Selasa, 12 Mei 2009
Bila Ayahku Menulis….
Ayahku meninggal pada tahun 1988. Dia sempat meninggalkan tulisan yang sangat bererti dalam hidup kami adik beradik (seramai 8 orang). Tulisan bertaip sepanjang lapan halaman itu menceritakan kisah hidup ayah yang siap ditulis pada 24 Mac 1971. Ketika itu saya baru sahaja mengajar di Johor. Ketika balik kampung baru-baru ini kakak saya menyerahkan tulisan yang sudah pudar itu kepada saya. Di sini saya petik sebahagian daripada tulisan itu:
‘Menurut apa yang telah diceritakan bahawa mereka (datuk dan nenekku) sampai di Bagan Tiang, Perak. Buah-buah padi sedang masak menguning dengan baiknya, yang demikian tidaklah susah bagi mereka untuk mencari kerja-kerja lain, hanya mereka pergi ke sawah-sawah orang untuk mengambil upah menuai padi. Setelah habis menuai, mereka meminta pula menuai anak-anak padi lutut yang telah berbuah semula. Anak padi lutut ini sangat menjadi sehingga mereka dapat menghimpun pendapatan berjumlah lebih 500 gantang. Dengan itu dapatlah mereka menyambung hidup mereka yang baru datang ke Tanah Melayu ini.
Setelah mereka berusaha pula membuka tanah bendang sendiri dengan menyewa tanah dari orang lain yang ada menyewakan tanah. Di samping itu mereka juga berusaha membuka tanah baru dengan menebang hutan. Mereka menanam pokok-pokok getah di kawasan Sungai Malau, Selama Perak. … Akhirnya mereka dapat memiliki tanah seluas 4 relong tanah bendang di Bagan Tiang, dan 3 lot (lebih kurang 15 ekar) tanah kebun getah yang boleh ditoreh. Mereka pun tinggal menetap di Sungai Malau, Tebing Tinggi Selama Perak.’.Dalam tulisan seterusnya ayah saya menyatakan bahawa datukku (ayahnya) telah berhutang dengan Chetti dengan tujuan untuk membuka lagi tanah kebun. Dia mencagar grant tanah. Selepas perang keadaan ekonomi merosot dan tanaman tidak menjadi, akhirnya tanah-tanahnya telah terlepas ke tangan Chetti.
Datuk saya terpaksa bekerja semula untuk mencari wang bagi memulakan hidup baru.
Tulisnya lagi:
‘Pada tahun 1929 dengan nasihat abang ipar saya , mereka sekeluarga telah berpindah ke Alor Setanggok, Gunung Semanggol. Mereka menyewa tanah bendang di situ. Pada tahun 1930 bapa saya (iaitu datuk) telah dapat memohon tanah baru yang masih hutan sebanyak 2 lot yang luasnya lebih kurang 13 ekar, iaitu di antara Parit 3 Alor Setanggok dan Parit 4 Alor Setanggok. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh bersama abang-abang saya termasuk saya membersihkan tanah-tanah itu. Saya masih ingat lagi pada suatu hari sebelum emak saya bekerja menebas hutan, saya telah dibawa oleh emak saya masuk ke dalam hutan pergi mengangkat bubu-bubu yang telah ditahannya pada hari kelmarinnya, kalau-kalau kena ikan untuk lauk makan pada hari itu.
Setelah bekerja dengan bertungkus lumus hingga sampai pada tahun 1934 maka dengan adanya mendapat perolehan padi yang banyak, lebih kurang 4,000 gantang dapatlah bapa membayar perimium dan mengambil grant tanah itu dan tanah itu barulah betul-betul menjadi hak milik mereka.’Seterusnya dalam tulisan itu juga terdapat cerita tentang kegigihan datukku bukan sahaja dalam bekerja malah belajar hal-hal agama. Datukku sudah belajar hal-hal agama semasa kecil dan khatam Al-Quran semasa berumur 6tahun. Beliau terus belajar seperti Ilmu Ketuhanan (Tauhid), Syariat dan rukun-rukun sembahyang, hadith dan lain-lain lagi. Ayahku juga meskipun cuma mendapat pendidikan setakat darjah 5, tetapi mewarisi ilmu agama daripada datukku.
Daripada cerita ayahku ini, dapatlah gambaran bahawa orang Melayu sebenarnya memang rajin. Baik dalam bekerja dan juga dalam menuntut ilmu.
Siapa kata Melayu malas?.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
4 komentar:
Salam Haji,
memang sah sdr mewarisi bakat menulis daripada Allahyarham ayah sdr.
Dia meninggalkan hanya beberapa muka surat untuk anak-anaknya tetapi kita lebih bernasib baik pada zaman berteknologi ini kerana mampu meninggalkan blog untuk tatapan anak-anak dan juga dunia.
Itulah berkatnya rezeki yang dicari, dimasak oleh tangan mithali dn akhirnya tumpahnya kuah ke nasi
Mohd. Shah,
Saudara juga berbakat dalam seni dan juga penulisan. Elok diteruskan.
Ibnu Ahmad al-kurauwi,
Saya ni bukanlah sesiapa dalam penulisan. Hanya guru yang sudah bersara.
Salam TUAN HAJI.
Kagum dan tersentuh membaca coretan ayahanda Tuan Haji. Saya mengaguminya bukan sekadar coretannya, tetapi semangatnya. Mudah-mudahan ayahanda Tuan Haji akan sentiasa di bawah rahmat Allah. Saya tertarik dengan ungkapan "siapa kata Melayu malas?". Ya, memang benar. Melayu tidak malas, tidak berat tulang....namun, kalau kita perhatikan di sekeliling kita pada hari ini, tidaklah sama dengan jasad dan roh yang mengalir dalam jiwa Melayu dahulu. Mungkin benar, Melayu tidak malas, tetapi sayangnya, yang rajin agak sukar ditemui...
Posting Komentar