Selasa, 07 September 2010

Perginya Seorang Sahabat

Petang 6 September, saya menerima pesanan ringkas (SMS) daripada Ketua Satu Amiruddin Ali yang menyatakan Dr. Gunawan telah pulang kerahmatullah. Saya seakan tidak percaya, lalu menghubungi W.B. Rendra (anak saudara Dr. Gunawan) untuk pengesahan berita sedih itu. Rendra menyatakan dia juga baru menerima berita ini daripada keluarganya. Jenazah beliau mmasih berada di hospital. Dalam fikiran saya ingin kepastian sebab kematian beliau. Setahu saya beliau tidak ada sebarang penyakit selain kencing manis, yang masih dalam peringkat awal.

Saya mengenali Gunawan ketika bergiat dalam persatuan penulis Johor (PPJ). Beliau baru balik menetap di Johor Bahru kerana menjawat sebagai Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru. Ketika itu saya masih bekerja di Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru. Atas urusan persatuan saya selalulah menjenguk beliau di pejabat beliau di Tingkat 6 Bangunan Kerajaan Air Molek. Banyaklah aktiviti PPJ yang kami jalankan dengan kerjasama Jabatan Penerangan.

Apabila beliau sendiri aktif dalam PPJ beliau dilantik sebagai Setiausaha 1(1996) dan saya sebagai Setiausaha 2. Makin keraplah saya bertemu dengan beliau, baik dalam apa juga aktiviti yang melibatkan PPJ. Ketika itu Ketua Satu PPJ adalah Tuan Haji Masud Abd. Rahman.

Tidak lama kemudian beliau ditukarkan ke Melaka. Saya terus menyandang jawatan beliau, sebagai Setiusaha 1. Dalam pemilihan berikutnya saya terus memegang jawatan Setiusaha 1. Ketika itu Jawatan Setiausaha masih dipertandingkan, tidak dilantik seperti hari ini.

Beliau juga kemudiannya berpindah ke Kementerian Penerangan Kuala Lumpur, di bahagian penerbitan.

Beliau kembali semula ke Johor Bahru setelah dilantik sebagai Pengarah JASA. Ketika inilah beliau kembali aktif dalam PPJ, dan dalam pemilihan tahun berikutnya (2003) telah berjaya dipilih sebagai Ketua Satu. Ketika ini jawatan setiusaha sudah dilantik sendiri oleh Ketua Satu dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa kali pertama selepas mesyuarat agong.

Beliau hanya memegang Ketua Satu selama dua tahun sahaja. Dalam pemilihan kepimpinan berikutnya beliau menarik diri daripada bertanding. Ketika inilah PPJ terus berubah kepada kepimpinan golongan muda, iaitu oleh Amiruddin Ali Hanafiah. Saya terus kekal dalam Jawatankusa PPJ untuk tahun-tahun berikutnya sehingga sekarang.
Sebagai mengenang jasa Gunawan, PPJ melantik beliau untuk menjadi Penasihat persatuan hinggalah saat kembalinya beliau kerahmatullah.

Sesungguhnya Dr. Gunawan Mahmod banyak membantu kegiatan PPJ baik semasa beliau menjadi Pegawai Penerangan, kemudian menjawat jawatan Setiausaha Satu, Ketua Satu dan seterusnya sebagai Penasihat.

Pada tahun 2002, saya dan Gunawan terlibat sepenuhnya dalam deklamasi puisi kembara Johor sempena Bulan Kemerdekaan. Kami bergerak ke setiap daerah Johor dalam setiap acara sambutan, yang kemuncaknya adalah pada malam 31 Ogos yang diadakan di Kluang.
Kali terakhir saya bertemu beliau semasa meraikan kedatangan KEMUDI dari Selangor pada tahun 2009. Beliau hadir dalam majlis jamuan dan deklamasi puisi di Tanjung Piai. Seterusnya pada keesokan petangnya, beliau sendiri sanggup menunggu rombongan KEMUDI di sebuah hotel terkenal , Johor Baharu untuk meraikan sendiri KEMUDI dalam sebuah acara santai. Dalam ucapan beliau semasa meraikan KEMUDI beliau menyatakan bahawa beliau bermula sebagai penulis dengan menyertai KEMUDI yang ketika itu dipimpin oleh Atondra. Kini KEMUDI dipinpin oleh Dato Samad dan Timbalannya Haji Abud Hassan Ashari.

Sebelum itu juga saya bersama beliau terlibat sepenuhnya dalam penulisan dan penyusunan buku tentang banjir yang melanda Johor pada tahun 2005/2006. Penerbitan buku tentang banjir ini adalah atas inisiatif bahagian Media Pejabat Menteri Besar.

Allahyarham dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Felda Ulu Tebrau, kemudian di Sekolah Aminuddin Baki dan Institut Malaysia Johor Bahru sehingga selesai STPM. Melanjutkan pengajian luar kampus di Fakultas Bahasa dan Sastera, Universiti Nasional, Jakarta (UNAS). Memperolehi PhD melalui tesisnya berjudul ‘Pemikiran dalam Sajak-sajak Dr.Mahathir Mohamad’ di Institut Pembangunan dan Pengurusan Antarabangsa Indonesia dengan kerjasama Berkeley International University. Beliau sering memenangi hadiah dalam pelbagai sayembera antaranya hadiah utama cerpen Utusan Melayu-Public Bank 1989, puisi Kebangsaan Hari Merdeka 1989 dan saguhati anugerah novel sejarah kebangsaan 1989. Cerpen beliau ‘Harga Sebuah Kematian’ memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 dan novel remajanya ‘Tanah Ini’ memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97. Beliau pernah meraih Hadiah Novel Remaja HSKU (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) untuk empat tahun berturut; Namaku Ayoko(1993), Renyah(1994), Tanah Ini(1995) dan Cinta Daerah Perjuangan(1996). Dianugerahkan Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor yang pertama, Hadiah Sastera Darul Ta’zim pada 1996. Beliau merupakan penerima anugerah Generasi Baru oleh FELDA pada tahun 2008. Jawatan terakhir beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.

4 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji,
Saya mendapat khabar berita itu pada pukul sekitar 4 petang dalam perjalanan balik dari Melaka ke JB melalui Cikgu Amiruddin dan Hj. Harun Mersing.
Bersama-sama kita terus mengirimkan AL-FATIHAH buat arwah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Sekurang-kurangnya beliau telah meninggalkan kepada kita sejumlah karya sastera kepada kita untuk kita renungi.

ABDUL LATIP mengatakan...

Saya berjumpa beliau semasa kami sama-sama menghadiri bengkel penulisan di Sungai Duyung Melaka lebih 10 tahun yang lalu. Selepas itu tidak pernah bertemu lagi.

Terkejut juga mendengar beliau telah kembali ke rahmatullah.

Al fatihah...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Abdul Latip,
Semasa pertemua PPJ-KEMUDI beliau pernah menyuarakan agak sibuk hingga terpaksa melupakan sebentar hal-hal berkaitan penulisan kreatif. Tetapi berjanji akan terus mengikuti perkembangan sastera tanah air dan akan terus menulis karya berupa sajak.