Rabu, 15 Oktober 2008

Mendambakan kejayaan si anak.

Aku sempat berbual-bual dengan Zam Ismail tentang anak-anak. Razak yang baru mempunyai seorang anak (Kini sudah darjah enam) hanya menjadi pendengar sahaja. Kata Zam anak-anaknya berjaya dalam pelajaran kerana dia membebaskan cara mereka belajar. Kadang-kadang dia sendiri amat takut bila melihat anak-anaknya itu seperti mengambil mudah terhadap pelajaran. Misalnya anak bongsunya Hawa, semasa SPM hampir, dia masih sibuk dengan kumpulan Ghazal sekolahnya. Buat persembahan sana-sini. Ketika ditawarkan belajar di sekolah Asrama penuh dia sendiri menolaknya kerana menganggap belajar di mana pun sama. Kini anaknya sudah menamatkan pengajian di Universiti dengan mendapat kepujian kelas pertama. Begitu juga anak pertamanya yang berjaya meraih kepujian kelas pertama di sebuah Universiti di England dalam bidang guaman . Kini berkerja dengan gaji RM24,000 sebulan.

Tugas kita sebagai bapa hanya memberi dorongan. Seboleh-bolehnya jangan berikan tekanan kepada mereka. Itu sahaja tips yang diberikan oleh Haji Ismail Zamzam yang terkenal dengan nama Zam Ismail itu..

Dia sendiri menceritakan bagaimana seorang temannya yang pernah menjadi seorang pegawai tertentu di sebuah jabatan (Katanya semua orang mengenalinya terutama dalam bidang pendidikan). Dia begitu menaruh harapan terhadap anaknya supaya menjadi seorang doktor. Memang anaknya seorang yang cerdek dan akhirnya berjaya dalam pengajian kedoktorannya di luar Negara. Apabila pulang terus menyerahkan ijazah yang diterimanya kepada si ayah sambil berkata, ‘ Ini ijazah yang ayah perlukan. Saya sudah melaksanakan hajat ayah. Saya tidak perlukannya lagi.’

Si bapa bertanya hairan,’ Kenapa serahkan sijil ini kepada ayah?’

‘Sebab ayah yang memerlukannya. Saya akan ke Kuala Lumpur kerana saya sudah mendapat tawaran kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar terkenal. Saya tidak akan menjadi doktor.’

Ada lagi kisah seorang anak dari seorang tokoh budaya yang terkenal pernah menceritakan kepadanya, bagaimana dia tidak ada perasaan sayang keapda bapanya, kalau adapun cuma rasa hormat sahaja. Kenapa? Anak itu yang kini juga sudah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya menyatakan bahawa sepanjang hidup bersama bapanya, dia tidak pernah menerima perasaan kasih saying seorang bapa. Ayahnya seorang diktator dalam sebuah kerajaan rumah tangga. Mujurlah mereka mempunyai seorang ibu yang cukup penyayang seperti malaikat.

Untuk menentukan masa depan anak-anak perlulah memahami diri mereka, bukan meminta mereka memahmi hasrat kita sebagai bapa.

Minggu, 12 Oktober 2008

Siapakah Pendatang?

Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan menyatakan bahawa semua penduduk Negara ini baik Melayu, Cina dan India adalah pendatang belaka. Cina datang dari Cina, India datang dari India dan Melayu dari Kepulauan Melayu. Daripada kenyataannya itu Tanah Melayu hanya pada mulanya didiami oleh orang Asli. Saya hairan bagaiman Tanah Melayu mendapat namanya sebagai ‘Tanah Melayu’. Beliau sendiri menyatakan orang Melayu dari kepulau Melayu. Habis Tanah Melayu (Kini Malaysia) bukan berada di Kepulauan Melayulah? Mungkin di kawasan negeri Cina atau India. Sudahlah namanya Tanah Melayu, dari segi lojiknya pun kita sudah faham bahawa di sini tentu penduduknya Melayu.

Isteri saya berasal dari Segamat, Johor. Dari segi salasilahnya beliau memang tidak ada kaitan dengan mana-mana kawasan lain, baik dari Indonesia atau mana-mana negeri di kepulauan Melayu. Keluarga isteri saya memang benar-benar Melayu. Salah benarlah kalau keluarga mereka dikaitkan dengan golongan pendatang.

Kamis, 09 Oktober 2008

Pemimpin

Semalam Perdana Meteri Datuk Abdullah Badawi mengumumkan sesuatu yang penting, yang akan mengubah warna politik Malaysia. Sudah tentu dalam kepala kita tidak ada orang lain yang layak menggantikannya, aiitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk menjadi pemimpin sebenarnya semua orang boleh jadi pemimpin, tetapi tidak semua yang benar-benar pemimpin.

Kita tidak mahu pemimpin yang hanya tahu untuk merasmikan pameran-pameran, pelancaran buku, perasmian kongres dan seminar sahaja. Jawatankuasa yang menyediakan pameran sudah tentu akan mempamerkan sesuatu yang menggambarkan kejayaan sahaja. Kalau pameran pertanian sudah tentu akan mempamerakan hasil-hasil pertanian yang terhebat usaha petani. Kongres dan seminar pula biasanya akan menghasilkan rumusan yang akhirnya terpendam di bawah meja sahaja.

Semoga kita dapat pemimpin yang benar-benar pemimpin.

Senin, 06 Oktober 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Sudah tujuh hari Aidil Fitril berlalu. Kita kembali kepada kehidupan biasa. Yang bekerja telah mula bertugas. Meski bahang perayaan masih terasa. Tetapi apa yang mendukacitakan ialah masih banyak kedai-kedai yang diusahakan oleh Bumiputera masih tutup. Misalnya bengkel kereta, kedai cermin mata, kedai buku dan kedai makan. Ini yang kelihatan di pusat perniagaan Larkin Perdana sahaja. Mungkin ada semangat untuk merebut pahala puasa enam. Memang sesuatu yang baik, jika ini tujuan utama kita menyambut hari raya aidil fitri, seterusnya menghidupkan puasa enam secara berterusan sepanjang bulan syawal ini.

Tahun ini hari raya disambut dengan begitu sederhana, berikutan dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa menggalakkan. Dengan harga ayam mencecah RM7 sekilo, dan beberapa keperluan lain lagi termasuk harga kueh raya yang melambung naik. Alasannya tidak lain dan tidak bukan kerana harga barang terutama keperluan utama seperti tepung dan lain-laian keperluan naik mendadak.

Hinggakan untuk makan di restoran pun, dengan nasi dan lauk tiga ketul ayam yang kecil-kecil (tak ada isi pun), sehiris kecil ikan (sebesar dua jari) sudah mencecah RM6.50. itu tidak termasuk sayur dan minuman. Tidak puas hati saya cuba pula pergi ke kedai lain untuk membeli makanan untuk makan malam. Bungkus nasi dengan seketul ayam kari dan sketul ikan goreng. Harganya juga RM6.50.

Inilah harga yang kita perlu bayar untuk maju.