Selasa, 09 Maret 2010

Apabila Datuk Dr. Hassan Ahmad Mengulas tentang Kegagalan Politik Demokrasi.

Melalui ruangan ‘Kaca di jendela ‘ (Dewan Masyarakat Mac 2010) Datuk Hassan Ahmad secara tidak berselindung lagi telah menyentuh tentang kegagalan politik demokrasi yang di amalkan di Malaysia. Bagi Datuk Hassan, sebagai Khalifah Allah, manusia ialah pemimpin, bukan hanya sebagai pemerintah. Untuk menjadi pemimpin manusia itu terlebih dahulu harus memimpin dirinya dahulu sebelum dia layak memimpin orang lain atau rakyat di sesebuah negeri atau negara. Pemimpin seharusnya menjadi ‘payung’ yang memayungi dan melindungi rakyat, memimpin secara adil, amanah,jujur, bersih dan beriman yakni taat dan takut kepada Allah untuk melakukan dosa dan kesalahan.
Merujuk kepada pandangan beliau ini, apakah kita cukup kenal siapakah pemimpin kita? Apakah kita berada di bawah ‘payung’ yang selamat. Mungkin ada sesetengah daripada kita sahaja yang mendapat keistemewaan berada di bawah ‘payung’ hikmat itu. Salahnya kerana kita sendiri silap dalam menterjemahkan konsep demokrasi itu. Mengikut tradisi demokrasi, kerajaan yang dilantik oleh parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat dalam pilihan raya, sepatutnya dasarnya tidak memihak kepada pengundi yang menyokongnya sahaja. Biasanya kita dapati alamalan di Malaysia, kawasan pengundi yang tidak menyokong parti pemerintah tidak akan diberi layanan yang sama dengan layanan yang diberikan kepad kawasan yang mengundi parti yang memerintah.
Tradisi ini sebenarnya menyalahi konsep moral tentang tanggungjawab pemerintah. Konsep Melayu-Islam juga sudah jelas tentang apa yang dikatakan keadilan itu. Melalui kiasan atau metafora yang cukup jelas konsep kepimpinan itu diumpamakan sebagai ‘Raja itu seumpama pohon, rakyat itu umpama akar. Pohon tiada akan berdiri jikalau tiada akar’. Lihat juga konsep,’ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Bagi Datuk Hassan konsep yang cantik dalam kepimpinan Melayu ini, yang jarang-jarang terdapat dalam pemikiran budaya bukan Melayu-Islam.
Sebab itulah, masalah negara dan rakyat tidak boleh diselesaikan melalui slogan, tetapi hendaklah ditangani melalui dasar negara yang diluluskan oleh Parlimen dan yang dapat disaksikan dengan nyata oleh rakyat. Orang yang yang melaksanakan dasar negara itu hendaklah terdiri daripada mereka yang berilmu, amanah, jujur, bersih dan bermoral tinggi.
Hal ini hanya boleh berlaku jika negara ini mempunyai pemimpin yang tedidik melalui konsep raja (di sini bermaksud kerajaan) yang seumpama pohon, rakyat itu umpama akar. Pohon tiada akan berdiri jikalau tiada akar.

Tidak ada komentar: