Rabu, 21 Januari 2009

Pengalaman Bahasa

Saya adalah di antara 4 pelajar yang berjaya dalam peperiksaan darjah 6 pada waktu itu.Kami akan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Sudah tentu masing-masing berangan untuk ke sekolah Inggeris.

Ayah saya seorang pejuang politik. Dia orang kuat YB Ramli Omar, wakil rakyat Bahagian Bagan Serai. Dalam UMNO, ayah adalah setiausaha Bahagian. Ketika itu salah satu perjuangan UMNO adalah untuk memperjuangkan bahasa Melayu. Kerajaan mula memperkenalkan Aliran Melayu Sekolah Menengah. Di kampung saya Ismail Sajat satu-satunya pelajar contoh yang berjaya ke sekolah . Dialah peneroka pertama Aliran Melayu. Kemudian Razali Ismail pula ikut. Ayah juga mencadangkan agar saya juga masuk Aliran Melayu. Tiga orang kawan saya semuanya masuk Aliran Inggeris. Tapi saya didaftarkan ke Tingkatan Satu Aliran Melayu di sekolah King Edward VII, Taiping. Teman-teman saya yang lain mendaftarkan diri di kelas peralihan Aliran Inggeris di Sekolah King George, Taiping.

Selepas beberapa bulan bersekolah, saya dapati teman-teman saya sudah mula bertutur dalam bahasa Inggeris. Bila kami bertemu, saya hanya tercengang-cengang mendengar mereka bercakap. Bermula dari sinilah saya mula mempunyai perasaan rendah diri. Kawan-kawan saya yang bercakap dalam bahasa Inggeris semakin menjauhkan diri. Saya pula telah mempunyai teman yang lain yang sealiran.

Kami pelajar Melayu yang menumpang di sekolah Inggeris terasa seperti berada di sebuah negara asing. Sudah tentu layanan kepada kami juga berbeza. Guru-guru yang kebanyakannya lepasan Kerby memandang rendah kepada keupayan kami. Alhamdulilah dari semasa ke semasa berlaku perubahan kepada suasana politik dan pendidikan di negara ini. Pejuang bahasa semakin berjaya mempengaruhi kerajaan supaya sekolah Inggeris diubah secara beransur-ansur bahasa pengantarnya.

Pengalaman saya semasa proses pertukaran itu sangat-sangat mencemaskan. Pada ketika itu rata-rata rakyat, tidak kira apa juga bangsa, begitu menyanjung tinggi terhadap penggunaan bahasa Inggeris. Siapa yang tidak pandai berbahasa Inggeris dianggap kolot dan tidak educated. Sehingga ada kawan-kawan yang sanggup mengepit akhbar berbahasa Inggeris seperti Strait Times dan majalah Times supaya kelihatan terpelajar, sedangkan dia sendiri tidak pandai berbahasa Inggeris.

Lebih mendukacitakan, kita seolah-olah berada di negara asing lebih-lebih lagi kalau berada di pejabat-pejabat kerajaan, hospital,di setesen bas dan di setesen kereta api atau dalam perjalanan di dalam kereta api. Kebanyakan orang akan bertutur dalam bahasa Inggeris. Pengalaman saya di sebuah hospital menyebabkan saya serik untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu saya beratur untuk mendapatkan nombor giliran rawatan. Kami terpaksa menyerahkan kad pengenalan kepada seorang jururawat yang bertugas. Kebanyakan pesakit adalah orang-orang kampung, termasuklah orang tua dan pelajar sekolah. Saya dapat perhatikan ada layanan yang berbeza antara kami. Sesiapa yang datang dan bercakap dalam bahasa Inggeris akan dilayan dengan penuh sopan dan lemah lembut, tetapi apabila tiba giliran orang kampung tak pandai berbahasa Inggeris, teruk kena marah. Ada saja kesilapannya, kadang-kadang ada yang lupa bawa kad rawatan, lupa bawa kad pengenalan habis kena marah macam budak-budak. Hingga saya sendiri terasa geram dan terus meninggalkan hospital tanpa mendapat rawatan pada hari itu. Pada hari yang lain saya pergi lagi ke hospital untuk melawat abang saya yang sedang sakit. Saya dapati ada seorang lelaki di hadapan saya terus masuk ke wad pesakit setelah berbual-bual dengan seorang pegawai hospital di bahagian penyambut tamu. Dia bercakap dalam bahasa Inggeris dan terus dibenarkan masuk. Apabila saya cuba dapatkan kebenaran untuk sama-sama masuk ke wad tersebut, saya dihalau macam anjing kerana saya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Saya tidak marah kalau tidak dibenarkan masuk kerana belum waktu melawat, tetapi apa yang menyedihkan ialah bila pegawai itu marah-marah dengan menggunakan bahasa Inggeris, macamlah saya tidak mengerti apa yang diucapkannya itu.

Saya juga sering berkereta api kerana itulah satu-satunya pengangkutan yang mudah ketika itu. Di dalam kereta api, janganlah harapkan penggunanya menggunakan bahasa Melayu. Kalau ada yang bercakap Melayu cuma orang-orang kampung yang bolehlah dikelaskan sebagai orang-orang yang tidak terpelajar.

Begitu juga kalau kita menonton wayang di panggung-panggung yang begitu banyak ketika itu. Filem Melayu hanya ditonton oleh orang-orang kampung. Saya pernah menonton sebuah filem Inggeris, sebelum filem bermula biasanya ditayangkan filem-filem yang akan dimainkan di panggung itu untuk tayangan akan datang. Kalau ada iklan tentang filem Melayu akan kena booo dan ditertawakan. Sehingga saya sendiri malu untuk menonton wayang Melayu pada ketika itu, kerana bila sampai masa tanyangannya, berduyun-duyunlah orang-orang kampung masuk panggung.

Pengalaman yang menyedihkan pernah berlaku pada suatu ketika, seorang menteri berucap untuk merasmikan sebuah acara sukan antarabangsa di sebuah stadium, di Kuala Lumpur. Menteri itu berucap dalam bahasa Melayu dan di booo oleh penonton. Bila beliau mengubah ucapannya dalam bahasa Inggeris, beliau menerima tepukan yang gemuruh seolah-olah merestui ucapannya dalam bahasa Inggeris.

Inilah pengalaman saya seorang Melayu yang dididik dalam bahasa Melayu pada zaman kegemilangan bahasa Inggeris pada tahun-tahun 60-an dulu.

4 komentar:

Sham al-Johori mengatakan...

Tuan guru,
Cerita tuan mengingatkan saya kepada cerita purbawara tentang kisah anjing dan bayang-bayang. Hari ini, anjing itu adalah orang yang memperjuangkan BI dan bayang-bayang itu adalah ketakutan demi ketakutan. Akhirnya kedua-dua mereka mati dalam kerakusan nafsu sendiri.
Demikianlah sejarah yang sepatutnya mereka pelajari.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Shamsuddin,
Memang benar. Siapa kata pendidikan yang berorentasikan BI tidak menjejaskan kita orang Melayu dan juga bahasa Melayu itu sendiri.
Selamat berjuang!

Citra Delima mengatakan...

Asalam Mualaikum Tuan Haji,

Cerita tuan ada persamaan apa saya lalui dalam hidup saya semasa bersekolah. Mungkin tuan adalah sebaya dengan saya atau saya lebih sedikit ketuaan nya. Apa yang jelas ingin saya perkatakan adalah pada tahun 1968 semasa menuntut di Institut Pertanian Serdang, Selangor, seorang Pengetua yang berkelulus yang dari barat juga sukar hendak menyampaikan tuturkata nya dalam bahasa melayu, tergagap-gagap seolah hilang langsung perkataan melayu dari ingatannya. Sampai seorang pensyarah kanannya menyuruh menggunakan bahasa Inggeris, baru dengan lancarnya dia berucap di perhimpunan pagi. Agaknya bendera jalur gembilang yang berkibar dibelakang disangkanya bendera penjajah lagi. Apa yang ditakuti sangat tentang penggunaan bahasa barat ini adalah biasanya orang melayu ini mengikutinya bukan sahaja ucapan malah dengan cara budayanya sekali. Sebagai contoh, masa itu hidup orang melayu macam orang barat, iaitu majlis berdangsa, minuman keras, berpuya-puya lelaki perempuan, tidak bertudung kepala, pakai seluar pendek, memuja nyanyai roker, budaya joget yang lintang pukang itulah yang diikut anak-anak kita sekarang. Semuga Allah SWT menjauhi perkara ini dalam setiap keluraga kita hendak nya.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Akhirnya kita perlu mengakui bahawa bahasa Melayu terlalu dianggap kelas bawahan oleh bangsanya sendiri! Terkadang saya terfikir, apa lagi yang boleh dan mampu kita lakukan. Memang kita perlu berjuang dan terus berjuang, namun akhirnya kita yang lelah dan kecundang. Pelaksanaan PPSMI menunjukkan bahawa antara bangsa yang paling lemah di muka bumi ini ialah bangsa MELAYU! Oleh itu, kita perlu bersuara pada setiap ketika dan lawan habis-habisan bangsa Melayu yang menentang bahasa ibundanya sendiri. Selain itu, apa lagi?