Saya sempat membaca kedua-dua buah novel Khaled Hosseini yang berjudul ‘The Kite Runner’ dan juga ‘A Thousand Splendid Suns’.
Kedua-dua novel ini berlatarkan negara Afghanistan yang menjadi puing akibat peperangan sekian lama. Kalau dalam ‘The Kite Runner’ lebih memperincikan tentang persahabatan dan persaudaraan yang dilalui waktu-waktu perang, ‘A Thousand Splendid Suns’ pula meneroka kehidupan sebuah keluarga poligami juga dalam kehidupan perang. Kisahnya memang menarik dan mendebarkan, tetapi apa yang mendukacitakan novel-novel tersebut lebih banyak menggambarkan keburukan Islam itu sendiri.
Kita menjadi tertanya-tanya adakah dalam Islam wanita tidak dibenarkan menuntut ilmu. Baik semasa pemerintahan Mir Akbar Khyber prokomunis, Mujahidin, atau Taliban semuanya sama sahaja. Malah mereka ini anti kemajuan. Mereka hanya menyebabkan Afghanistan lebih parah.
Gambaran wanita yang didiskriminasi lebih menyayat. Wanita mesti keluar dengan mengenakan jilbab, dan mesti ditemani mahramnya. Kalau bersendirian akan dicambuk dan dihantar kembali ke rumah. Wanita layaknya tinggal di rumah melyan suami yang bekerja mencari nafkah.
Hospital sendiri kekurangan doktor perempuan. Wanita bersalin yang perlu dibedah, dibedah begitu sahaja tanpa ubat bius.
Dalam satu perlawanan bola sepak, waktu rehatnya diisi dengan sesi hukuman rejam ke atas pesalah zina. Setelah pesalah mati, perlawanan bola sepak diteruskan. Kadang-kadang dijalankan hukuman pancung ke atas pesalah kirimal kerana bunuh.
Sedangkan setiap hari ramai orang tidak berdosa terbunuh kerana perang. Anak-anak kehilangan ibubapa, begitu juga sebaliknya. Pendek kata tidak ada tempat selamat di Afghanistan ketika itu. Hingga ramai yang menjadi pelarian.
Novel pertama Khaled Hosseini telah terjual lebih 8 juta naskah dan diterjemahkan ke dalam 42 bahasa. Sayangnya Islam digambarkan begitu rupa, tidak ada yang indah dalam Islam.
2 komentar:
Asalamu'alaikum Haji,
tahniah atas kejayaan anak Haji. Saya ingin berkongsi kegembiraan. Saya faham perasaan seorang bapa melalui saat-saat itu kerana saya sudah mengalaminya.
Tanggungjawab kita sudah tertunai. Kini menjadi tanggungjawab anak mencorakkan masa depannya sendiri. Cuma doa saya semoga anak haji takkan lupa segala kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa selama ini.
Mohd. Shah,
Terima kasih atas ucapan tahniah itu. Memang benarlah sebagai bapa saya bersyukur kerana 5 anak lelaki saya telah berjaya menamatkan pengajiannya di universiti. Tinggal lagi anak bongsu saya (perempuan) kini masih di matrikulasi.
Alhamdulilah!
Posting Komentar