Selasa, 31 Agustus 2010

Merdekakah Kita?

Apakah kita kini sudah benar-benar merdeka? Penjajah Inggeris telah lama pergi, tetapi hingga sekarang kita masih melihat diri kita yang masih dijajah. Kita tidak bebas sebenarnya. Memang kita sudah merdeka. Sudah memerintah sendiri. Sudah membangun sendiri. Lihatlah, memang pada zahirnya kita dapat melihat betapa kemajuan sampai ke halaman kehidupan kita.

Atas nama kemajuan jugalah, kita sebenarnya masih terus dijajah. Kalau ditakdirkan Inggeris memerintah hingga kini, kita akan juga dapat melihat kemajuan. Inggeris jugalah yang memperkenalkan pelbagai bentuk kemajuan kepada kita. Mungkin kita akan lebih maju lagi di bawah peperintahan Inggeris?

Cuma apakah kemajuan itu selari dengan kemajuan bahasa kita? Bahasa kita masih merangkak dan mengemis di bumi merdeka. Ini adalah kerana sejumlah pemikiran bijak pandai kita masih dijajah oleh Inggeris. Atas nama kemajuan, bahasa Inggeris terus dipuja dan disanjung tinggi.

Erti kemerdekaan itu bukan setakat penjajah telah pergi dan kita sudah bebas. Seharusnya kemerdekaan memberi erti yang lebih luas lagi. Kemerdekaan seharusnya mencakup kehidupan bernegara yang jelas identitinya. Ini termasuk tentang bahasa yang digunakan, budayanya, pemikiran masyarakatnya dan kehidupan sehariannya.

Kita masih belum merdeka bila masih ramai rakyat yang berfikiran sempit, terutama bila menterjemahkan tentang demokrasi. Demokrasi hanya untuk sebuah parti yang menang sahaja. Parti pembangkang adalah musuh negara, perlu ditekan dan kalau perlu diperangi habis-habisan.

Kita masih belum merdeka bila masih ramai anak-anak muda mengambil barat sebagai contoh dan ikutan, terutama dari segi pakaian, gaya hidup, dan hiburannya.

Kita masih belum merdeka jika kita masih menghimpun segala gejala negetif dalam kehidupan kita seperti ketagihan dadah, buang anak, ragut, keganasan dalam keluarga, rompak dan segala macam maksiat.

Kita masih belum merdeka sebenarnya.

9 komentar:

Unknown mengatakan...

salam bapak shapiai...
memang betul kita belum merdeka...dari segi zahir memang telah merdeka. kita dapat mengecap nikmat dunia di bumi malaysia. berbagai-bagai kemudahan ada. terbaru ialah bekalan netbook diberi percuma kepada pelajar-pelajar yang terpilih. namun jiwa kita masih belum merdeka. masih lagi dikongkong nafsu binatang. tiada sifat kemanusiaan dan masih menjadi orang-orangan yang hanya diam membatu...masih lagi dirantai hasad dan dengki...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Lilik,
Kita sebagai guru diletakkan tenggungjawab yang begitu berat. Sedangkan pihak lain tidak pernah ambil pusing. Sepatutnya hal ini dijadikan tindakan bersama oleh semua pihak seperti ibu bapa, masyarkat, media juga kerajaan.

NASSURY IBRAHIM mengatakan...

Saya sudah merdeka. Pemimpin saya belum merdeka.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Nassury,
Bila pemimpin tidak merdeka, kita pun sukar untuk merdeka. Mereka memenjara kita dengan ketidakmerdekaan fikiran mereka.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Ayahanda Shapiai,
Merdeka bagi sesebuah negara bermaksud bebas daripada kuasa asing yang menjarahnya. Merdeka bagi seorang hamba bermaksud bebas daripada tuannya. Merdeka pemikiran kita bermaksud bebas daripada fahaman yang memungkinkan fikiran kita menjadi keliru, kecamuk dan kacau. Merdeka bagi kita bermaksud terhindar daripada perlakuan yang menyuburkan dosa. Tetapi, malangnya hari ini generasi kita terlalu "MERDEKA" melakukan perkara-perkara keji dan mungkar tanpa rasa takut dan gentar... (Nauzubillah....)

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr SK: Secara peribadi, kita memilih untuk merdeka dengan cara kita. Soal mereka, terserah bagaimana.

Cuma kita.

MARSLI N.O

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli N.O,
Saya tertarik dengan cara Kelantan menyambut Perayaan Kemerdekaan baru-baru ini.

NASSURY IBRAHIM mengatakan...

Saya tak faham erti merdeka yang dilaungkan oleh kita saban tahun. Saya melihat ramai rakyat dan pemimpin masih belum merdeka. Anehnya, mereka yang belum merdeka ini sering menyeru agar orang lain merdeka.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Nassury,
Saya tertarik dengan dengan kenyataan tuan tentang, 'Anehnya orang-orang yang belum merdeka ini sering menyeru agar orang lain merdeka.'