bertakbir. Dua suasana yang berbeza ini menggambarkan betapa kita bertempur antara dua konsep sambutan hari raya. Satu lebih kepada tanda gembira kerana hari raya adalah hari terbebasnya syaitan yang selama ini dibelenggu. Satu lagi adalah sambutan kesedihan bahawa ramadan yang begitu mulia sudah berakhir dan kita akan menghadapi hari-hari yang mendatang yang penuh cabaran. Seterusnya tradisi menziarahi keluarga, sahabat handai dan rumah terbuka akan menjadi penting. Memang tradisi berziarah amat dielu-elukan dalam Islam, tetapi harusnya dibatasi dengan adap dan peraturan Islam. Bermaaf-maafan sudah bukan menjadi perkara utama lagi. Anak-anak lebih kepada berlumba-lumba untuk memgumpulkan duit raya, manakala anak-anak muda pula mengambil kesempatan untuk bertandang ke rumah-rumah teman wanita mereka, kerana sudah tentu alasan hari raya tidak akan dipandang serong. Meski ada tradisi 'marhaban' di setengah tempat, tetapi nampaknya pengisian makan dan jamuan lebih utama sehingga kadang-kadang menjadi pembaziran.Suasana terus dirosakkan oleh siaran tv yang menyiarkan rancangan yang terlalu banyak hiburan. Sudah sampai masa kita memikirkan kembali bagaimanakah cara sambutan hari raya yang benar-benar sesuai untuk kita sebagai umat Islam yang sebenar. Konsep kesederhanaan perlu diterapkan dalam aspek persiapan, seperti hidangan, perhiasan dan pakaian tetapi kita seharusnya lebih mementingkan 'pengisian'. Bermula dengan siaran tv yang boleh diatur agar lebih menekankan konsep hari raya untuk 'kemenangan' dan 'keinsafan' seterusnya membanyakan pengisian di rumah-rumah Allah. Kita lihat hari raya menyebabkan rumah Allah kembali sunyi menjelang selepas solat sunat hari raya.

Senin, 23 Juli 2012

Surau

Masuk sahaja bulan ramadan surau tiba-tiba menjadi sasaran makmum. Terutama pada malam-malamnya. Jelas surau menjadi tumpuan kepada umat Islam untuk beribadah. Memang surau begitu penting menjelang tibanya ramadan. Solat terawih penuh surau. Sehingga ustaz yang kebetulan menjadi imam rasa terharu dan sempat bertazkirah mengelu-elukan kehadiran mereka. Sambil menyatakan kesyukurannya beliau terus berharap agar para jemaah akan terus istiqamah biar pun selepas ramadan. Sayangnya harapan Pak Imam itu hanya dapat dilihat pada malam-malam pertama dan kedua sahaja. Masuk malam ke tiga surau sudah mula kehilangan jemaahnya. Ke mana perginya mereka? Sehingga tiba waktu memberi salam pada akhir solat terawih, yang tinggal cuma satu saf lebih sikit sahaja. Nampak benar ibadah kita ini hanya dalam bentuk 'bermusim'. Nampak benar kita masih hangat-hangat tahi ayam dalam beridabah. Tiada kesungguhan, tidak istiqamah seperti kata ustaz. Malah beliau khuatir pada minggu terakhir ramadan surau akan kembali seperti biasa. Yang tinggal hanyalah mereka yang biasa datang ke surau. Itulah sekitar 16- 20 orang sahaja. Begitulah suasana surau di tempat saya. Sebuah surau indah di sebuah Taman Perumahan. Tetapi keindahan surau tidak menggambarkan keindahan ibadah penduduk-penduduk taman yang kira-kira 170 rumah penduduk beragama Islam itu.

Selasa, 10 Juli 2012

Fitnah

Dunia fitnah biasa cukup kreatif. Tidak perlu kita mencari sebab atau tujuan fitnah kerana sudah tentu niat fitnah tidak ada yang baik. Dewasa ini fitnah politik makin banyak. Masing-masing hendak berkuasa dan hendak menjatuhkan pihak lawan. Sudahnya fitnah menjadi fakktor penting dalam tujuan untuk berkuasa. Faktor kebenaran sudah diketepikan. Juga faktor moral tidak menjadi soal. Peranan memdia sudah berubah daripada menjadi sumber untuk berita dan ilmu menjadi sumber untuk mengaibkan, mencerca, memburuk-burukkan dan mengupat. Semuanya atas nama demi bangsa, agama dan negara. Benarkah bila kita memburukkan seseorang lalu kita berselindung atas nama bangsa, negara dan agama? Apa yang lebih mendukacitakan tuduhan itu diikuti dengan bukti-bukti pengakuan dan testemoni penemuan barangan tertuduh sebagai bukti. Malah yang dituduh diheret ke mahkamah media. Dicari-cari bukti, dimsukkan cerita-cerita yang menyebabkan semua orang menjadi keliru. Setiap hari, setiap masa ada saja ceritanya. Macam iklan. Hinggalah dalam minda kita tidak ada yang lain. Dalam fikiran kita tidak ada benda lain selain daripada kisah-kisah tersebut. Akhirnya bila sesuatu itu diulang-ulang, maka akhirnya pembaca akan menerima hal itu sebagai benar. Macam kita lihat iklan barangan setiap hari. Dulu iklan merekok, meskipun kita tahu merokok memudaratkan tetapi kerana iklan menggambarkan semuanya yang baik-baik pada perokok makan makin ramai orang yang menghisap rokok. Begitulah, berita fitnah yang pada mulanya kelihatan tidak lojik jika diulang selalu dalam media, akhirnya kita akan terpengaruh juga. Macam cerita seroang tua bernama Pak Mat yang hendak menjual kambing ke pasar. $ pemuda cuba provok Pak Mat dengan tujuan supaya Pak Mat menyerahkan saja kambingnya pada mereka. Mereka membuat perancangan dengan teliti. Pada hari Pak Mat mengheret kembingnya ke pasar pemuda pertama menunggu di suatu simpang sambil bertanya, 'Pak Mat nak ke mana bawa anjing tu?' Pak Mat melenting marah, 'Buta ke engkau. Inikan kambing!'. Bila sampai ke simpang lagi satu pemuda kedua pula menegur Pak Mat, 'Eh Pak Mat, tak baik ikat anjing tu. Pak Mat dah bela anjing ke?' Mendengar kata-kata pemuda kedua lagi sekali Pak Mat menyanggah dengan mengatakan bahawa yang diheretnya itu kambingnya bukan anjing. Bila bertemu pula pemuda ketiga, pemudai ketiga menegur Pak Mat, 'Anjing Pak Mat tu krus sangatlah!' Kali ini sudah terfikir dalam fikiran Pak Mat benarkah yang diheretnya itu kambing? kerana sudah tiga orang yang ditemuinya menyatakan bahawa dia mengeheret anjing. Bila sampai pada pemuda keempat, pemuda itu terus menyatakan, "Ala Pak Mat tak payahlah nak jual anjing tu, buat apa bagi pada sayalah..' Tanpa berfikri panjang Pak Mat terus menyerahkan kambingnya itu pada pemuda keempat kerana baginya betullah, binatang yang diheretnya itu bukan kambing tetapi anjing.

Sabtu, 02 Juni 2012

Bercakap dengan Orang Fasik Hati-hati bercakap atau mengeluarkan kenyataan dengan orang-orang fasik. Siapakah orang-orang fasik ini? Mereka adalah orang-orang yang biasanya memutarbelitkan kenyataan. Memang sudah kerap benar berlaku beberapa kenyataan penting sering diputarbelitkan demi kepentingan sesuatu pihak, khususnya bagi kepentingan politik tertentu. Tidak perlulah dinyatakan di sini apakah kenyataan itu. Sudah banyak benar tersiar baik di mana-mana media, apa yang sebenarnya diperkatakan oleh seseorang itu tidak menggambarkan apa yang sepatutnya. Begitulah tugas si fasik. Mereka suka sekali mencari atau menimbulkan kontroversi. Mereka ini suka melihat masyarakat terbentur dengan konflik. Mereka akan bertepuk tangan bila ada pertembungan antara dua pihak yang seharusnya bersatu. Puak ini akan mengambil kesempatan daripada pertembungan dan konflik ini. Begitulah jahatnya si fasik. Sebab itulah, dalam Islam ada memberikan amaran, jika ada berita yang disampaikan oleh si fasik eloklah diabaikan sahaja kerana mereka ini tidak boleh dipercayai.

Selasa, 27 Maret 2012

Kantata Malam Mahrajan

Senyampangan pertemuan. Wangian pandan persahabatan. Malam mahrajan di Membakut dengan aroma udang, ikan dan sotong. Binsuluk yang bersusila. Menyapa dengan gerimis mesra. Rumah-rumah bertiang tinggi menyalakan lampu ramah. Tiang-tiang ukhuwah tertambatnya perahu percaya. Pimping yang peramah. Halaman dihias dengan deretan pelita bersiduga dengan manggar mesra. Manifestasi emosi. Mereka yang kaya budaya kaya susila. Brunai di pinggir pantai dengan purdah hidup sederhana dengan paluan kompang selamat datang. Mereka berselawat, berpantun dan bergurindam tentang wadah hidayah. Kantata malam mahrajan tiga malam di Membakut. Membakut, Sabah. (Tersiar di MM 18 Mac 2012)

Selasa, 06 Maret 2012

Jika di seberang ada kebenaran, mari kita menyeberang

Kebenaran bukan seperti pohon yang berbuah yang boleh mengiurkan kancil. Sehingga kancil terpaksa menipu buaya untuk menyeberang.

Kebenaran hanya boleh diterjemahkan oleh sesiapa sahaja yang celik hatinya. Setiap hari media menyuguhkan kepada kita macam-macam isu. Terpulang kepada kita untuk mentafsir dan memikirkannya. Bagi yang sudah punya warna tersendiri, sukar untuk berfikir secara matang.

Kebenaran tidak perlu dibohongi dengan retorik politik, kerana kebenaran politik tidak sama dengan kebenaran intelektual.

Di seberang sana mungkin tidak ada kemewahan, jauh sekali menjanjikan kesenangan hidup. Biasanya begitulah dengan kebenaran. Kebenaran tidak menjanjikan apa-apa, malah kadang-kadang kita terpaksa pula berkorban demi kebenaran.

Hanya ada satu kebenaran, iaitu kebenaran kaabah. Kebenaran kaabah bermakna kita akan melihat warna yang sama meski di sudut mana pun kita berada. Kebenaran kaabah juga memerlukan kita untuk tawaf badani, fikiran dan pandangan. Barulah kita menemui diri kita yang sebenarnya. Kaabah sebagai pusat menyatukan ummat. Begitulah kebenaran seharusnya dapat menyatukan kita.

Rabu, 29 Februari 2012

Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara



(Gambar Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah turut serta dalam adat potong jambul di Dewan Rakyat Pimping, Membakut)
8- 12 Februari 2012.

Ketika pertama kali menjejak negeri Sabah, turun dari pesawat ‘Air Asia’ kami dijemput oleh Ramli Jusuh dan Ruhaini Matdarin. Mereka Urusetia Marhajan yang bertungkus lumus memastikan peserta yang tiba dapat dibawa ke Kem BTN di Resort Eko Lake, Membakut. Peserta PPJ hanya saya, Hamzah Hamdan, Hasnah Hj. Omar dan Fathin Shapiai. Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah tiba dari KL agak lewat kerana hari ini hari bekerja. Perjalanan agak jauh lebih kurang 80 km. Kami singgah dulu untuk makan tengahari di Restoren Taufik Hidayah, kerana jam sudah melebihi 2 petang. Nasib baik juga kami sudah makan dulu di dalam pesawat.

Dalam perjalanan kami sempat berkenalan dengan Ramli Jusuh yang berasal dari Terangganu. Beliau sudah berpuluh tahun tinggal di Sabah, berkahwin dengan orang Sabah. Pesara guru kini menumpukan hidupnya dengan berladang dan menternak lembu dan kambing. Di samping itu bergiat dalam persatuan BAHASA. Kini sebagai Ketua Dua BAHASA. Seorang lagi kenalan baru ialah Sdr. Yatim Ahmad, seorang pemberita di akhbar Borneo Post. Beliau banyak membuat ulasan-ulasan buku. Ruhaini Matdarin pula adalah seorang pengarang muda kelahiran Sabah. Beliau adalah pemenang Sayembara menulis nobel Kerajaan Negeri Sabah siri 1, 2011. Novel beliau berjudul ‘Nisan’.

Ketika kami tiba di Dewan Masyarakat Membakut, perasmian Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara telah pun berlangsung. Sepatutnya dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri YB Datuk Seri Panglima Haji Anifah Haji Aman, tetapi beliau tidak dapat balik kerana terkandas di London akibat cuaca sejuk yang terlampau. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Mohd. Ariff, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri N.24 Membakut. Ketika kami sampai hujan turun agak lebat. Kami sempat menyaksikan beberapa persembahan deklamasi sajak dan pantun oleh beberapa tokok sastera dan seniman Sabah.

