Rabu, 25 Maret 2009

Dari Johor Bahru Ke Kota Tinggi.


Saya membaca sebuah cerpen dalam Kumpulan Cerpen Usman Awang , ‘Turunnya Sebuah Bendera’ (2007), terbitan UA Enterprises Sdn. Bhd. Dalam cerpen tersebut SN Usman Awang menceritakan pengalamannya sepanjang perjalanan 26 batu ( lebih kurang 41 km) dari Johor Bahru ke Kota Tinggi. Penulis menaiki bas dengan tambang ketika itu cuma satu ringgit. Pada tahun 1956 ketika cerpen ini ditulis, negara masih dalam keadaan darurat. Beberapa kali bas berhenti untuk pemeriksaan polis. Penumpang-penumpang diminta turun untuk diperiksa kad pengenalan dan juga barang yang dibawa. Kalau membawa barang makanan pasti akan dirampas dan didenda. Mereka juga melalui kem tentera (sekarang ini Kem Majedee). Tentera ketika itu masih tentera Inggeris.
Ketika cerpen ini ditulis saya baru berumur 6 tahun. Memang saya masih ingat ketika kecil kami sering bertemu dengan lori-lori tentera Inggeris. Lebih-lebih lagi pernah berlaku sebuah kapal terbang tentera jatuh di sawah berhampiran rumah kami. Apa lagi kampung kami pun dipenuhi dengan orang-orang putih ini. Mereka berkhemah berhampiran rumah. Kebanyakan mereka berlenggeng kerana cuaca panas. Begitulah, Usman Awang dalam cerpennya menyindir bagaimana mereka (orang Inggeris) menyenangi cahaya matahari di sini, seperti senangnya orang Inggeris mengambil kekayaan dari negeri-negeri yang dijajah.
Pada tahun 1971, ketika saya mula-mula tiba di Kota Tinggi atas arahan bertugas, saya dapati Kota Tinggi masih merupakan sebuah bandar kecil yang lenggang selepas jam enam. Saya juga berkesempatan menaiki bas dari Johor Bahru ke Kota Tinggi. Saya juga dapat melihat Kem Majedee yang sudah bertukar tangan. Sepanjang jalan masih dipenuhi hutan dan kebun getah.
Pada tahun 1984 hingga 1994 saya berulang alik dari Kota Tinggi ke Johor Bahru kerana tugas. Ketika inilah saya melihat perubahan yang amat ketara. Kini jalan raya ke Kota Tinggi sudah dibesarkan. Banyak selekoh yang telah diluruskan. Di sepanjang jalan pula sudah tumbuh banyak taman perumahan. Jalan sudah semakin sibuk dan kemalangan pun bukan semakin kurang, malah semakin bertambah. Mungkin disebabkan sikap pengguna jalan raya sendiri. Kalau dulu semasa jalan lama yang banyak selekoh, jarang-jarang saya bertemu dengan kemalangan, tetapi selepas jalan dibesarkan dan selekoh sudah dikurangkan semakin banyak kemalangan.
Cerpen Usman Awang masih membawa persoalan kemiskinan penduduk Kota Tinggi ketika itu. Bapa saudaranya, Unggal mengeluh kerana keadaan darurat yang menyebabkan orang-orang kampung berasa susah dan tertekan.
Nampaknya kini, kita masih mengeluh, tetapi bukan kerana darurat dan kemiskinan. Kita mengeluh kerana sikap kita sendiri yang tidak berubah, meski pun persekitaran telah berubah kerana pembangunan.
Kota Tinggi sudah berubah. Dari sebuah pekan kecil kini sudah menjadi bandar yang sentiasa hidup siang dan malam. Sering pula berlaku kesesakan di bandar. Sudah tentu pembangunan di sekitar membantu memajukan Bandar Kota Tinggi. Kawasan Felda yang merentangi kawasan Sungai Johor hingga ke Pengerang dan juga ke Kluang dan Kulai turut memberi imput kepada kemajuan Bandar Kota Tinggi.
Sesekali alam menjadi murka dan pada tahun 2006 yang lalu Kota Tinggi tenggelam setelah berlaku banjir besar. Seperti dalam cerpen Usman, beliau sempat bertanya, siapakah yang bersalah dalam persoalan-persolan ini?

Tidak ada komentar: