Sabtu, 22 Mei 2010

Imam Menangis

Menjadi makmum di Masjid-ul Haram memang tidak pernah membosankan. Suara Imamnya yang merdu dan bertenaga tidak mengganggu konsentrasi kita beribadah. Lebih-lebih lagi apabila Kaabah benar-benar berada di hadapan kita.

Ketika sembahyang Isyak tiba-tiba kedengaran suara Imam terhenti, kemudian tersedu-sedu menangis apabila sampai pada ayat yang menyebut ‘Muslimin, kemudian kafirun’ (Saya akan cuba mencarinya dalam Al-Quran). Saya tidak dapat menangkap ayat apa, tetapi sudah tentu ayat tersebut menyentuh hati nurani Pak Imam hingga dia menangis. Begitulah penghayatan Imam kerana dia memahami benar isi Al-Quran. Sedangkan saya tertanya-tanya apakah maksudnya.

Menyentuh soal ‘penghayatan’ semasa beribadah, di Mekkah atau Madinah kita akan dapat melihat bagaimana masyarakat Islam berbondong-bondong ke masjid bila tiba waktunya. Terlalu ramai. Nampak benar Islam begitu berdisiplin dalam memperkukuhkan keimanan.

Benarkah?

Saya melihat sesuatu yang kontradik dengan apa seharusnya berlaku. Sepatutnya disiplin semasa beribadah akan diterjemahkan juga dalam kehidupan kita seharian. Terutama bila menyentuh tentang beberapa tuntutan agama. Saya mengambil contoh yang mudah seperti kebersihan dan kesabaran.

Dua aspek ini memang jelas bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam solat. Dalam solat kita dituntut untuk membersihkan diri. Ini jelas dalam falsafah berwuduk dan juga mesti berpakaian bersih. Di dalam solat juga kita seharusnya bersabar untuk mendapatkan kekhusukan. Kita tidak perlu terburu-buru, malah memelihara rukun-rukunnya dan membaca ayat-ayat alam solat sebaik mungkin.

Hakikatnya selepas keluar masjid, selepas solat apa yang berlaku adalah sesuatu yang keterbalikan. Masa keluar masjid ramai jemaah yang meluru keluar , bertolak-tolakan antara satu dengan lain. Ketika itu juga ada yang merempuh arus untuk melakukan tawaf. Saya tidak tahu apakah yang hendak direbutkan.

Mungkin jemaah luar akan bergegas keluar untuk membeli belah, atau ada yang menuju kedai makan. Di sini pemandangan sungguh menyedihkan kerana sepanjang barisan kedai penuh dengan sampah. Tong sampah terlalu banyak disediakan, tetapi tetap kosong kerana sampah-sampah lebih banyak bersepah di mana-mana sahaja hingga ke jalan-jalan raya.

Kalau inilah imej negara Islam, saya sungguh berasa malu. Saya lihat sendiri ada seseorang membuang sisa bungkusan makanannya sesuka hati sedangkan tidak jauh darinya ada tong sampah.

Memang patutlah Imam menangis. Saya sendiri turut sedih melihat masyarakat Islam kita tidak berubah. Hal ini berlaku hinggalah saat saya berada di lapangan terbang untuk berangkat pulang. Ketika sedang beratur di hadapan sekali untuk melepasi pemeriksaan Imegresyen, tiba-tiba sekumpulan Pak Arab (Lelaki-perempuan) menolak kami ke tepi dan terus menuju ke depan. Sayangnya, mereka ditahan oleh pegawai Imengersyen itu kerana borang paspot mereka tidak lengkap. Mereka tidak mahu mengalah malah bertengkar dengan pegawai berkenaan. Pegawai tersebut begitu tenang menerangkan kepada mereka yang nampaknya tidak mahu mengalah. Inilah gambaran Islam yang sering kelihatan, apabila kita sendiri menterjemahkannya secara tidak sihat.

Lalu Imam pun menangis dalam sembahyangnya.

8 komentar:

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Imam memang selalu menangis ketika membaca surah dalam solat.Ketika khubah jumaat imam sering menangis. Hakikatnya, kebersihan memang benar terlalu ketara kalau nak dibandingkan di lain negara seperti Jepun dll. Yang boleh mengubahkan, adalah dalam diri orang islam itu sendiri. Cerita2Tn. Haji di Mekah ini yang membuatkan hati ini membuak-buak untuk kesana. Hai, lambatnya masa yang ditunggu.Doakan kami sihat apabila tibanya masanya utk kesana.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Citra,
Bila berada di Tanah Haram memang terasa kelainnya, terutama semasa beribadah. Bila melihat semua orang berbondong-bondong menuju masjidil-Haram, kita pun ikut terangsang dan sentiasa bersemangat. Rupanya panggilan tanah haram itu sungguh kuat. Tuan Haji pun nampaknya sudah menerima panggilan tersebut. Tahniah.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji,
Tahniah atas tulisan Sdra. Marsli N.O tentang 'Melihat Kesunyataan' dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini (23 Mei 2010).

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Saya lebih-lebih lagi berterima kasih kepada Marsli N.O atas tulisannya terhadap kumpulan puisi saya, 'Melihat Kesunyataan' itu.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Selamat kembali ke tanah air. Tahniah atas tersiarnya kupasan "Melihat Kesunyataan" yang dikupas oleh Saudara Marsli N.O. Penulis hebat seperti Tuan Haji sewajarnya mendapat pengiktirafan seperti itu.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Terima kasih atas perhatian. Saya pun tidak menyangka Marsli N.O. menulis begitu. Apa-apa pun saya terhutang budi kepadanya. Saya pernah berjumpa sekali dulu dengan Marsli semasa Pertemuan Penyair Nusantara di KL. Beliau juga ada penulis yang gigih yang saya kagumi.

Ilham Ainol mengatakan...

Salam kembali Tn haji,

Saya pun sudah baca ulasan tersebut. Tuan Ramli memang halus caranya dan jujur saat menebak sajak-sajak yang digemarinya. Itu yang sepatutnya kita bibit dalam kalangan sasterawan bukan sebaliknya. Sabtu lepas saya ke DBPWS menonton teater "Kg Cetek". Menarik sekali. Syabas kepada DBPWS.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ainol,
Terima kasih kerana mengikuti tulisan ttg Melihat Kesunyataan itu. Apa yang penting sama-samalah kita meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Saya berkeyakinan Ainol juga mempunyai kekuatan dalam memilih dan meneroka perkataan yang segar dalam berkarya. Tentang teater, sebenarnya boleh membantu kita dalam berkarya terutama untuk mendapatkan idea-idea yang baru.