Sabtu, 18 September 2010

Balik Kampung Bertemu Ibu


Ibuku sudah tua benar. Matanya sudah kabur. Telinganya juga sudah kurang dengar. Kalau hendak bercakap dengannya kena kuat-kuat. Pada hari raya ini saya dapat peluang balik ke kampung. Bersama anak dan menantu yang baru melangsungkan perkahwinan. Ibuku dan Kak Long, tidak dapat hadir semasa majlis perkahwinan tempohari. Jadi balik kali ini, bukan sahaja untuk ziarah hari raya, malah memperkenalkan menantu. Saya dapat menantu dua orang sekali gus. Seorang orang Kelantan dan seorang lagi orang Terangganu.

Ketika sampai, ibuku sudah sedia menunggu depan pintu. Dialah yang membuka pintu yang sentiasa tertup itu. Maklumlah kadang-kadang dia tinggal seorang diri, jika kakakku (Kak Long) berpemergian. Kakakku jenis orang kuat berpersatuan. Orang penting politik pula. Sentiasa sibuk. Selalulah ibuku tinggal seorang diri. Umurnya kira-kira 85 tahun. Masih sihat, masih kuat ingatan. Setiap anak dan cucunya siap tahu nama dan sedang buat apa sekarang. Masih belajar atau sudah bekerja. Dia tahu semua. Dia sendiri akan bercerita kepada kita, tentang anak-anak dan cucu-cucunya yang ramai itu. Apa tidaknya, setiap pagi jam lapan dia akan turun ke kebun belakang rumahnya untuk berriadah. Dia menanam banyak sayur dan pokok buah-buahan. Betik dan pisang jangan kiralah. Begitu juga sayur kucai, kangkung, ulam raja dan pucuk paku memang sentiasa subur terjaga. Hingga jiran-jiran pun dapat peluang merasa penat lelahnya itu.

Ibuku kini sering mengucapkan syukur dan reda dengan hidup yang ditempuhinya itu. Dulu katanya, dia orang susah. Apa kerja yang tidak dilakukannya. Berbendang, menoreh getah semuanya telah menjadikannya orang yang tabah. Apa yang penting dia mahu anak-anaknya berjaya. Alhamdulillah, katanya dia berasa puas ketika melihat semua lapan anak-anaknya berjaya dalam hidup. Dalam erti kata lain, semuanya berjaya dalam pelajaran. Itu yang penting, katanya. Hanya pelajaran boleh mengubah nasih seseorang. Itu falsafah hidupnya.

5 komentar:

Citra Delima mengatakan...

Tn. Haji,
Paras dan rupa Tn. Haji seiras dengan ibu. Tentu gembira menyambut Hari Raya bersama ibu kandung sendiri. Buat diri saya, hanya sempat ke pusara ayah bonda yang lama meninggalkan kita. Hanya nisan dan kepuk pusara saja menggantikan kerinduan di pagi raya.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Citra,
Sedih juga membaca coretan tuan haji. Memang saya masih mampu menziarah ibu, terutama selagi dia masih ada. Sebab itu saya tetap ingin balik bertemu dengannya. Memang dari wajahnya ternampak kegembiran yang jelas.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji,
Besarnya pengorbanan seorang ibu. Ketika diri ini tidak balik kampung berhari raya kerana urusan pembedahan mata, ibu datang dari kampung pada hari raya ke-5 untuk melihat anaknya yang baru selesai buat pembedahan itu.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Begitulah kasih seorang ibu. Oleh itu semasa mereka masih ada memang eloklah luangkan juga kesempatan untuk balik menziarahi mereka.

wardah munirah mengatakan...

Betul, emak saya sendiri selalu tidak sabar menunggu pulangnya saya. Paling menghibakan apabila emak mengalirkan air mata setiap kali saya mahu kembali meneruskan pencarian ilmu. Seorang ibu, kasihnya beribu.

Saya juga sangat memegang falsafah ibu cikgu itu. Falsafah yang diperkenalkan seorang guru saya betapa pelajaran dapat mengubah kehidupan manusia dan itulah yang cuba saya realisasikan. Terima kasih atas perkongsian ini. Semoga ibu cikgu akan sentiasa dalam perlindungan dan kasih sayang Allah.