Rabu, 11 Januari 2012

Menziarah Rakan-rakan yang sakit

Beberapa hari ini mengambil peluang untuk menziarah dua orang rakan yang sakit. Seorang rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah di IPTHO, didapati mengalami cecair di otaknya kerana sistem saraf yang tidak berfungsi di tengkuk, menyebabkan cecair tidak dapat turun ke perut. Beliau telah mendapat rawatan hospital, dan sejenis saluran ditanam di otaknya dan disalurkan melalui leher terus ke perut. Nampaknya kecangihan perubatan kita sudah tidak boleh diragui. Semasa melawat beliau, nampaknya beliau menyatakan bahawa ada sesuatu yang menggangu beliau sebelum ini, beliau sering pening kepala dan sebelum dirawat di hospital beliau mengalami muntah-muntah darah. Umur beliau baru 51 tahun.

Teman saya yang seorang lagi, ialah seorang penulis yang pernah mendapat anugerah Karyawan Johor. Beliau pada mulanya mengalami stroke, tetapi sudah semakin pulih. Cuma kebelakangan ini tidak lagi kuat berjalan. Memang ramai teman-teman yang menziarahi beliau. Nampaknya semasa saya datang, beliau masih dalam keadaan ingat, tetapi selang beberapa ketika, asyik menghulur tangan untuk bersalaman.

Begitulah, kita sebagai manusia akhirnya akan ditimpa sakit. Cuma kadang-kadang sakit seseorang itu berbeza antara satu dengan lain. Kalau sakit kencing manis, gaut, darah tinggi, lemah jantung memang biasa. Sakit barah juga sering membawa kita ke distinasi yang terakhir. Beberapa orang sahabat saya sudah pun berpulang ke rahmatullah kerana sakit yang saya sebutkan tadi. Ada lagi yang masih menerima rawatan. Masih terkedang di rumah pun ada. Begitulah kalau dulu semasa sihat kami tidak terfikirpun bahawa pada suatu hari kelak kami akan saling bertanya khabar, tetapi dalam keadaan masing-masing sedang diuji dengan pelbagai penyakit.

Nampaknya pengajaran kepada saya, ialah tentang ‘masa’ yang sering diingatkan oleh Allah dalam surah ‘Al-asyr’ itu, demi masa manusia sering kerugian, kecuali yang berpesanp-pesan dengan kebaikan dan dengan kesabaran’. Begitulah masa sihat, seharusnya kita manfaatkan dengan pelbagai amal dan kebajikan. Masa senggang kita isikan dengan amal dan kebajikan. Masa muda juga, apalagi jika yang kaya dan berkemampuan sudah tentu gunakanlah kekayaan itu untuk beramal. Sayangnya, kita sering terlupa. Bila sakit barulah penyesalan datang. Kalaulah aku sihat, kalaulah aku sihat....

6 komentar:

Tetamu Istimewa mengatakan...

Semoga rakan-rakan Tuan itu cepat sembuh. Tahniah atas tersiarnya puisi Rumah Akhirat di Dewan Sastera, Januari 2012.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Terima kasih kepada Mohd. Helmi. Saya sendiri belum beli majalah DS bulan ini.

Tetamu Istimewa mengatakan...

Tahniah Tuan Puisi di Berita Minggu edisi 15 Januari 2012.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Terima kasih Mohd Helmi..

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Sakit adalah pemberian Tuhan, Dia juga yang menyembuhnya. Mudah-mudahan semuanya dalam kesabaran. Kita yang sihat perlu beringat sebelum datangnya sakit. Amin..

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Citra, terima kasih atas pandangan dan nasihat yang diberikan itu. Benar, kita yang sihat harus beringat sebelum sakit. Tapi saya pun sudah mula sakit-sakitan..