Senin, 26 April 2010

Tentang Hidup

Lepas keluar U, semangatnya berkobar-kobar. Untuk memandaikan murid, dia ada cara tersendiri, ada falsafah tersendiri. Pelajar mesti diajar bagaimana harus berfikir. Kamu mesti berfikir. Sentiasa berfikir. Latih diri berfikir. Sampai-sampai pelajarnya memberi jolokan kepadanya, 'Cikgu Fikir'.

Kadang-kadang semasa dia lalu depan kelas masih terdengar usikan nakal, 'Lu pikirlah sendiri!'. Biarlah mereka mengejeknya. Untuk menyedarkan pelajar memang susah. Dia akan terus berusaha.

Bila masuk kelas, perkara pertama yang diucapkannya,adalah berupa soalan-soalan yang menyebabkan pelajarnya berfikir. Tengok di luar sana, kenapa pokok itu hijau? Mengapa langit biru? Mengapa laut berombak? Mengapa sekolah ini ramai perempuan? Macam-macamlah pertanyaanya.

Suatu hari dia kena relief kelas baru. Pelajarnya pun tidak ramai. Kalau guru lain sudah tentu suruh pelajarnya buat kerja sendiri. Dia tidak mahu buang masa begitu. Elok ajak mereka berfikir.

Dia pun tulis perkataan ‘HIDUP’ di papan tulis dengan huruf besar.. Ada pelajar yang terpinga-pinga dan ada yang kelihatan berbisik sesama sendiri.
Cuba kamu terangkan apakah erti HIDUP? Dia bersuara.

‘Kamu!’ soalnya kepada seraoang pelajar lelaki.
Seluruh kelas tertawa. Apa yang pelik? Apa yang melucukan?
‘Saya hidup…er.’ Kata pelajar itu
Seluruh kelas pecah ketawa.

‘Saya tahulah awak hidup. Tapi berikan saya erti Hidup. Erti hidup, tahu tak?’ Dia mula tidak tahan bila dipermainkan begitu.
‘Er…er ayah saya pernah bercerita. Saya dilahirkan tidak cukup bulan. Kemungkinan hidup amat tipis..’ kata pelajar itu lagi.

‘Sudahlah, kamu pula?’ dia menyoal pelajar lain.
‘Memang dia hidup Cikgu!’
Mereka ketawa lagi.
‘Kamu?’ dia beralih ke pelajar lain pula.
‘Saya kawan hidup!’
‘Kamu?’ kepada pelajar perempuan pula.
‘Saya tidak suka hidup!’

Apa ni? Dia perlu serius. Ini bukan main-main. Sebagai makhluk Tuhan kita perlu tahu kenapa kita dihidupkan? Kenapa dilahirkan? Dia pun bersyarah panjang. Sampai teori Darwin yang menyatakan kita hidup secara evolusi. Sampai menyebut Socretes, Plato, tokoh-tokoh Islam seperti Al Ghazali dan lain-lain.
Hinggalah dia kembali bertanya.

‘Apakah Erti H I D U P?’
Pelajar yang mula-mula ditanya bangun.
‘Memang saya hidup Cikgu! Nama saya Hidup bin Hanafiah!’ katanya bersahaja.
Ketika itulah loceng berbunyi. Ketika melangkah keluar kelas, dia berasa pada kali inilah dia dipermainkan oleh Hidup.

5 komentar:

Comels mengatakan...

haha..tergelak saya membaca coretan yang akhir itu.saya pun rasa dipermainkan juga.menarik,ringkas dan banyak usul yang patut difikirkan. tak jemu membaca, saya nak ulangnya untuk kali ketiga!
bila membaca kisah tentang guru terasa relevan benar dengan hidup sendiri.
tuan , banyakkan cerita pendek begini. sangat menyeronokkan.saya jadikan inspirasi untuk buku saya, insyaAllah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Comels,
Nak menulis buku apa? Tentang pengalaman guru tentu banyak perkara yang menarik.

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Banyak kesah tentang hidup dalam dunia ini, tapi sayangnya kehidupan ini hanya sementara saja. Selamat menunaikan ibadat umrah..

Comels mengatakan...

ia tuan.saya kira buku tentang guru menarik. tentang pandangan murid terhadap gurunya juga menarik.sedang kumpul bahan ni.kompilasi pengalaman ramai orang.
Tn.Hj nak pergi umrah?bila.?selamat pergi selamat kembali.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Citra,
Pengalam Tuan juga menarik untuk dikreatifkan.

Comel,
Inshah-Allah saya akan bertolak pada 8 Mei ini. Doakan saya.