Rabu, 02 Juni 2010

Jawabnya Ada Pada Takdir


Meminjam tajuk novel terbitan baru YWJ Citra , karya Maskiah Haji Masrom, saya melihat kehidupan kita memang bergantung sepenuhnya kepada apa yang dikatakan ‘takdir’. Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu merancang. Seperti watak Cikgu Hanifah yang kehilangan suami tersayang, ketika dia masih memerlukan seseorang di samping. Ketika dua anak kecilnya masih memerlukan kasih seorang bapa, ketika itulah dia kehilangan suami yang meninggal dalam satu kemalangan jalan raya.

Begitulah setiap manusia ada takdirnya sendiri. Bagaimanakah takdir kita selepas ini. Setiap hari ada saja panggilan takdir. Umur kita yang luruh, meski gemuruhnya tidak kedengaran, juga adalah takdir yang mesti kita hadapai. Kita adalah kuburan yang risau, menanti saat kebijaksanaan mengingati mati itu dipertimbangkan di neraca akhirat. Meski begitu, kita masih boleh memilih takdir dengan kekuatan dan keikhlasan berdoa.

Tidak perlulah kita menanam bayi takdir yang kita lahirkan dari kekotoran akhlak. Tidak perlulah kita membuang bayi takdir yang lahir dari keboborokan sikap masyarakat.

Jodoh adalah takdir kita. Kadang-kadang kita cuba memilih, tetapi kartu jodoh kita pada orang lain. Pihak berkuasa juga kadang-kadang sibuk menentukan takdir hidup kita, dengan membina macam-macam infrastruktur, menggubal pelbagai strategi dan undang-undang, tetapi seperti cinta juga, rakyat tiba-tiba memilih jodohnya sendiri. Mungkin kepada pihak pembangkang.

Tahun 60-an dulu, ketika pemerintah Amerika mewujudkan kerahan tenaga bagi anak-anak mudanya untuk dihantar ke Vietnam, seorang pemuda melanggar takdir arahan pemerintah dengan mencacatkan dirinya, iaitu dengan memotong satu jari tangannya (kerana kecacatan saja boleh mengelakkan dia dari arahan itu). Kini dalam usia 50-an, dia tidak menyesal bahkan berasa beruntung kerana kehilangan satu jari itu tidak memungkinkan dia kehilangan nyawanya dalam perang di Vietnam.

Begitulah takdir yang sebenarnya ada lebuh rayanya sendiri. Sebagai orang Islam kita percaya kepada Qada’ dan Qadar. Jawapannya masih ada pada takdir, kata Maskiah.

7 komentar:

Comels mengatakan...

Tuan,
kalau hati sedang resah, kita tak tahu apakah itu kebetulan atau suratan. yang penting, takdir hanya disedari bila kita dalam jiwa yang tenang dan pasrah. baru kita tidak merungut dengan apa yang kita lihat sebagai kesusahan atau tidak terlalu seronok kalau kita melihat ia sebagai suatu kesenangan.
tapi, saya paling suka perenggan yang berbunyi....
rakyat memilih takdirnya sendiri,mungkin pembangkang...
gelihati saya, tapi rasa sangat gembira dengan kata berkhias tuan itu mengajak orang berfikir.
saya kira pengunjung blog tuan ini pun orang yang pemikir.orang putih kata `anda adalah apa yang anda baca`....,

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj. Shapiai,
Terima kasih kerana memasukkan sedikit maklumat DBPWS dalam tulisan Tn. Hj. (majalah Dewan Sastera Jun 2010).
Sedikit pembetulan sahaja, DBPWS diwujudkan pada 2001.
Apa-apapun setinggi-tinggi hasrat DBPWS perlukan PPJ selama hampir 10 tahun yang telah dilalui di Johor.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Comel,
Entahlah, kadang-kadang saya pula berasa apa yang saya tulis hanyalah cebisan-cebisan tidak bererti, jika dibandingkan dengan tulisan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Dr. Firdaus Abdullah dan juga Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah. Apa lagi jika dibandingkan dengan Dr. Mahathir.
Cuma saya berasa biarlah hari tua ini dapat diisi dengan sesuatu, hatta berupa tulisan kecil ini.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Terima kasih juga kerana DBPWS sentiasa memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada kami PPJ ini. Di bawah En. Rusdi banyak aktiviti yang kami dapat tumpang, bukan sahaja dalam bentuk tenaga tetapi juga keewangan. Segala-galanya untuk melihat perkembangan penulisan di selatan ini berkembang dengan baik.

Comels mengatakan...

Tuan,
biar kecil kita rasakan, tapi besar rasanya buat insan.orang kecil tak punya waktu membaca karya besar, biarlah orang seperti tuan kecilkan dan pisahkan isinya dari karya besar itu untuk mudah dihadam orang kecil.biar mereka tak kenal siapa orang-orang yang tuan sebut tadi, yang pastinya pemikiran mereka dapat disampaikan melalui penulisan kita.bahasa orang besar, biar pemikir besar mencernanya.bahasa orang kecil, biar orang seperti tuan yang bantu mudahkannya.tersebarlah pemikiran ke serata .biar kami lebih bijak dengan bahasa yang mudah kami fahami.

Eizda Amani mengatakan...

salam tuan haji,
Novel Jawabnya Ada Pada Takdir ini memang sangat menarik untuk dibaca & menghayati ceritanya adalah suatu keindahan.

Bila dilihat dalam kehidupan realiti, sebagai hamba-NYA kita hanya mampu merancang & DIA juga yang menentukan segala-galanya. Untuk mencapai sesuatu, kita perlu berusaha, berdoa & tawakal kerana segala takdir sememangnya telah tertulis untuk kita...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ida,
Novel 'Jawabnya Ada Pada Takdir' ini memang sebuah novel motivati keluarga yang boleh dijadikan sebagai contoh. Kisah seorang guru, seorang ibu juga seorang isteri yang begitu gigih mengharungi hidup selepas kematian suami.