Dari Dewan Orang ramai kami terus dibawa ke penginapan di Kem BTN yang agak jauh dari bandar. Aku mendaftar dan mendapat bilik bersama tujuh peserta yang lain. Tetapi mereka masih belum sampai. Jadi aku memegang kuncinya, iaitu bilik 504. Hamzah Hamdan terpaksa berpisah denganku, dia ditempatkan di bilik 510 bersama peserta Singapura dan Sabah.

Malamnya kami dibawa ke Kampung Binsuluk untuk mengadakan persembahan. Di sini kampungnya berada di pinggir pantai. Ketika kami berjalan kaki masuk lorong kampung bau ikan dan udang cukup terasa, sehingga Datuk Latif sendiri berkata kepadaku bahawa di sini tentu ada perusahan membuat belacan. Memang benar setiap peserta diberi oleh-oleh belacan.

Persembahan malam itu di Dewan Datu Syahbandar Saleh kampung Binsuluk agak menarik dengan bacaan sajak, lagu puisi dan persembahan tarian dari penari-penari Kesenian LASQI Acheh. Penulis terkenal novel ‘Ayat-ayat Cinta’ Habiburrahman El-Shirazy juga sempat mengadakan pembacaan beberapa buah sajak nukilan beliau sendiri.

Pembentangan kertas kerja dan forum selama dua hari agak padat dengan pembentangan daripada peserta-peserta Malaysia, Berunai, Singapura, Thailand dan Indonesia. PPJ juga diwakili oleh Ketua Satu, Amiruddin Ali Hanafiah yang membentangkan makalahnya tentang, ‘Zapin dari Persepektif Islam’.

Malam-malam berikutnya diisi dengan persembahan di Kampung Brunei dan juga pada malam terakhir di Kampung Pimping, Membakut. Sesungguhnya sambutan penduduk-penduduk setempat memang sungguh meriah. Setiap kampung akan menyambut peserta seminar dengan paluan kompang dan bunga manggar.

Dalam ucapan aluan Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Haji Mohd. Arif, menyatakan tema seminar kali ini adalah, ‘Transformasi dalam Persuratan dan Kesenian Islam’. Beliau juga berharap acara semumpama ini akan menjadi acara dwitahunan.

Minggu, 05 Februari 2012

Tentang Sikap.

Sikap memalapetakan masalah sering berlaku dalam kalangan orang Melayu. Biasanya masalah itu kecil sahaja, tetapi dijadikan ‘malapetaka’ kerana merasakannya menyentuh tentang sensetiviti Islam dan Melayu khususnya. Misalnya bila seseorang tokoh bercakap tentang yahudi, jangan ada kata-kata yang bermaksud untuk berbaik sangka kerana mereka juga manusia, akan terus menjadi ‘malapetaka’ dikecam dengan hebat. Semuanya akan berbalik kepada Yahudi yang benar-benar dilaknat dalam al-Quran. Bila tentang hal ini banyak pula yang merujuk kepada al-Quran. Masing-masing seolah-olah menjadikan al-Quran rujukan harian mereka, tetapi dalam bab-bab amalan, akidah, iman dan hukum mereka sering terlupa, malah ada yang menyatakan ‘tidak sesuai’ dengan zaman ini. Seperti hukum hudud. Ada yang sampai kepada menyatakan hukum tersebut hanyalah sebahagian kecil dalam perundangan Islam. Kita sebagai umat Islam perlu menumpukan sesuatu yang lebih bersar dan mencabar seperti bagaimana hendak memajukan umat Islam. Begitulah kata mereka, sehingga ada yang menyatakan jika oorang Islam dikenakan hukum hudud seperti potong tangan untuk kes mencuri, bagaimanakah mereka survive dalam hidup mereka kelak, kerana mereka perlukan tangan untuk bekerja.

Mengukur sikap dengan kata-kata sering menjadikan kita lupa siapa kita. Sikap syukur misalnya sering dirujuk kepada pemberian kerajaan kepada rakyatnya. Rakyat tidak tahu bersyukur kerana segala kemudahan yang diberi oleh kerajaan, segala kemewahan yang kita kecapi, segala keamanan yang kita nikmati adalah atas usaha kerajaan. Oleh itu tidak seharusnya rakyat tidak berterima kasih atau bersyukur. Bersyukur harus diterjemahkan dalam pilihan raya, iaitu dengan memberi sokongan kepada calon parti yang memerintah. Inilah sikap yang salah yang sering menjadikan kita serba salah. Kenapa rakyat sahaja yang mesti berterima kasih kepada kerajaan, iaitu parti yang memerintah. Kenapa kerajaan pula tidak berterima kasih kepada rakyat yang selama ini menyokong mereka. Selama berpuluh tahun tentunya. Seharusnya kerajaan yang memerintah tahu bagaimana hendak bersyukur.

Memang kita seharusnya bersyukur. Bersyukur bermakna kita akan lebih patuh kepada perintah Allah, dan terus memperhebatkan amal dan menjaga iman. Itulah tanda keksyukuran kita sebagai hamba Allah. Banyak nikmat yang Allah berikan, sudah tentu kita tidak akan dapat membalasnya kalau hanya dengan ibadah kita yang seciput itu.

Rabu, 01 Februari 2012

Rumah Akhirat

Aku singgah sebentar
di rumah ghairah dunia
membetulkan kiblat
mengejapkan sahadat
mencari rimbun rakaat
di pohonan solat

Aku membajak di bendang bimbang
mandi stimulus di perigi doa
guruh bahagia masih jauh
aku ingin masuk
ke dalam kapas kasih-Mu
terbang di langit ilahi
menyeberang lautan zikir
berkaca di cerminan makna
dosa pahala

Aku hanya singgah sebentar
sebelum mandi di terminal terakhir
sebelum pindah
meninggalkan rumah dunia
ke rumah akhirat
yang kita bina
daripada batu-bata ibadat.



SHAPIAI MOHD. RAMLY
25 Nov. 2010
(Dewan Sastera Jan.2012)

Minggu, 29 Januari 2012

Amanah

Jika setiap kita faham tentang apa yang dikatakan ‘amanah’ dan terus menjaganya sudah tentu hidup kita (masyarakat) akan aman dan tidak akan berlaku (kurang berlaku) perkara-perkara yang melanggar hukum agama. Biasanya orang yang amanah di dalam dirinya ada iman, ada tawakal dan ada sifat-sifat mahmuddah.
Agak sukar untuk mencari manusia amanah pada zaman ini. Sesuai dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh abu hurairah, ketika Nabi menjawab pertanyaan seorang badwi yang bertanyakan tentang hari kiamat. Sabda Nabi, ‘Jika amanah sudah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat.’ Seterusnya si Badwi itu bertanya lagi, ‘Bagaimanakah terjadinya kesia-siaan itu, wahai rasullallah?’, Nabi menjawab, ‘Iaitu ketika suatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan kiamat itu.’.
Daripada hadith itu jelas menunjukkan bahawa ‘amanah’ bukan lagi menjadi pilihan kepada orang yang memimpin, iaitu seperti yang dimaksudkan nabi apabila suatu urusan itu tidak serahkan kepada yang bukan ahli.
Bila yang bukan ahli menjadi pemimpin sudah tentulah mereka menjalankan tugas bukan berdasarkan amanah.
Siapakah pemimpin? Seorang bapa ada pemimpin dalam sebuah keluarga. Anak-anak adalah amanah. Jika bapa tidak menjalankan tugasnya sebagai bapa yang bertanggungjawab maka rosaklah sebuah institusi keluarga. Begitu juga seorang pemimpin. Di bahunya ‘amanah’ untuk berlaku adil kepada semua rakyat. Jika seorang pemimpin lebih mementingkan keluarga, kroni dan penyokong-penyokongnya sahaja, maka beliau bukanlah seorang yang boleh dikatakan ‘amanah’.

Minggu, 22 Januari 2012

Yang Memisahkan Kita

Kalau dulu yang memisahkan kita
hanyalah lautan kehidupan
tetapi ikannya, ombaknya, karangnya adalah sama.

Kalau dulu yang memisahkan kita
hanyalah sungai fikiran
tapi tebing persaudaran kita adalah sama
kita sering menyeberang memberi salam

Kalau dulu yang memisahkan kita
adalah gunung keazaman
tapi rimbanya, fauna dan floranya adalah sama
biar saling berburu alamnya tetap terjaga

Kini yang memisahkan kita
adalah dinding perbezaan
yang dibina oleh rasa kekitaan

Kini yang memisahkan kita
adalah pagar-pagar prasangka
yang didirikan oleh rasa curiga

Kini yang memisahkan kita
adalah sempadan, paspot dan kuasa
yang memisahkan fikiran dan rasa kemanusiaan.

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor.
(Berita Minggu 15.1.2012)

Rabu, 11 Januari 2012

Menziarah Rakan-rakan yang sakit

Beberapa hari ini mengambil peluang untuk menziarah dua orang rakan yang sakit. Seorang rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah di IPTHO, didapati mengalami cecair di otaknya kerana sistem saraf yang tidak berfungsi di tengkuk, menyebabkan cecair tidak dapat turun ke perut. Beliau telah mendapat rawatan hospital, dan sejenis saluran ditanam di otaknya dan disalurkan melalui leher terus ke perut. Nampaknya kecangihan perubatan kita sudah tidak boleh diragui. Semasa melawat beliau, nampaknya beliau menyatakan bahawa ada sesuatu yang menggangu beliau sebelum ini, beliau sering pening kepala dan sebelum dirawat di hospital beliau mengalami muntah-muntah darah. Umur beliau baru 51 tahun.

Teman saya yang seorang lagi, ialah seorang penulis yang pernah mendapat anugerah Karyawan Johor. Beliau pada mulanya mengalami stroke, tetapi sudah semakin pulih. Cuma kebelakangan ini tidak lagi kuat berjalan. Memang ramai teman-teman yang menziarahi beliau. Nampaknya semasa saya datang, beliau masih dalam keadaan ingat, tetapi selang beberapa ketika, asyik menghulur tangan untuk bersalaman.

Begitulah, kita sebagai manusia akhirnya akan ditimpa sakit. Cuma kadang-kadang sakit seseorang itu berbeza antara satu dengan lain. Kalau sakit kencing manis, gaut, darah tinggi, lemah jantung memang biasa. Sakit barah juga sering membawa kita ke distinasi yang terakhir. Beberapa orang sahabat saya sudah pun berpulang ke rahmatullah kerana sakit yang saya sebutkan tadi. Ada lagi yang masih menerima rawatan. Masih terkedang di rumah pun ada. Begitulah kalau dulu semasa sihat kami tidak terfikirpun bahawa pada suatu hari kelak kami akan saling bertanya khabar, tetapi dalam keadaan masing-masing sedang diuji dengan pelbagai penyakit.

Nampaknya pengajaran kepada saya, ialah tentang ‘masa’ yang sering diingatkan oleh Allah dalam surah ‘Al-asyr’ itu, demi masa manusia sering kerugian, kecuali yang berpesanp-pesan dengan kebaikan dan dengan kesabaran’. Begitulah masa sihat, seharusnya kita manfaatkan dengan pelbagai amal dan kebajikan. Masa senggang kita isikan dengan amal dan kebajikan. Masa muda juga, apalagi jika yang kaya dan berkemampuan sudah tentu gunakanlah kekayaan itu untuk beramal. Sayangnya, kita sering terlupa. Bila sakit barulah penyesalan datang. Kalaulah aku sihat, kalaulah aku sihat....

Minggu, 01 Januari 2012

Tahun Baru

Tahun baru ditandai oleh beberapa insiden yang kurang enak. Meskipun ada yang masih leka dengan sambutan secara berhibur di dataran hingga membawa ke dinihari, ada juga insan yang terpaksa bermalam di lokap, terbaring di katil hospital kerana berdemonstrasi secara haram.
Yang di dataran juga sebenarnya adalah demonstrasi, tetapi dihalalkan kerana gara-gara ada pemimpin yang sanggup bersama-sama merayakannya. Meskipun cara merayakan tahun baru ini sebenarnya tidak sesuai dengan budaya kita orang Islam tetapi nampaknya kita sudah merasakannya bahawa perayaan itu tidak apa-apa masalah dan bukan pula satu dosa untuk bergembira hingga ke pagi.
Berlainan dengan demonstrasi pelajar-pelajar UPSI yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan. Nampaknya hal ini lebih menakutkan kerajaan, daripada hal-hal maksiat dan gejala sosial yang bakal berlaku akibat acara sambutan yang mudah menjerumuskan anak-anak muda itu ke arah berzina.
Dalam ucapan PM sempena sambutan tahun baru itu, beliau lagi sekali mengingatkan tentang beberapa usaha kerajaan untuk membuat beberapa perubahan yang terkenal dengan istilah ‘transformasi’, iaitu tentang transformasi politik, transformasi ekonomi dan transformati pentadbiran. Benarkah ada perubahan atau hanya sekadar retorik semata-mata kerana pilihan raya yang semakin hampir itu.