Kata-kata ini saya petik dari cerpen Mawar Shafie yang berjudul, ‘Cinta Masitah’. Kebelakangan ini kita dapati jumlah penceraian di kalangan orang Melayu makin bertambah. Laporan sebuah akhbar baru-baru ini di Johor sahaja sudah mencapai ribuan orang. Yang Berhormat Dr. Robia Kosai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri menyatakan kes penceraian pasangan Islam didapati meningkat sebanyak 398 kes berbanding 1,931 kes pada tahun 2007.
Ini menunjukkan tidak ada lagi ‘kebahagiaan’ dalam kehidupan rumah tangga.
Bila adik saya dari kampung datang dan bercerita tentang orang terdekat yang sudah bercerai, ada yang mengalami keretakan rumah tangga kerana ada orang ketiga, saya menjadi tertanya-tanya,’ Kebahagiaan yang bagaimanakah yang hendak dicari oleh orang sekarang?’ Sudah ada pendapatan tetap, sudah ada anak-anak tiba-tiba dengar khabar sudah berpisah. Puncanya tidak ada persefahaman, tidak bahagia dan ada orang ketiga.
Bagaimana dengan kursus perkahwinan sebelum berkahwin? Adakah tidak berkesan? Mungkin perlu pula difikirkan kursus bagi pasangan yang sudah berkahwin.
Rasanya pasangan yang berkahwin sekarang ini sudah tidak ada mawaddah dan rahmah lagi dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Meskipun banyak program telah diadakan seperti ‘Program Keluarga Sakinah’, perkhidmatan kaunseling tetapi masalah rumah tangga nampaknya sudah semakin meruncing, terutama bagi kehidupan orang Melayu sendiri yang sudah tentunya beragama Islam.
Mungkin benar seperti petikan dalam cerpen Mawar, bahawa kita harus berhenti menyebut kepentingan kita sendiri kerana ’Kebahagiaan adalah apabila kepentingan tidak lagi menjadi sebutan.’
4 komentar:
salam tn.hj yang dihormati. sepintas kata2 ini berlalu di fikiran, ketika mengikuti bengkel penulisan baru2 ini; "bahagia dalam perkahwinan dibina oleh dua insan. kalau saya kata saya bahagia, dia mungkin tidak. apakah perkahwinan itu bahagia." kata tokoh dalam bengkel itu.
Salam, Tuan.
Pada pendapat saya, kepentingan diri harus disebutkan di hadapan pasangan supaya dia tahu apa yang kita mahu dan kita juga tahu apa yang dia mahu. Saling memahami kepentingan masing-masing dan dari situlah tolak-ansur boleh diuruskan.
Sebagai contoh, seorang isteri yang gemar menulis hingga lewat malam mendapati bahawa si suami tidak senang dengan keasyikannya menulis hingga merebut masa mereka berbual dengan mesra. Kepentingan ini mesti disuarakan supaya si isteri tadi tahu dan faham apa yang suami inginkan.
Jika kepentingan diri seperti ini dipendam dalam hati, ia boleh menjadi barah kerana apa yang kita mahukan tidak diketahui oleh pasangan. Barah inilah akhirnya akan meretakkan hubungan. Dalam membina dan menjaga hubungan, seharusnya pasangan memegang prinsip 'tiada rahsia antara kita'. Jujur, ikhlas dan telus menyuarakan isi hati. Barulah kita akan dapat saling memahami.
Sekadar pandangan. Maaf jika khilaf.
Tn. Hj.,
'Kebahagian' yang disebut oleh Pemimpin Pagoh semalam menyebabkan ramai juga yang 'tidak bahagia' sama ada pejuang penentang dan pejuang pengasasnya (masing-masing ada alasan tersendiri) sehingga Pemimpin Batu Pahat berpeluh untuk menjelaskan 'khabar bahagia' itu bagi pihak Pemimpin Pagoh. Pemimpin Air Hitam senyap sahaja 'dalam bahagia'?
(Hehe... maaf Tn. Hj. keluar topik komen ini...)
Wahyu,
Memang persepsi bahagia itu mengikut orangnya.
Marni,
Memang saling memahami itu pokok kepada 'kebahagiaan' sebuah rumah tangga.
Menyentuh tentang isteri yang minat menulis, saya ada seorang kawan yang amat memahami minat isterinya itu sehingga dia sanggup melakukan tugas dapur seperti memasak. Anak mereka kini sudah lima dan isterinya terus juga menulis. Alhamdulilah, ada suami yang faham begitu. Harap-harap akan berterusan.
Rusdi,
Inilah yang dikatakan derita dalam bahagia. Bukan bahagia dalam derita.
Posting Komentar