Senin, 06 April 2009

‘Selamat Johor’


Dato Onn pernah dipecat dan dibuang negeri oleh Sultan Ibrahim, pada awal tahun 1927. Beliau dikatakan telah melanggar kedudukannya sebagai seorang pegawai kerajaan dan rakyat Sultan Johor yang mengikut kebiasaannya patut menghormati dan patuh perintah Sultan Johor.
Dato Onn membawa keluarganya ke Singapura dan memulakan hidup baru dengan bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan penarik beca.
Dalam buku ‘Dato Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan’ tulisan Ramlah Adam (DBP,2005) ada menceritakan lebih lanjut tentang mengapa Dato Onn sanggup meninggalkan Johor dan menetap di Singapura. Bagi Dato Onn beliau merasakan pentadbiran Sultan tidak begitu menyenangkan. Kebebasan bersuara di Johor tidak ada, sedangkan Singapura sebuah kota antarabangsa dan tidak tertakluk kepada pentadbiran Johor, memberi kebebasan itu. (hal. 23)
Selama di Singapura Dato Onn membuat apa saja kerja untuk menampung hidup keluarganya. Kemiskinan yang dihadapinya, pergaulan dan penelitian terhadap masyarakat Melayu pada waktu itu mencuit kesedaran sosialnya. Beliau akhirnya memilih pekerjaan sebagai wartawan. Dato Onn memulakan tugasnya sebagai wartawan ‘Warta Malaya’ pada 1 Januari 1930.
Melalui akhbar inilah beliau banyak menulis tentang orang-orang Melayu yang masih tertinggal di bidang ekonomi dan juga sosial. Beliau tidak henti-henti menggunakan sikap masyarakat Melayu sebagai bahan tulisannya. Daripada soal kelemahan pelajaran hingalah soal pelacuran di kalangan orang Melayu.
Dato Onn juga dengan beraninya menyelar dasar British terhadap negeri-negeri Melayu. Dasal liberal British menggalakan kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu juga menjadi perhatian Dato Onn. Baginya kemasukan mereka secara langsung memberi kesan kepada orang Melayu dari segi politik dan ekonomi.
Di samping mengkritik sultan Dato Onn tidak lupa juga menerbitkan sebuah buku bergambar tentang Keluarga di Raja Johor yang berjudul, ‘Selamat johor”. Selepas sebulan Selamat Johor diterbitkan, Sultan Ibrahim menulis sepucuk surat kepada Dato Onn meminta Dato Onn mengadap baginda di Istana Pasir Pelangi. Bermula dari sinilah hubungan Dato Onn dengan istana kembali pulih. Atas sokongan Tengku Ismail, Dato Onn dilantik sebagai ahli tidak rasmi Majlis Mesyuarat Negeri Johor.

4 komentar:

zulaiha paikon mengatakan...

Selepas ini, bolehlah cikgu ceritakan pula sinopsis buku bergambar "Selamat Johor". Saya memang amat kurang mendalami kisah-kisah sejarah Johor. Ketika menyusuri Sungai Johor tahun 2008 lalu,untuk Bengkel Penulisan Sajak Integriti, barulah saya ketahui bahawa begitu banyak kesan sejarah yang perlu dipulihara. Kalau perlu tempat-tempat tersebut seperti Bukit Seluyud,Johor Lama,Panchor dan makam-makam keluarga diraja Kerajaan Johor dijadikan pusat pelancongan bersejarah seperti Kota A Farmosa. Banyak tinggalan sejarah sumber primer ada di sana. Jangan sampai tangan-tangan asing menyelongkar khazanah sejarah kita untuk kemaslahatan bangsa mereka. Ewah!

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Zulaiha,
Ayahanda berbangga kerana Zulaiha semakin menampakkan perkembangan yang positif dalam dunia penulisan.Terutama dalam bidang puisi. Sebagai guru, lebih-lebih lagi telah berkeluarga tentu sibuk dengan tugas, tetapi saya kira tentu Zulaiha dapat membahagikan masa supaya bidang penulisan ini tidak diketepikan.

Zulaiha Paikon mengatakan...

Terima kasih atas kata-kata semangat yang diberi. Memang benar kata ayahanda, dengan 6 orang anak yang masih kecil, perlukan perhatian dan banyak kerenah, memang sukar untuk saya menulis.Kekadang tertulis juga setelah didesak oleh rakan-rakan penulis yang aktif. Maklumlah, kesedaran menulis datang lewat usia 40-an. Saya doakan ayahanda akan terus aktif menulis sehingga menerima anugerah Sasterawan Negara. Ewah.... kalaulah penulis-penulis tanah air kita diangkat sama seperti barisan pelakon dan penyanyi, saya pasti ayahanda dan rakan-rakan seangkatan sudah meraih gelaran itu. Yelah... Anugerah Penulis Popular, Anugerah Bintang Penulis dsb macam Anugerah Bintang Popular kan! Walau apapun kilahnya, saya tahu niat luhur penulis-penulis seperti ayahanda semata-mata kerana Allah, bertanggungjawab menyedarkan anak bangsa melalui mesej dalam karya. Mudah-mudahan ayahanda seisi keluarga diberikan kesejahteraan dan kesihatan sepanjang masa. Amin...

Wan Janggut mengatakan...

wahai saudara kita.. sesungguhnya dengan izin Allah dapatlah kita salinan buku yang saudara zahirkan di sini. Sebenar-benarnya buku ini memberikan kenangan yang tiada kita lupakan. Meskipun paduka ninda telah tiada namun dengan adanya buku ini sekurang-kurang mengubat rindu ke atas almarhum paduka itu. Adapun buku ini sebagai kenang-kenangan buat orang melayu jua. Bukanlah kita ini bangsa yang bengap dan bodoh namun dengan pendidikan dan semangat juang jua dapat mengharungi pelbagai rintangan yang mendatang. Demi Allah masanya akan tiba jua untuk menegakkan yang mana sepatutnya tertegak. Mohonlah sekira-kira moleklah hasilnya... sekian dari kita jua... bermohon ampun sekira-kira kita berbuat khilaf jua.