Kamis, 18 Maret 2010

Untuk Anak-anakku

Memang benarlah apa yang dikatakan bahwa anak-anak adalah ujian bagi kita selain daripada harta benda dan kekayaan.

Sebagai bapa sudah tentu kita berasa bahagia bila anak-anak sudah membesar dan berjaya dalam hidup mereka. Kalau nak diukur dari segi kejayaan dalam pelajaran. Kawan saya pernah berkata, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran belum tentu membahagiakan kedua ibu bapa mereka.

Begitulah saya telah menyerahkan keenam-enam anak saya kepada kehidupan di luar rumah tangga kami. Dua daripada mereka telah pun bekeluarga dan membina hidup mereka sendiri. Kini bakal menyusul dua lagi anak lelaki saya. Seorang bakal bertemu jodoh dengan orang Kelantan, seorang lagi orang Terangganu.

Lalu minggu ini sibuklah saya dan isteri menguruskan masa depan mereka itu. Dengan harapan agar jodoh mereka akan berkekalan. Bukan setakat itu sahaja, kami sebagai ibu bapa juga sentiasa mendoakan mereka akan bahagia dan dapat menghadapi segala dugaan pasangan yang baru menempuh alam rumah tangga.

Sebagai bapa saya begitu risau apabila melihat begitu banyak perkahwinan yang berantakan dan biasanya berakhir dengan penceraian. Terfikir di hati, apa kah yang mereka cari dalam kehidupan ini? Kebahagiaan yang bagaimana? Cukupkah mereka bersedia? Pada hal sebelum mendirikan rumah tangga mereka sudah melalui proses kerusus.

Pada saya mereka sebenarnya tidak begitu faham tentang erti berkeluarga. Erti tanggungjawab suami dan isteri. Mereka menganggap perkahwinan cuma untuk melampiaskan rasa cinta sahaja. Seharusnya mereka berfikir bahawa berumah tangga itu adalah suatu kewajipan ummah, untuk melahirkan umat Islam yang benar-benar kuat. Kawinlah dan lahirkan lebih ramai anak-anak yang benar-benar menjiwai Islam. Kita perlukan orang Islam yang kuat dari segi mental dan fizikal. Bukan anak-anak yang bakal menyusahkan masyarakat, yang sentiasa menaburkan fitnah, melebihkan hiburan, mudah terpengaruh dengan budaya luar yang tidak sihat dan juga mudah terpengaruh dengan budaya rasuah semata-mata untuk mengejar kekayaan. Oleh itu kita sebagai ibu bapa mestilah cukup bersedia.

Batu-bata rumah tangga perlulah dibina daripada asas ketakwaan yang kukuh. Tiang-tiangnya daripada tiang rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Ikhsan. Perlu ada jendela yang sentiasa terbuka kepada dunia muhasabah diri. Perlu halaman mental yang luas dan terbuka kepada usaha merubah diri. Perlu atap kesabaran yang teruji. Perlu mengenal jiran keinsafan. Perlu kamar kerukunan yang sentiasa diisi dengan bacaan buku pegangan, iaitu Al-Quran.

3 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji Shapiai,
Diri ini berulang-ulang membaca isi kandungan entri ini agar lekat dalam minda untuk dijadikan peringatan buat diri sendiri.
Diri ini punyai 3 anak lelaki yang berumur 10 tahun, 8 tahun dan 10 bulan; umur semakin meningkat lalu ilmu dalam hal pengurusan keluarga perlu terus dikutip daripada insan yang lebih berpengalaman seperti Tuan Haji... umpamanya seperti bacaan dalam entri ini. Teruskan Tuan Haji untuk saling mengingati sebegini.

Rositah Ibrahim mengatakan...

Salam ziarah,
Terima kasih. Sebuah peringatan yang baik, bermanfaat juga buat pasangan yang sudah lama mengharungi kehidupan berumah tangga.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Secara tidak langsung, respon daripada Rusdi sebenarnya dapat memberi kekuatan kepada saya. Sebagai bapa kepada enam anak rupanya kita sentiasa tidak terlepas dari kekhuatiran melepaskan mereka ke dunia luar yang begitu banyak pancarobanya.

Rositah,
Terima kasih kerana sudi ziarah.