Rabu, 25 Juni 2008

Tentang Pasar

Saya pernah menulis begini:

Seorang lelaki
pulang membimbit bungusan ikan
calar iman.

Betapa pasar melambangkan sesuatu yang kotor bagi saya. Seharusnya tidak begitu. Tapi itulah kenyataannya bila merujuk kepada keadaan pasar di kebanyakan tempat di tanah air yang tercinta ini. Rata-rata orang kini sudah menerima konsep pasar yang begini, yang kotor, yang basah, yang berbau. Tidak adakah pasar yang bersih. Untuk itu saya lebih suka berbelanja di pasar raya sahaja. Meskipun agak mahal sedikit.

Sudah sampai masanya kita mengubah konsep pasar di negara kita ini kepada satu konsep pasar yang bersih, kering dan tidak berbau busuk. Bolehkah? Hatta kalau kita mengenakan pakaian pejabat pun bau pasar (busuk) tidak melekat pada pakaian kita.

Begitulah politik negara kita juga sudah menjadi macam pasar. Ada jual beli ada tawar menawar, ada sumpah seranah dan bermacam-macam rupa kekotoran lagi yang menggambarkan bahawa masyarakat kita sudah demikian teruk. Macam pasar, kita perlukannya, tetapi tak tertahan baunya.

Selasa, 24 Juni 2008

Minyak lagi?

Pagi-pagi lagi isteri sudah telefon suruh isi minyak penuh. Kenapa? Khabarnya setesen minyak hendak tutup selama dua hari. Benarkah? Seperti khabar angin di Sabah yang menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak kerana ada khabar angin menyatakan semua setesen minyak akan berhenti menjual minyak selama tujuh hari.

Seorang staf pejabat yang baru sampai menyatakan dia mengalami masaalah untuk mengisi minyak kerana setesen minyak tidak menerima kad kredit untuk bayaran seperti yang selalu dilakukannya. Nasib baik ada bawa duit sikit kalau tidak kenalah ke bank dulu ambil duit.

Semasa minum pula bertemu dengan Ungku Z seorang pengusaha minyak. Aku minta kepastian daripadanya tentang khabar angin itu. Katanya tidak benar pengusaha minyak memberhentikan penjualannya kerana wang di bawah tanah itu (maksudnya minyak dalam tangki) akan mudah susut kalau tidak dijual segera. Lagi pun mereka perlukan wang kerana beli minnyak dari pembekal tidak ada kredit macam beli barangan lain. Mesti bayar tunai. Untuk satu lori tangki yang besar kena ada wang seratus ribu lebih. Itu yang diberitahunya kepadaku.

Semasa melayari blok seorang kawan, aku terperanjat dengan kisahnya yang telah dilawati oleh seseorang penting dari kementerian. Orang itu lawan berhujah dengannya tentang prinsip yang selama ini dipegangnya kukuh. Sebelum meninggalkannya siap pula beri amaran. Memang kawanku ini agak lantang, tapi dari satu segi dia benar. Cuma caranya sahaja berbeza dengan sesetengah orang yang berjuang tentang hal yang sama. Kebetulan selepas itu dia dijemput untuk mendeklamasi sajak dalam satu majlis. Apa lagi dia pun melepaskan segala isi hatinya melalui sajak. Memang dia seorang penyajak. Selama ini sajak-sajaknya pun agak keras dan lantang.

Senin, 23 Juni 2008

Suara dari Persada

Sajakku ‘Suara dari Persada’ tersiar di Mingguan Malaysia semalam. Ingin kuperturunkan kembali untuk tatapan:

Keris-keris Melayu pun dihunus
mencari musuh yang tiada
lalu ke manakah keris itu ditikam
ke dada sendiri yang penuh dengan kekeliruan

Katanya suara Melayu
telah bergema di persada
menyanyi lagu yang sama
Bunuhlah sengketa!
Bunuhlah sengketa!

Kecanduan Melayu pada makna bersatu
memukul ular perselingkuhan
menghutanrimbakan makna perpaduan
di sini sudah menjadi kubangan
tanpa rasa lelah melaungkan kesal
satu-satu terlepas dari ribaan keistemewaan

Dengan bahasa apakah lagi?
kami yang tidak tahu politik
mempertahan tradisi kesultanan
menandai semangat Melayu
yang kian luntur
suara ini pun
sukar lepas dari gerbang persada
persengketaan.

Selasa, 17 Juni 2008

Rebat

Sejak hari sabtu 14 Jun lagi aku lihat orang ramai berpusu-pusu di pejabat pos. Anakku Mohd. Faiz yang baru balik dari Banting menyatakan dia hairan melihat manusia ni, kalau disuruh membayar, katalah membayar cukai pendapatan atau membayar saman, di hari-hari terakhir atau di saat-saat terakhir barulah ramai orang berpusu-pusu di tempat-tempat pembayaran atau kaunter LHDN. Sebaliknya bila tang nak dapat duit, sejak hari pertama lagi orang ramai telah berkumpul di depan pejabat pos semata-mata nak pastikan dapat rebat enam ratus lebih itu.

Rabu, 04 Juni 2008

Naik Minyak, Minyak Naik

Semasa pulang dari pejabat aku mendengar berita dari Radio ‘Segalanya di Sini Mengamit Memori’ menyatakan harga minyak naik mulai esok. Ketika melalui stesen minyak kelihatan kereta beratur untuk mengisi minyak bagi menikmati harga lama. Inilah peluang terakhir, tentu nak isi penuh-penuh. Selepas jam 12 malam nanti harganya sudah lain.

Lalu hari ini heboh (bukan jom heboh) orang bercakap tentang ‘minyak’. Begitulah pengaruh minyak kepada manusia. Biasanya kalau dihubungkan dengan gajah yang ‘naik minyak’ tentu berbahaya, nampaknya ‘kereta’ atau kenderaan yang dihubungkan dengan ‘minyak’ juga akan mendatangkan bahaya kepada kita manusia. Kerana ‘minyak’lah punca segalanya. Kenaikan minyak sebanyak 40% adalah satu kenaikan yang paling tinggi dalam sejarah kenaikan harga minyak di Malaysia. Kesannya kepada kehidupan seharian pun akan jelas terasa. Harga barang harian akan turut naik dengan kenaikan harga minyak. Biasanya begitu. Entahlah kalau kali ini berlaku sebaliknya.

Hendak tak hendak kita harus menerimanya. Kita tidak ada pilihan lain. Oleh itu dari sekarang kita haruslah berhemat dengan segala bentuk perbelanjaan. Aku boleh berhemat untuk lain-lain, seperti melupakan langsung untuk melancong, untuk membeli barang-barang keperluan hiburan dan kemewahan seperti alat perabot dan hiasan rumah, tapi aku tidak mampu menahan diriku untuk membeli buku. Tahun lepas aku menghabiskan lebih dua ribu untuk membeli buku dan majalah sahaja. Kebetulan harga buku sekarang juga sudah mahal. Tidak ada lagi buku yang dijual kurang daripada sepuluh ringgit. Nampaknya dengan keadaan sekarang aku perlu berjimat juga. Cuba berjimat segala-galanya.