Rabu, 18 Maret 2009

Seminar Pemikiran Shaharom Husain.

Kiri: Prof Dr. Mohamed Hatta bersama Pengerusi: Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis

Jabatan Pengajian Melayu UPSI dan DBP Wilayah Utara telah menganjurkan ‘Seminar Pemikiran Shaharom Husain di Auditorium Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada 14 Mac 2009. Sebanyak 10 kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar tersebut yang merangkumi perbincangan tentang karya-karya Shaharom Husain seperti novel, drama, puisi dan cerpen.
Dr Mohamad Hatta Shaharom (anak Allahyarham) telah diundang untuk memberikan ucap utama dalam seminar tersebut. Sebagai anak, beliau melihat bapanya sebagai manusia yang bersifat tegas, obsesi, terfokus, beramanah, ikhlas, bertanggungjawab dan kreatif. Menurut beliau lagi bapanya sangat benci kepada rasuah, hutang dan mengampu. Bapanya berani menongkah arus, asalkan tidak melanggar syarak. Malah tidak memperduli reaksi orang malah berpegang teguh kepada kata-kata, ‘Tak mati kerana umpatan, tak kenyang kerana pujian.’ Beliau juga sentiasa berpegang kepada prinsip, “Tanpa pendidikan orang Melayu tiada tempat di dunia, tanpa iman dan amal soleh kita tiada tempat di syurga’.
Tahniah diucapkan kepada UPSI dan juga DBP Wilayah Utara yang berusaha mengadakan Seminar Pemikiran Shaharom Husain ini. Seminar ini adalah kali kedua diadakan, selepas seminar pertama anjuran YWJ dan DBP Wilayah Selatan pada 4 Mei 2004.
Shaharom Husain pernah menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada UPSI pada tahun 2000.

Tidak ada komentar: