Minggu, 31 Mei 2009

Yang Datang dan Yang Pergi

Yang datang atas nama kelahiran
disambut rasa syukur
punya nama, punya ibu dan punya bapa
juga punya saudara-mara terdekat
dan teman-teman saling memberi hadiah dan tahniah.

Yang pergi adalah kedukaan
meninggalkan nama, saudara-mara, isteri dan anak-anak,
sahabat terdekat
lalu yang datang adalah simpati.

Begitulah yang pergi adalah daun-daun hari
yang datang adalah kuntum-kuntum revolusi
kalah dan menang juga silih berganti
meski perang berkali-kali
kelahiran masih mengisi daftar kehidupan ini

Sesungguhnya rumah hidup
sering dikunjungi tetamu
yang datang membangun dunia mimpi
yang pergi meninggalkan dunia realiti


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
(Mingguan Malaysia 31 Mei 2009)

4 komentar:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi mengatakan...

Tuanh Haji,
Tahniah, cerpen trsiar di MM semalam. Terus tekal menulis.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Tahniah! Idea dan bingkisan daripada insan penuh pengalaman dan pemikiran seperti Tuan Haji akan mematangkan pemikir yang baru hendak bertapak seperti kami. Teruskan melontarkan buah fikiran yang bernas, persis dan tersirat untuk tatapan kami.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan,
Yang pergi harapan,
Yang datang cabaran,
Yang pergi pengalaman,
Yang datang ketabahan.

Yang pergi tinggalkan PPSMI,
menjaga keselamatan dalam negara katanya?,
Yang datang apakah menjernihkan PPSMI?
Rakyat ramai datang mengharap... tidak memandang lagi yang telah pergi penuh alasan itu!

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ustaz,
Terima kasih kerana sentiasa memberikan semangat untuk terus menulis.

Azhar Salleh,
Seronok dapat bertukar-tukar idea dengan tuan yang sentiasa berfikiran positif.

Rusdi,
Benar, pemimpin datang dan pergi. Kita harap ada perubahan.