Kamis, 14 Mei 2009

Nostalgia Bertandang

.
(Karikatur ini direka khas oleh Sdr. Zainal Buang Hussein)

Bermula di sekolah lama, iaitu sekolah Keb. LKTP Sungai Sayong. Meski pun cuti hari Vesak, Guru Besar dan guru-guru sekolah mengadakan upacara sambutan besar-besaran. Siap dengan bunga manggar dan paluan kompang. Anak-anak sekolah beruniform Pengakap, Puteri Islam dan Bulan Sabit beratur di kiri kanan jalan masuk ke sekolah. Kami diarak bagikan menyambut orang kenamaan
(Gambar kanan: Guru-guru dan murid sekolah bersedia untuk menyambut ketibaan kami)

En. Md. Yusof bin Ahmad Guru Besar mengelu-elukan kehadiran kami. Nampaknya ramai bekas guru tahun 70-an yang hadir. Bekas pelajar juga ramai yang hadir, diketuai oleh Md. Yunan bin Abdul Majid, yang kini bertindak sebagai setiausaha sambutan. Atas usahanya ramai juga penduduk kampung yang hadir. Mereka sama-sama menunggu kami di dewan sekolah. Antaranya Pak Atan, Pak Wagiman dan Yusuf. Yusuf bermurah hati menyediakan juadah tengahari untuk kami semua.

Sesungguhnya sambutan kepada kami sungguh istimewa dan tidak dapat kami lupakan. Meski sudah lebih 30 tahun kami meninggalkan Sungai Sayong, masih ada lagi mereka yang sanggup meraikan kami. Mohd. Yunan telah meguar-uarkan kehadiran kami dengan menampal poster di kedai-kedai dan juga di masjid.
Malangnya kebanyakan penduduk yang kami kenal ramai yang sudah pergi lebih dahulu dari kami. Di antaranya Pak Njang dan Mak Njang, Pak Samad, Pak Imam Ani, Bilal Jaafar,Bilal Omar, Imam Haji Kasim, Wak Saimon, Pak Raof dan ramai lagi. Kini penduduk Sungai Sayong adalah terdiri daripada generasi anak-anak mereka.
Ramai pelajar-pelajar kami yang sudah berjaya. Kebanyakan mereka telah berhijrah dari penempatan ini kerana bertugas. Ramai yang sudah berjawatan tinggi.
Selepas makan kami dibawa berkeliling kampung dengan didahului oleh motosikal polis rela. Kami dapat melihat banyak perubahan, terutama rumah-rumah peneroka sudah cantik, tidak ada kesan rumah lama. Pokok-pokok juga sudah besar, terutama pokok durian. Boleh dikatakan setiap rumah ada ditanam pokok durian di belakang rumah mereka.
Selepas solat zohor di masjid Sayong, kami terus bergerak ke Hotel Seri Malaysia Johor Bahru. Petangnya kami adakan majlis baca Yassin dan tahlil untuk disedekahkan kepada teman-teman yang lebih dulu kembali kerahmatullah.
Pada sebelah malamnya diadakan majlis ramah tamah sambil mengenang kisah-kisah silam.
Guru Besar (mantan) kami dulu Haji Hamzah Ariffin berserta isteri dan anak-anaknya turut serta memeriahkan majlis. Sungguh pun beliau uzur, beliau kuatkan juga datang semata-mata tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama menjayakan majlis pertemuan ini.
Antara mereka yang hadir dalam majlis reunion ini ialah Aziz Ariffin dan isterinya Khadijah, Ishak Haji Nor, Ismail Masom dan isterinya Normadiah, Jamain dan isterinya Habsah,Khair Affandi dan Isterinya Kamariah, Sulaiman Omar dan isterinya Safiah, Suriati dan suaminya Moin, Sahar Jailani dan isterinya Azizah, Mohd. Haji Ibrahim dan isterinya Faridah, Omar Farouk Ibrahim Ghaney, Sharif Ghani dan isterinya, Wahab Nordin, Sapuan Munip dan isteri, Khatijah dan suaminya Wahid, Esah dan suaminya Wahid dan juga Faridah Ahmad.

6 komentar:

sahrunizam mengatakan...

Tuan Haji,

Demikianlah manisnya sebuah nostalgia. Indah lagi mengasyikkan. Salam Hari Guru. Sesaat bergelar guru, sehayat digelar cikgu.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sahrunizam juga seorang guru, tentu dapat merasakan bahawa guru tidak meminta balasan dan sanjungan. Memadai dihargai seperti adanya 'Hari Guru' setiap tahun.

shutterguy mengatakan...

Saya pernah menuntut disekolah tersebut dari 1970 hingga 1975. Saya sangat kenal cikgu (masih boleh saya panggil cikgu?). Cikgu antara guru yg banyak mengasah bakat saya - melukis dan menulis. Ada tulisan saya yg terbit di majalah Dewan Pelajar sekitar tahun 1970. Saya hampir lupa sehingga kawan saya memberitahu saya dia terbaca tulisan saya dalam majalah tersebut di perpustakaan negara lebih kurang 10 tahun kemudian..
Saya juga suka melukis. Banyak ilmu yg saya kutip dari cikgu. Cikgu Salam pernah bagi saya full mark 50/50 utk subjek lukisan!
Tapi sekarang nampaknya cikgu dah jadi penulis. Saya pun dah ada kerjaya sendiri. Taklah jadi pelukis atau penulis. Tapi ilmu2 tersebut banyak membantu kerjaya saya. Terima kasih cikgu dan semua cikgu2 yg lain..

LUQMAN HAKEEM mengatakan...

oh! nostalgianya...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

shutterguy,
Terima kasih kerana masih ingatkan saya. Terasa bangga juga bila ada anak murid yang masih memanggil saya 'Cikgu!' Meskipun dulu kami mungkin saja banyak kesalahan terhadap anak murid kami, maklumlah suka marah, denda kadang-kadang yang tak bersalah pun kena. Bila fikir-fikir balik sebenarnya apa yang kami buat semata-mata nak lihat anak murid kami berjaya. Pernah satu ketika saya berurusan di sebuah pejabat. Saya cuma menunggu di kaunter. Tiba-tiba dari sebuah bilik keluar seorang perempuan terus mendapatkan saya dan memanggil saya Cikgu!. Masa tulah saya cukup terharu.
Kepada shutterguy, saya harap teruslah menulis, meskipun dalam blog.
Saya juga tidak lagi melukis, tetapi menumpukan sepenuhnya kepada penulisan.

Luqman Hakeem,
Memang pertemuan di SS itu mengundang nostalgia, hinggakan ada ura-ura pihak sekolah untuk mengadakannya lagi..bagi guru-guru tahun 1908-an pula.
Terima kasih kerana sudi membaca.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Luqman!
Rupanya orang Batu Pahat..