Sabtu, 07 November 2009

Mencari Sebab untuk 'Menyeberang'.

Manusia leka kerana mencari-cari sebab. Kadang-kadang 'lupa' kerana tercari-cari sebab. Sebab wujud kerana adanya soalan. Sebab itulah kita sering keliru bila berada di tebing takdir sambil melihat ke seberang tanya.
Perlukah kita menyeberang?
Kata Herodotus, 'lebih senang untuk menipu orang ramai daripada menipu seorang.'Orang ramai yang tertipu sebenarnya tidak sedar bahawa mereka tertipu. Berbanding seorang yang tertipu, orang ramai akan memberi peringatan kepadanya.
Menyeberanglah!
Untuk apa kita mesti menyeberang? Sebenarnya kita sendiri pun sudah berada di seberang sini.
Tapi ada sungai diri yang lebih luas untuk diseberangi.
Jadi tidak perlulah mencari sebab dalam bentuk mencari salah, seperti kisah 'bangau oh bangau' itu. Dikhuatiri sebab akhir kepada sesuatu masalah biasanya adalah kerana sistem yang telah sedia salah.

Menyeberang

Berdiri di tebing sungai takdir
sambil melihat ke sebarang tanya

Perahu nasib takkan sampai ke tambatan
tanpa pendayung usaha dan bekalan kecekalan

Menyeberang sungai diri
perlu lebih berani
dengan perahu amal
berhijrah ke seberang sedar.

SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Berita Harian Sabtu, 7 November 2009.

5 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI yang saya segani,
Jika seseorang itu lemas di perigi, salah satu sebab yg berkemungkinan, bukan kerana dia tidak tahu berenang, tetapi dia tidak bergerak. Jika dia bergerak, ada kemungkinan dia tidak akan lemas. Sama halnya seperti bersampan; jika tidak mendayung, tidak akan bergerak kolek dan biduk. Jadi, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk "mencari sebab untuk menyeberang". Puisi ini memberikan suatu pengertian falsafah yang amat perlu dimengertikan oleh mata fikir dan mata hati. Tahniah tuan haji atas siaran puisi ini dalam BH. Saya doakan tuan haji akan terus prolifik untuk melontarkan falsafah sebegini dalam karya tuan haji, yang sememangnya saya akui, penjana fikiran khalayak.

Wahyu Budiwa Rendra mengatakan...

tuan hj. yang dikagumi. tahniah dan tumpang gembira! byk yang perlu & sedang saya belajar daripada tn.hj. mohon maaf, lewat saya titipkan ini; tidak dapat B.Harian lagi.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Tahniah atas tersiarnya puisi ini. Teringat kata orang tua-tua, kelapa semakin tua semakin pekat santannya. Teruskan menulis puisi-puisi yang yang segar dan amat mengesankan ini. Membaca puisi-puisi Tuan Haji, banyak yang saya pelajari - lembut dan menyentuh naluri dan akal.

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Tahniah kali ke dua dari saya, pertama melalui masej dan kedua mencari sebab untuk tahniah kali ini. Sungguh bernas dan tepat memberi sindiran. Teruskan berpuisi dan teruskan membantu dan membimbing saya dalam berpuisi, terima kasih.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar Sifu,
Terima kasih atas pandangan dan doa. Sebenarnya pandangan dan idea orang pencen tidaklah sehebat mana.

Wahyu,
Saya juga mengkagumi anak muda yang punya gaya bahasa yang kuat dan indah dalam berkarya.

Md. Nizar,
Terima kasih kerana masih tahu khasiat kelapa tua. Terima kasih juga kerana sentiasa memberi galakan kepada saya. Hingga terasa kembali bertenaga macam orang muda.

Tuan Haji Tahir,
Meskipun tuan lambat terjun ke dalam dunia sastera, tetapi sekali tuan mencoretkan tinta, terasa ummphnya.