Minggu, 17 Oktober 2010

Memperindah Rumah Diri.

Semasa marhaban, saya berpeluang ziarah rumah-rumah orang Melayu di kawasan taman ini. Rata-rata rumah orang Melayu kita biasanya akan mempamerkan siapakah kita, pemikiran dan citarasa, terutama bila melihat apakah yang dipamerkan di ruang tamu. Baik rumah itu rumah kos rendah ataupun rumah mahal, nampaknya pemikiran orang Melayu sama sahaja.Apa yang menjadi perhiasan atau dipamerkan biasanya adalah melambangkan apakah pemikiran mereka. Rata-rata di dinding akan tertera indah beberapa ayat suci yang terukir dan dilingkari bingkai yang cantik dan mahal. Ada perabot mahal di dalamnya terisi pelbagai bahan yang menunjukkan siapakah penghuni rumah itu. Kalau dia seorang guru atau pendidik adalah sebuah dua buku teks yang menjadi rujukannya di sekolah. Kalau dia seorang tentera atau polis akan berbarislah pingat dan sijil kepujian yang diterimanya sepenjang perkhidmatannya.

Tentang buku, nampaknya hanya sebuah rumah sahaja yang kelihatan sebuah rak yang dipenuhi buku-buku. Itupun di rumah seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi. Lain-lain rumah nampaknya kosong dengan buku.
Buku adalah lambang pencarian ilmu. Selain daripada yang kita boleh dapati melalui pembelajaran dan juga pengalaman. Buku tidak boleh tidak adalah sebagai pintu keluar dari dunia ketidaktahuan ke sebuah dunia yang mengajar kita banyak perkara.

Sedihnya orang Melayu kita hanya bergantung kepada media dan akhbar sahaja untuk sesekali menjenguk dunia yang menakjupkan itu, iaitu dunia ilmu. Sebab itulah orang melayu mudah terpengaruh dan dipengaruhi, mudah dibujuk dengan janji-janji manis, mudah terpedaya kerana minda mereka kosong dengan ilmu bantu, terutama ilmu berfikir. Semua orang berfikir, tetapi tidak sama fikiran orang yang banyak membaca dengan fikiran orang tidak suka membaca.kita boleh lihat ketika mereka membuat sesuatu keputusan. Biasanya selain pengalaman, pengetahuan melalui bacaan juga boleh membantu. Orang yang membaca biasanya dapat membuat keputusan dengan tepat berbanding dengan orang yang tidak suka membaca.

Oleh itu perindahkanlah rumah diri dengan buku-buku , bukan dengan hiasan-hiasan palsu.

5 komentar:

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Tuan haji Shapiai: Saya suka dengan entri Sdr yang ini.

MARSLI N.O

Wahyu Budiwa Rendra mengatakan...

salam tn.hj yang dihormati. saya rindu ketika - kita bicara tentang buku2 dahulu. buku membuka lembar dan melebar jangkaun fikiran pembaca.

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji, saya baru hendak beli sebuah almari bagi tujuan buku-buku yang telah mula saya membeli setiap bulan.

mohamadkholid mengatakan...

ada seorang kawan datang ke rumah saya - serabutnya rumah awak dengan buku!

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli,
Terima kasih kerana masih sanggup membaca blog saya.

Ren,
Buku-buku saya ada lagi tak di pejabat?

Tuan Citra,
Satu perkembangan yang baik. Membaca memenuhkan masa lepang di samping mengasah minda.

Mohamadkholid,
Biar bertemankan buku daripada bertemankan orang yang sentiasa suka meminjam.