Senin, 27 April 2009

Membaca Bahasa Pelangi


Dua buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL 09 ialah buku karya Azman Ahmad atau nama penanya Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Dari kumpulan kumpulan cerpen beliau yang berjudul, ‘Di Dadanya Kalam Tuhan’, saya mula mengunyah cerpen beliau yang berjudul , “Bahasa Pelangi’ kerana tertarik dengan judulnya. Membaca pelangi adalah membaca kisah-kisah indah hidup seseorang insan. Begitulah kesan pertama saya setelah membaca buah tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi itu.
‘Di Dadanya Kalam Tuhan’ (DBP: 2009) menghidangkan 20 buah cerpen yang pernah terisar dalam pelbagai media. Kemudian saya terus membaca beberapa buah cerpen beliau yang lain seperti, ‘Syahadah Mc. Allister’, ‘Dan Kuntum Syawal pun Mewangi’,’Memintas Al-Qadar’, ‘Kerudung Kefiyyeh Baba’,’Dari Kerisek ke Baiturrahman’,’Tiga Drama dalam Tiga Gerabak Keretapi’,’Dua Lewat Taubat’, dan ‘Di dadanya Kalam Tuhan'. Sebagai Seorang Ustaz, sudah tentu Ibnu Ahmad al-Kurauwi banyak menyelitkan kisah-kisah pengajaran. Dari seorang pemuda Inggeris yang melafazkan syahadah kerana hendak ‘jadi Melayu’, seterusnya bagaimana seorang Walid yang menghadapi fitnah dan seorang suami yang kehilangan isteri tercinta banyak mengajar kita tentang erti kasih sayang, kesabaran dan juga penyesalan.
Bagi saya cerpen-cerpen beliau menarik kerana penggunaan ayat-ayatnya yang indah dan segar. Terutama selepas membaca ‘Bahasa Pelangi’. Lihat saja ayat-ayat ini:
Bukan tidak mahu berduka tetapi saya sudah berlara-lara diyatimkan Tuhan…,
Sempat saya bancuhkan sebuah senyuman manis bergaul pahit ke wajah ma..,
Tahulah ma masih memeram dendam, kerana itu tiada tangan yang melambai kami pergi, tiada terjunan air mata…’
Walang menumpang di kedut wajahnya,
Saya cuba membuka mangga bicara yang mengunci mulut abah,
Cukuplah kematian Wardah memenjara lidah saya, mengemam bibir dari berkata-kata, Saya kehilangan kata-kata kerana sebak bertali di uncang dada.

2 komentar:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi mengatakan...

Terima kasih Tuan Haji,
Sms Rendra memaku kaki saya untuk terus duduk membuka entri ini, walaupun jarum jam sudah lama berdentang menyeru segera pulang. Mohon izin meautkan entri ini ke blog saya nanti.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Assalamualaikum,
Saya sebenarnya masih perlu belajar lagi, terutama dari penulis-penulis seperti Ibnu Ahmad, W.B. Rendra, Nisah Haron, Mawar Shafie, Marsli N.O, Samsuddin Othman, Sahrunizam dan banyak lagi penulis yang mempunyai kekuatan tersendiri. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk memiliki buku-buku mereka. Selain mendapat imput ilmu saya dapat mempelajari teknik penulisan.