Kamis, 21 Mei 2009

Yang Paling Sukar ialah Untuk Mengerti.

Pengertian sering berbeza-beza. Berdasarkan kefahaman seseorang. Kefahaman seseorang pula biasanya bergantung sejauh mana tingkat pendidikannya. Rendah tingkat pendidikan rendah pula tahap kefahamannya. Ada juga yang tinggi tingkat pendidikannya tetapi tahap kefahamannya begitu rendah. Malah ada orang yang tidak belajar di mana-mana tapi tahap kefahamnnya begitu tinggi. Ini hal lain yang ada kaitannya dengan pengalaman dan sikap.
Lalu segala tindakan kita adalah melambangkan sejauh mana tahap pendidikan kita. Lebih tepat lagi tahap pemikiran kita.
Sebab itu kita tidak dapat mengukur tahap pendidikan dengan tahap keintelektualan seseorang. Orang yang belajar hingga ke peringkat universiti boleh saja jadi penipu, amal rasuah dan pembunuh. Begitu juga orang yang tidak pernah mendapat pendidikan formal tahu-tahu boleh jadi pemimpin besar yang berkaliber dan amanah.
Begitulah juga seorang yang terdidik dalam bidang agama, boleh berceramah dengan baik, selalu pula memberi nasihat kepada orang lain, tiba-tiba terperangkap dengan perbuatan yang dimurkai Allah.
Ada pula yang mengaitkan dengan faktor umur. Semakin dewasa semakin banyak makan garam kata orang. Oleh itu orang tua seharusnya menjadi contoh kepada orang muda. Orang muda seharusnya mendengar nasihat orang tua. Tidak semuanya benar. Ada juga orang muda yang fikiran dan tingkah lakunya sudah menampakan kedewasaan. Sebaliknya ada orang tua yang berfikiran sempit dan tidak matang.
Lalu boleh saja orang tua mendapat pandangan orang muda. Kita tidak harus malu mengakui kelemahan kita di hadapan orang muda.
Fahaman politik juga boleh membawa pengertian yang berbeza. Fahaman politik sering mengubah dan menyepikan kebenaran. Di sinilah kita perlukan pengertian. Biar berbeza politik, tapi kebenaran itu tetap benar.
Apalagi jika dirujuk tentang fahaman agama. Masing-masing berpegang kepada kebenaran agamanya. Bila orang Islam berpegang kepada hanya satu agama yang benar, pihak lain mengatakan bahawa Islam itu tidak demokratik. Kita minta pengertian mereka tentang apa itu Islam. Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain.
Begitulah apabila menyentuh soal bahasa, apa yang menghairankan ialah tanggapan orang Melayu sendiri terhadap bahasa Melayu. Kalau orang Cina dan India kita tidak hairan bila mereka memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Yang pelik bin ajaib orang Melayu sendiri menolak bahasa Melayu dengan alasan bahasa Melayu tidak berdaya maju. Mereka berselindung disebalik kata-kata, ‘Dengan menggunakan bahasa Inggeris tidak bermakna akan menghapuskan bahasa Melayu’.
Di sinilah pengertian itu penting. Memanglah sesuatu yang paling sukar ialah untuk mengerti.

4 komentar:

Marniyati mengatakan...

Salam,
Benar kata tuan itu... Yang paling sukar adalah untuk mengerti dan yang paling mudah adalah untuk mencaci, biar pun yang dicaci itu adalah bahasa sendiri...

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Pemimpin Melayu kita bukan sukar utk mengerti tetapi kebanyakan drpd mereka telah diracuni oleh kuasa dan wang utk menjadi tidak mengerti. Soal BM kini makin dipandang sepi, generasi muda makin galak bernyanyi, agama makin ditolak ke tepi, hiburan melalaikan bercambah di sana sini, kuasa politik Melayu makin diperjudi, bangsa asing bertepuk bernyanyi, dan semuanya berpunca drpd "kita" yang tidak mengerti...

syaidul Azam Kamarudin mengatakan...

salam ziarah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marniyati,
Saya sentiasa mengikuti tulisan Marni yang begitu konsisten dalam memperjuangkan bahasa Melayu.
Teruskan!

Azhar Salleh,
Terima kasih kerana mengerti. Sdr Azhar juga terus memperjuangkan agar bahasa Melayu diletakkan ditempat yang sewajarnya.

SAK,
Terima kasih kerana ziarah.