Rabu, 05 Mei 2010

Mencipta Kerosakan.

Untuk mengaitkan kerosakan dengan penciptaan atau mencipta memang tidak munasabah. Kerosakan tidak perlu dicipta. Biasalah kalau merosakkan apa yang telah dicipta. Kata orang lebih mudah merosakkan daripada mencipta. Merosakan tidak perlu kepakaran. Benarkah? Ada orang tidak tahu pun sebenarnya dia sedang mencipta kerosakan. Kerana pada ketika yang sama dia mencipta sesuatu. Katalah seorang ahli sains menemukan ‘atom’ dan mencipta suatu bentuk tenaga yang berguna untuk manusia, sebenarnya dia juga sedang mencipta kerosakan bila terhasilnya bom atom.

Manusia sentiasa mencipta. Semuanya bertolak dari keperluan dan kemudahan. Semua untuk mencari keuntungan atau untuk kemewahan dunia. Mencipta kenderaan, mencipta bangunan yang tinggi-tinggi, mencipta komputer dan pelbagai kemudahan. Manusia sedang menuju kemodenan, tetapi kita juga sedang menuju kehancuran.

Begitu juga dengan penciptaan idea dan slogan. Ada saja slogan baru yang dicipta yang bertujuan untuk yang baik-baik seperti slogan ‘ 1 Malaysia’. Kadang-kadang hasilnya bisa merosakan kerana ada pelbagai tanggapan mengenai idea tersebut.
Dalam dunia hiburan pula misalnya, kita sentiasa mencipta program-program yang menarik untuk tv dan filem. Tanpa kita sedari kita juga mencipta kerosakan akhlak anak-anak muda kita.

Sudah barang tentu tindakan merosak adalah tindakan yang sangat dibenci Allah. Allah secara tegas melarang perbuatan tersebut. Dalam Al-Quran, disebut Fasad bererti kerosakan. Berlakunya kerosakan di darat dan di laut disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Dalam surah al-Anfal (8:;73 ) Allah menegaskan jika umat Islam tidak saling bantu-membantu sesama sendiri seperti mana diperintahkan oleh Allah, untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran, nescaya akan berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan (fasad) yang besar.

4 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Mungkin banyak masa tuan untuk menulis selepas 'berpisah' dengan YWJ. Jika ditinjau dari segi sejarah, kerosakan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi telah menyebabkan malapetaka dan musibah diturunkan oleh Allah SWT. Namun, sejarah selalunya tidak sukar untuk dibaca, tetapi amat sulit untuk dijadikan pengajaran. Dalam kehidupan yang lazim, manusia yang baik selalunya akan tenggelam kerana dilimpahi oleh manusia yang sentiasa melakukan kerosakan. Hiburan di kaca tv sekarang banyak mengundang kerosakan yang seharusnya difikirkan oleh orang yang ada kuasa. Adakah mereka fikirkan? Atau sekadar berfikir tentang strategi untuk menang pilihan raya semata-mata?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar Sifu,
Memang inilah maksud saya apabila menyatakan bahawa kita sebenarnya sedang mencipta kerosakan. Politik dan media sentiasa mencipta bentuk-bentuk kerosakan yang akhirnya akan menghancurkan kita ummat Islam.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Belakangan ini, banyak unsur-unsur keseronokan yang disogokkan kepada generasi muda melalui media massa, sama ada media elektronik atau media cetak. Kita harus kembali kepada rumus, setiap kebaikan pasti ada keburukan jika disalahgunakan. Keseronokan jika berlebih-lebihan akhirnya membawa kerosakan.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Seharusnya media bertindak sebagai pendidik. Membantu guru. Inilah yang berlaku, bila seorang pelajar ditembak kerana disangka penjenayah. Sekarang masing-masing menyalahkan satu sama lain.