Selasa, 18 November 2008

Kisah Seorang Teman Penulis

Razuki Isa tiba-tiba menghubungi saya untuk berjumpa. Dia baru saja balik dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Memang lama benar tidak bertemu dengan Razuki Isa. Pada tahun 80-an, kami sama-sama bergiat dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ). Beliau yang berasal dari Kedah banyak menghasilkan sajak. Beliau bekerja sebagai Pegawai Imegresen. Kami sama- sama berusaha menerbitkan kembali tabloid PITA yang telah begitu lama dilupakan. Sebenarnya PITA diperkenalkan oleh Pak Matlob pada awal tahun 70-an. Berupa terbitan berkala yang memuatkan berita, rencana dan hasil karya ahli-ahli PPJ. Bersama beliau juga kami sempat menganjurkan beberapa kali kursus penulis untuk penulis-penulis remaja. Setelah beliau berpindah tugas ke Pasir Gudang, hubungan kami mula putus. Khabarnya beliau di Pasir Gudang sibuk pula berniaga.

Memanglah, masa berlalu dengan cepat. Kini wajahnya pun semakin berusia. Rambut sudah beruban. Cuma belum bersara seperti saya. Katanya akan bersara pada tahun 2012. Kini beliau mengusahakan sebuah restoran di Batu 17 Jalan Mersing Kota Tinggi. Diusahakan sepenuhnya oleh Isteri dan anak-anaknya. Anaknya empat orang. Yang sulung- perempuan sudah bekerja di Bahagian Teknek JKR, manakala yang kedua masih di Polyteknik di Pasir Gudang. Yang ketiga membantu ibunya di restoran dan yang keempat baru selesai UPSR, akan melangkah kaki ke Tingkatan satu tahun depan.

Saya menyatakan hasrat untuk melihat dia kembali menulis. Tapi nampaknya dia sudah macam tidak berminat. Begitulah perginya seorang teman dari dunia penulisan.

Senin, 17 November 2008

Pemergian Seorang Teman

Pada mulanya saya menerima SMS dari seseorang yang memaklumkan bahawa YM Ungku Zaman telah meninggal dunia. Tak lama kemudian telefon berdering. Kali ini daripada balu Allahyarham, Pn. Hasimah sendiri memaklumkan bahawa suaminya telah menghembuskan nafas hari ini di IJN Kuala Lumpur. Saya meminta dia banyak-banyak bersabar atas kehilangan suaminya itu. Saya sendiri memang rapat dengan Allahyarham. Beliau adalah rakan seperjuangan dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan juga penulisan. Ungku Zaman seorang yang begitu komited dengan dunia penulisan. Hingga di saat akhir masih sempat menyiapkan sebuah buku biografi Dato’ Othman Saat. Beliau ketika itu sangat uzur, tetapi semangatnya kuat. Badannya kelihat susut dan pergerakannya sudah mula terhad. Saya masih sempat menghadiri majlis nikah anak bungsunya di Masjid Abu Bakar dan juga kemudiannya menghadiri majlis sambutan perkahwinan anaknya itu yang diadakan di Hotel Seri Malaysia. Selepas itu dia khabarnya telah berangkat ke IJN untuk pembedahan jantung. Selepas itu saya tidak mendengar khabarnya lagi, hinggalah semalam apabila isterinya sendiri memaklumkan bahawa Ungku Zaman telah pulang ke rahmatullah.

Pagi tadi saya sempat sembahyang jenazahnya di Masjid Abu Bakar. Jenazah dikebumikan selepas solat zohor. Saya dan beberapa orang kaki tangan Yayasan Warisan menunggu di masjid sejak jam 11 lagi. Kami sempat baca surah Yasin dan baca tahlil.
Hujan mula turun. Ketika jenazah dibawa ke perkuburan pun hujan masih turun dengan lebat. Saya sempat berjumpa dengan YM Ungku Maimunah, adik kepada aruah. Katanya dia masih di UKM, dulu pernah bertuags di New Zealand. Saya sempat perkenalkan dengan Datok Ishak.

Kamis, 13 November 2008

Oh Bahasa Melayu!

Semalam dalam TV arus perdana Pengarah Pelajaran dan juga Menteri Pelajaran dengan penuh yakinnya menyatakan bahasa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan Sains tidak gagal. Bermakna kementerian dan kerajaan merasakan bahawa berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR tersebut, mungkin kerajaan akan meneruskan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik..

Soalnya isu pencapaian pelajaran bila dikaitkan dengan penggunaan bahasa tidak timbul. Mungkin ada sebahagian pelajar akan mengalami masaalah penguasaan bahasa, menyebabkan gagal dalam peperiksaan, tetapi ini bukan faktor utama kepada rungutan dan penentangan ahli bahasa terhadap dasar tersebut. Menurut ahli psikologi kanak-kanak akan menguasai apa juga bahasa kalau diajar secara betul. Maksudnya kalau kementerian Pelajaran kita berpendapat bahawa kita patut belajar bahasa Mandarin sejak di sekolah rendah lagi, mungkin selepas enam tahun kemudian di sambung 5 tahun lagi di Sekolah Menengah, saya percaya anak-anak kita akan dapat menguasai bahasa Mandarin. Tidak ada masaalah kepada mereka untuk menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran apa pun hatta mata pelajaran Sains dan Matematik. Inilah yang berlaku kepada pelajar Cina dan India. Selepas mereka mengikuti system pembelajaran di Sekolah Menengah selama 6 tahun (Termasuk setahu di peralihan), akhirnya kebenyakan mereka adalah menjadi pelajar yang berajaya dalam peperiksaan SPM ataupun STPM. Sedangkan mereka sebelum ini selama 6 tahun belajar semua subjek dalam bahasa ibunda mereka.

Soalnya di sini ialah ‘Bahasa Melayu’ itu sendiri. Kita ingin melihat bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa ilmu. Dengan penggunaan bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik sebenarnya kita telah mengangangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sama taraf dengan bahasa Inggeris. Sejak kita menggunakan bahasa Melayu hingga ke peringkat Universiti, kita dapati banyak buku-buku Sains, matematik dan teknologi telah diterbitkan. Selian itu ada juga buku-buku ilmu yang berkaitan sains dan teknologi telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Sudah tentu hal ini akan memperkayakan lagi bahasa Melayu kita. Saya khuatir jika kita terus menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran yang berorentasikan ilmu ini, akhirnya yang ada dalam bahasa Melayu cuma buku-buku cerita yang dangkal seeprti yang berlaku dalam tahun enam puluhan dulu.

Selasa, 11 November 2008

Obama dan Osama

Obama telah memenangi hati rakyat Amerika untuk menjadi Presiden ke-44. Orang kulit hitam yang pertama menduduki ‘White House’. Siapa sangka, malah tidak siapa dapat menduga bahawa Obama akhirnya akan menduduki takhta kuasa di Negara terkenal itu. Itu lah Obama, perjuangan bangsa kulit hitam yang mula dirintis oleh pejuang hak asasi Dr. Martin Luther King. Itulah juga kuasa demokrasi.

Osama pula bukan Obama. Osama seorang Islam yang berjuang menentang kezaliman Amerika. Hingga Osama dilebel sebagai ‘pengganas’. Sampai kini masih menjadi duri dalam daging Amerika. Di mana Osama? Apakah selepas ini Osama akan terus menggegar kerusi kuasa Obama?

Apakah Obama sama seperti Bush yang mempunyai persepsi negetif terhadap Osama? Memang obama bukan Osama, begitu juga Osama buka Obama.