Selasa, 16 Juni 2009

Tentang Ziarah dan Hijrah


Setelah sekian lama menuggu akhirnya penduduk Islam Taman Sri Wangsa berlega hati kerana surau yang berharga RM300,000 telah siap sepenuhnya. Pada pertengahan bulan April lalu penduduk di sini sudah boleh bersembahyang jemaah.
Sabtu lepas Surau Assyakirin, Taman Sri Wangsa, Parit Besar Batu Pahat, menerima 16 tetamu dari kalangan Tabliq. Masa berjemaah sembahyang Asar saya sempat mengenali salah seorang daripadanya. Katanya dia dari Pontian, bekas pesara Guru Besar. Lepas sembahyang ada sedikit usrah. Tentang ziarah dan hijrah. Nampaknaya inilah pegangan orang-orang Tabliq. Mereka mengajak kita sama-sama ikut ziarah ke rumah-rumah orang Islam mengajak mereka solat jemaah. Mereka juga mengamalkan hijrah dari satu masjid ke satu masjid, dari satu surau ke satu surau semata-mata untuk berdakwah dan juga untuk meningkatkan keimanan.
Semasa solat maghrib saya dapati tidak ramai juga orang datang. Yang meramaikan saf terdiri di kalangan orang-orang mereka juga.
Sejauh manakah kesannya tarbiah mereka ini? Rasanya kumpulan Tabliq ini sudah lama wujud.Tapi mereka kurang berjaya mengajak orang-orang Islam untuk bersembahyang jemaah di surau-surau atau masjid. Kenapa?
Kalau dalam ceramah Maulidur-Rasul dan ceramah-ceramah agama yang lain rasanya sudah berbuih ustaz-ustaz menyeru, mengajak supaya kita sama-sama mengimarahkan masjid dan surau, tapi keadaannya tetap macam tu juga. Surau dan masjid tetap lenggang. Tapi lihatlah kalau Jom Heboh atau konsert, berduyun-duyunlah orang-orang kita Melayu -Islam tentunya sanggup bersusah payah datang walaupun jauh dari rumah.

5 komentar:

Marniyati mengatakan...

Salam.

Sesungguhnya pengaruh syaitan ke jalan yang membinasakan itu jauh lebih kuat dari seruan ke jalan keimanan. Lihat sahaja di mana ada konsert hiburan, muka-muka Melayu beragama Islamlah yang memenuhi ruang. Terasa malu apabila ada seorang sahabat berkata, "Kalau nak bunuh orang Melayu, senang saja. Bom mana-mana konsert yang ada, pasti Melayulah yang paling ramai mati di situ." Kejam bunyinya, namun itulah hakikat kebenaran yang ada.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Kalaulah ada mana-mana pihak, anjurkan suatu forum terbuka, bincangkan persoalan yang Haji tinggalkan; mengapakah gerakan tablig tidak berjaya sehingga kini. Apakah yang silapnya, dan mengapakah sukar sekali umat Melayu Islam menerima tabliq hingga sampai suatu tahap ada yang membencinya! Memang, menghukum masyarakat yang tidak mengikuti seruan tablig mudah kerana tidak perlu bersusah payah mencari alasan lain, namun persoalannya, mengapakah hal ini berlaku? Kadangkala dan sekali-sekala, kita perlu berfikiran rasional juga, iaitu pada ketika kita menyatakan dan menegaskan bahawa umat Melayu Islam ini hanya fikirkan hiburan (misalnya konsert Jom Heboh, mustahilkah yang mencanangkan persoalan ini turut berada di konsert itu? Saya percaya demikianlah lazimnya. Kita menghukum masyarakat dengan tidak mengunjungi rumah Allah, tetapi mungkinkah kita juga berada di suatu tempat hiburan? Saya selalu melihat pandangan sebegini dilontarkan, bukan baru sehari dua, tetapi sudah terlalu lama; iaitu"Kalau nak bunuh orang Melayu, senang saja. Bom mana-mana konsert yang ada, pasti Melayulah yang paling ramai mati di situ" (pinjam kata-kata drpd Saudara Marniyati)tetapi persoalannnya, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab kita secara ideal; sebagai pembimbing rakan, keluarga, dan umat Melayu Islam agar mendekati rumah Allah, melaksanakan syariat Islam, dan menegakkan tiang agama? Janganlah kita menjadi seperti seorang penjual ubat mencantikkan kulit, tetapi wajahnya penuh jerawat! Persoalan yang haji kemukakan ini memang menarik untuk diperkatakan, dibahaskan, dan diumpil segala pandangan pro dan kontra kerana isu ini sering didengari di mana-mana, apatah lagi jika terserempak dengan kumpulan tablig. Pada pandangan saya, usaha mereka terlalu bernilai, bermakna dan hanya Allah swt yang mampu membalasnya. Mereka melakukannya ketika majoriti orang ramai tidak terfikir langsung untuk berdakwah ke arah kebaikan. Sayangnya, golongan seperti ini sering dilabelkan dengan bermacam-macam intepretasi yang negatif. Mudah-mudahan usaha mereka akan diberkati Allah, dan saya percaya mereka akan melalui rintangan yang besar kerana Nabi Muhammad saw pun melalui ujian yang amat-amat perit untuk menyebarkan dakwah dan seruan kebenaran. Doakan mereka...

ZULKIFLI MOHAMED mengatakan...

Salam Tuan Haji,

lumrah sekali demikian,

pun begitu secara peribadi saya melihat "budaya masjid" pada dewasa ini lebih kuat dalam kalangan masyarakat bandar jika dibandingkan dengan sesetengah masyarakat di kampung-kampung ...;

cuma "malang sedikit", "budaya hiburan sana sini" semakin kuat cambahannya di kota-kota utama ...

kikiEy mengatakan...

salam ziarah

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marni,
Benar, seharusnya kita orang Melayu turut menjaga imej 'Islam' sebagai agama yang indah dan benar.

Azhar,
Saya setuju seharusnya jangan biarkan kumpulan Tabliq sahaja yang berdakwah. Semua kita ada peranan masing-masing. Begitu juga guru. Begitu juga penulis.

Sdr. Zulkifli,
Saya pernah singgah di sebuah masjid kampung di tepi jalan raya ketika waktu maghrib. Azan sudah berkumandang. Tapi Bilal itulah sahaja seorang dan mujur kami berempat (dalam sebuah kereta) jadi makmumnya. Tertanya-tanya kami mana orang-orang kampung?

KikiEy!
Terima kasih ziarah.