Rabu, 29 Februari 2012

Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara



(Gambar Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah turut serta dalam adat potong jambul di Dewan Rakyat Pimping, Membakut)
8- 12 Februari 2012.

Ketika pertama kali menjejak negeri Sabah, turun dari pesawat ‘Air Asia’ kami dijemput oleh Ramli Jusuh dan Ruhaini Matdarin. Mereka Urusetia Marhajan yang bertungkus lumus memastikan peserta yang tiba dapat dibawa ke Kem BTN di Resort Eko Lake, Membakut. Peserta PPJ hanya saya, Hamzah Hamdan, Hasnah Hj. Omar dan Fathin Shapiai. Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah tiba dari KL agak lewat kerana hari ini hari bekerja. Perjalanan agak jauh lebih kurang 80 km. Kami singgah dulu untuk makan tengahari di Restoren Taufik Hidayah, kerana jam sudah melebihi 2 petang. Nasib baik juga kami sudah makan dulu di dalam pesawat.

Dalam perjalanan kami sempat berkenalan dengan Ramli Jusuh yang berasal dari Terangganu. Beliau sudah berpuluh tahun tinggal di Sabah, berkahwin dengan orang Sabah. Pesara guru kini menumpukan hidupnya dengan berladang dan menternak lembu dan kambing. Di samping itu bergiat dalam persatuan BAHASA. Kini sebagai Ketua Dua BAHASA. Seorang lagi kenalan baru ialah Sdr. Yatim Ahmad, seorang pemberita di akhbar Borneo Post. Beliau banyak membuat ulasan-ulasan buku. Ruhaini Matdarin pula adalah seorang pengarang muda kelahiran Sabah. Beliau adalah pemenang Sayembara menulis nobel Kerajaan Negeri Sabah siri 1, 2011. Novel beliau berjudul ‘Nisan’.

Ketika kami tiba di Dewan Masyarakat Membakut, perasmian Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara telah pun berlangsung. Sepatutnya dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri YB Datuk Seri Panglima Haji Anifah Haji Aman, tetapi beliau tidak dapat balik kerana terkandas di London akibat cuaca sejuk yang terlampau. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Mohd. Ariff, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri N.24 Membakut. Ketika kami sampai hujan turun agak lebat. Kami sempat menyaksikan beberapa persembahan deklamasi sajak dan pantun oleh beberapa tokok sastera dan seniman Sabah.

Dari Dewan Orang ramai kami terus dibawa ke penginapan di Kem BTN yang agak jauh dari bandar. Aku mendaftar dan mendapat bilik bersama tujuh peserta yang lain. Tetapi mereka masih belum sampai. Jadi aku memegang kuncinya, iaitu bilik 504. Hamzah Hamdan terpaksa berpisah denganku, dia ditempatkan di bilik 510 bersama peserta Singapura dan Sabah.

Malamnya kami dibawa ke Kampung Binsuluk untuk mengadakan persembahan. Di sini kampungnya berada di pinggir pantai. Ketika kami berjalan kaki masuk lorong kampung bau ikan dan udang cukup terasa, sehingga Datuk Latif sendiri berkata kepadaku bahawa di sini tentu ada perusahan membuat belacan. Memang benar setiap peserta diberi oleh-oleh belacan.

Persembahan malam itu di Dewan Datu Syahbandar Saleh kampung Binsuluk agak menarik dengan bacaan sajak, lagu puisi dan persembahan tarian dari penari-penari Kesenian LASQI Acheh. Penulis terkenal novel ‘Ayat-ayat Cinta’ Habiburrahman El-Shirazy juga sempat mengadakan pembacaan beberapa buah sajak nukilan beliau sendiri.

Pembentangan kertas kerja dan forum selama dua hari agak padat dengan pembentangan daripada peserta-peserta Malaysia, Berunai, Singapura, Thailand dan Indonesia. PPJ juga diwakili oleh Ketua Satu, Amiruddin Ali Hanafiah yang membentangkan makalahnya tentang, ‘Zapin dari Persepektif Islam’.

Malam-malam berikutnya diisi dengan persembahan di Kampung Brunei dan juga pada malam terakhir di Kampung Pimping, Membakut. Sesungguhnya sambutan penduduk-penduduk setempat memang sungguh meriah. Setiap kampung akan menyambut peserta seminar dengan paluan kompang dan bunga manggar.

Dalam ucapan aluan Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Haji Mohd. Arif, menyatakan tema seminar kali ini adalah, ‘Transformasi dalam Persuratan dan Kesenian Islam’. Beliau juga berharap acara semumpama ini akan menjadi acara dwitahunan.

Tidak ada komentar: