Kejadian rusuhan etnik di Cina sudah memakan ratusan jiwa. Rusuhan ini berlaku akibat rasa tidak puas hati sekumpulan ethnik Uighur, yang beragama Islam setelah membantah tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap beberapa orang pekerja. Tetapi mengapa pula berlaku pergaduhan dengan puak Han hingga mengorbankan jiwa? Utusan melaporkan kemalangan jiwa sudah mencecah 156 orang.
Itu di Cina yang kita tahu terdiri daripada satu bangsa walaupun terdapat pelbagai etnik. Kita di Malaysia juga akan menghadapi hal yang sama jika kerajaan tidak tegas dan tidak berlaku adil dalam menangani sesuatu isu. Misalnya isu Hindraf, apakah benar minoriti India di negara ini tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Kita khuatir isu-isu yang dibangkitkan akan menjadi isu perkauman. Seharusnya elakkanlah daripada perjuangan yang bersifat kaum. Apa lagi parti politik, seharusnya melihat daripada perspektif kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau DAP Johor membangkitkan isu apartheid yang diamalkan oleh kerajaan, apakah itu benar? Bandingkanlah dengan Afrika Selatan. Kaum manioriti yang mendatang telah berkuasa sejak sekian lama. Mereka jelas menunjukkan penindasan terhadap kaum peribumi Afrika Selatan dengan menjalankan dasar apartheid itu. Hinggakan ada kawasan-kawasan yang hanya boleh dimasuki oleh kaum kulit putih sahaja. Ada papan kenyataan terpampang, ‘White only’. Adakah amalan seperti itu dilakukan oleh kerajaan kita? Kita bebas bergaul dan berada di mana-mana sahaja. Mungkin ada beberapa peraturan yang kelihatan seperti menyebelahi bumiputera, tapi ini bukan alasan bahawa negara kita mengamalkan dasar apartheid.
Isu yang dibangkitkan oleh DAP yang tidak puas hati dengan beberapa jawatan dalam pentadbiran kerajaan yang seolah-olah dimonopoli oleh bumiputera sahaja. Ini dilakukan untuk menseimbangkan dengan jawatan dalam sektor swasta. Di kilang-kilang dan di sektor swasta kita dapati jawatan penting hanya untuk satu bangsa sahaja. Apakah orang Melayu akan berkata bahawa mereka juga mengamalkan dasar apharteid? Orang Melayu memang banyak diambil bekerja itupun sebagai operator pengeluaran yang bergaji rendah.
Ada orang membandingkan masyarakat berbilang kaum di Singapura. Baru-baru ini ada seorang Melayu yang dilantik sebagai Brigedier Jeneral dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Heboh satu Singapura, hendak menunjukkan bahawa Singapura tidak mengamalkan dasar perkauman dalam pentadbirannya. Saya yakin dan percaya kalau orang Melayu di Singapura bangkit memperjuangkan bahasa Melayu supaya sama taraf dengan bahasa Inggeris di Singapura, kemudian memastikan ada sekolah Menengah pengantar bahasa Melayu dan Universiti Melayu, sudah tentu kerajaan Singapura tidak akan menyenanginya. Sekarang kita lihat orang Melayu Singapura sudah menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka, di samping bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda sebab itulah tidak ada masalah timbul. Soalnya orang Melayu Singapura menerimanya. Habis perkara.
Tidak sama dengan kita di Malaysia. Orang Cina masih memperjuangkan agar bahasa Mandarin diiktiraf hingga ke peringkat pengajian tinggi. Begitu juga orang India. Jadi sampai bila pun kita tidak akan dapat bersatu. Pengiktirafan dan kebenaran belajar bahasa sesuatu bangsa itu tidak sama. Belajarlah bahasa apa pun, hatta bahasa Rusia. Orang yang ada kepakaran dalam bahasa lain biasanya akan beruntung, terutama dalam bidang pekerjaan. Tapi soal pengiktirafan bahasa Rusia atau bahasa Perancis di negara ini tidak timbul sama sekali.
Sepatutnya dalam apa juga sektor utamakanlah penguasaan bahasa Melayu, kemudian barulah bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya. Itu pun untuk tujuan perhubungan. Jangan dijadikan dasar sesuatu sektor untuk mengutamakan penguasaan bahasa Mandarin dalam pengambilan kerja. Kalau begini sudah tentulah macam dasar apartheid. Walaupun tidak dinyatakan secara langung bahawa jawatan ini untuk orang cina tetapi kalau penguasaan bahasa Mandarin diutamakan samalah seperti hanya untuk orang-orang Cina sahaja. Tidakkah itu namanya dasar apartheid?
Dalam memperjuangkan dasar elok kita bertegas sikit.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar