Senin, 29 Juni 2009
Suara dari Alam Barzah
Persoalan ini menarik. Orang yang sudah meninggal berbicara kepada kita yang masih hidup. Soalnya bolehkah?
Hilal Asraf dalam bukunya ‘Langit Ilahi’ mengulas persoalan ini. Hilal memetik sebuah ceramah yang disampaikan oleh seorang pensyarah Akidah di Universiti Yarmouk. Dalam ceramahnya pensyarah itu menekankan betapa manfaatnya mendengar bicara orang yang telah mati itu. Apakah mereka boleh mengubah pendirian dan pemikiran kita, sedangkan mereka telah lama tiada di dunia ini? Apakah faedah yang kita dapat daripada bicara mereka, sedang mereka sendiri tidak mampu melakukan apa-apa?
Sebenarnya dalam Al-Quran ada dinyatakan tentang persoalan ini. Dalam Surah Yassin: ayat 26 , bermaksud: ‘Alangkah baiknya, sekiranya kaumku mengetahui hal ini (yakni balasan yang didapati kerana mentaati Allah)’. Ayat ini selalu kita baca, terutama pada malam Jumaat. Di Johor ini sudah menjadi kemestian pula setiap surau dan masjid akan mengadakan majlis bacaan Yasin selepas sembahyang maghrib pada malam Jumaat. Malah di kampung dan taman-taman perumahan pula ada giliran membaca surah Yasin dari rumah ke rumah pada setiap minggu. Sayangnya kita sering melupakan intipati ayat-ayat dalam surah Yasin itu.
Begitulah, dalam surah Yasin itu ada kisah bagaimana seorang lelaki berlari-lari mendapatkan kaumnya dan menyatakan bahawa kedua-dua Rasul yang diutuskan itu adalah benar belaka. Namun, malangnya lelaki itu dipukul dan diseksa hingga mati. Maka dia dibangkitkan di alam barzah, lalu Allah menunjukkan kepadanya seluruh balasan atas usaha dan kerja kerasnya yang dilakukannya untuk mengajak manusia ke arah kebaikkan.
Kenapa dia hendak memberitahu kepada yang hidup sedangkan dia sudah mati? Jawapannya, kerana dia mahu manusia yang masih hidup mengetahui bagaimana balasan kepada kebaikan, lalu kita pun ghairah ingin berbuat kebaikan. Supaya kita yang masih hidup mendapat lebih banyak, dan lebih baik daripadanya.
Sayangnya jika merujuk kepada masalah sosial di kalangan orang Melayu (Islam tentunya), kita berasa kecewa kerana masalah ini seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Buku ‘Langit Ilahi’ tulisan Muhammad Hilal Asyraf ini banyak menyentuh tentang kecelaruan-kecelaruan yang membuatkan manusia hilang arah dan terpesong. Kecelaruan dalam meniti kehidupan, dalam mencari kebahagiaan dan dalam mencari kesenangan hidup. Jawapan kepada kecelaruan ini adalah kerana sikap manusia yang materialistik dan kurangnya penghayatan terhadap agama itu sendiri.
Muhammad Hilal Asyraf adalah seorang penulis muda kelahiran Johor yang kini sedang menuntut di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Usuluddin. Beliau juga seorang penulis novel. Novel Hilal berjudul , ‘VT’ telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Sebuah lagi karyanya yang berjudul, ‘Relasi’ juga bakal diterbitkan.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
2 komentar:
Salam TUAN HAJI,
Semoga kita semua dijemput ke alam barzakh dengan keimanan. Masalah moral dan akhlak remaja Melayu pada hari ini nampaknya bagai sukar dibendung lagi, selagi rancangan hiburan berlambak-lambak di TV. Selagi pendapat ulama dan ilmuwan dikesampingkan, selagi itulah masalah ini tidak akan selesai. Selagi masjid dijauhkan, selagi penyatuan Melayu dan Islam tidak diusahakan, selagi ekonomi Melayu terkebelakang, selagi pendidikan agama tidak difokuskan, hidup remaja Melayu akan terus terumbang-ambing dihempas badai kemunduran dalam semua segi. Kita harus bersedia untuk menerima hakikat ini untuk mendepaninya, dengan izin Allah. Kalaulah, kita boleh mendengar suara dari alam barzakh itu...
Azhar,
Saya berpendapat kita umat Islam hari ini lemah kerana kurang penghayatan terhadap kalam Tuhan itu, iaitu Al-Quran. Setakat baca sahaja tapi tidak mendalami isinya.
Posting Komentar