Wejangan yang mengelirukan terhadap agama, biasanya dikaitkan dengan ajaran sesat. Begitulah jika ada wejangan yang mengelirukan terhadap bahasa Melayu, bolehlah kita simpulkan sebagai ajaran salah yang perlu dibentras. Biasanya ajaran sesat berlaku bila seseorang tok guru itu tidak mempunyai asas dalam pegangannya. Misalnya belajar di tempat yang salah, tidak ada guru yang benar-benar boleh diperakui dan ada juga guru yang banyak belajar tetapi kerana ada kepentingan diri sanggup menyesatkan orang lain.
Hingga kini masih kedengaran lagi pendapat mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI. Sedangkan keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang dibuat oleh ahli akademik kita setelah 6 tahun PPSMI dilaksanakan di sekolah.
Saya dapati rata-rata yang tidak puas hati menyatakan bahawa:
1. Menghapuskan PPSMI akan merugikan anak-anak kita sendiri terutama anak orang Melayu.
2. PPSMI perlu diteruskan kerana memudahkan pelajar memahami istilah sains dan matematik yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.
3. PPSMI tidak mengancam penggunaan bahasa Melayu.
4. PPSMI akan membantu pelajar mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
5. Ada masalah bagi pelajar luar bandar, tetapi inshah-Allah lambat laun mereka akan dapat juga menguasainya.
6. Dengan beralih kepada bahasa Melayu anak-anak Melayu akan ketinggalan (atau dengan lain perkataan akan menjadi bodoh).
7. Pemansuhan PPSMI hanya kerana politik.
8. Pemansuhan PPSMI adalah langkah mundur ke belakang.
Inilah kesimpulan yang saya dapat rumuskan setelah membaca pendapat mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan baru-baru ini. Bagi saya mereka ini mempunyai tanggapan yang keliru terutama bila dihubungkan dengan pelajaran bahasa Inggeris. Semua penentang PPSMI sebenarnya tidak menentang bahasa Inggeris. Telah dinyatakan berkali-kali, ‘Wahai orang-orang Melayu yang nak nak maju, belajarlah apa bahasa sekalipun. Belajarlah bahasa Inggeris, belajarlah bahasa Arab, belajarlah bahasa Rusia, bahasa Jepun bahasa Mandarin. Tingkatkanlah ilmu pengetahuan anda dengan banyak membaca. Lepas itu sebarkanlah ilmu itu kepada anak generasi kita yang akan datang. Caranya ialah dengan banyak menulis dalam bahasa Melayu. Suatu hari kelak kita akan dapati bahasa Melayu kita akan berdiri sama taraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Biarlah ramai orang-orang asing datang ke negara kita ingin belajar bahasa Melayu kerana mereka inginkan ilmu yang terdapat dalam bahasa Melayu.’ Itulah wejangan yang perlu kita fahami benar-benar. Biar orang Melayu sedar bahawa ‘Bahasa Melayu Boleh!’.
4 komentar:
Salam TUAN HAJI,
Mereka bukan keliru, tetapi sejak awal lagi telah "dikelirukan" oleh sang penguasa! Sejak berpuluh-puluh tahun BM digunakan dalam Sains dan Matematik, mengapakah sekarang terasa "bodohnya Melayu kalau belajar sains guna BM!". Mereka bukan anti-BM, tetapi lebih kepada sikap untuk menunjuk-nunjuk dan perasan, kononnya mereka berfikiran jauh ke hadapan. Golongan ini, majoritinya, saya yakin bukannya berjaya sangat pun...!
Salam, Tuan MK.
Catatan tuan ini sangat menarik. Izinkan saya menyalinnya semula di blog saya, atau sekurang-kurangnya meletakkan pautan ke catatan tuan ini. Saya mahu penyokong PPSMI yang membaca blog saya (jika ada) tidak ketinggalan membacanya. Terima kasih.
Azhar,
Memang kita sudah mengenali siapakah golongan ini. Mereka ini sudah merdeka dari segi jasmani tetapi mental mereka masih masih terjajah.
Marniyati,
Terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh Marni. Sebenarnya catatan saya tidaklah seperti tulisan Marni yang lebih baik dan disokong dengan fakta yang menarik. Kalau rasanya tulisan saya ini membantu apa salahnya.
Salam Tuan Haji,
Kalau ada dikalangan kita mendengar rancangan bicara 8.45pagi di Radio Klasik Nasinol, salah seorang Pensyarah UM sungguh gembira apabila kerajaan menghapuskan PPSMI. Ini adalah kerana sebelum PPSMI diujudkan, semua tenaga pensyarah UM diarahkan supaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di semua Pengajian Tinggi masa itu. Beliau bersama rakan-rakan sepejuangan masa itu tekun dan bercita-cita dengan penoh semangat untuk memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Tetapi beliau semua rasa hampa apabila kerajaan mengwajibkan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik ( PPSMI ). Hari ini beliau semua rasa lega dan senang melihatkan kedaulatan bahasa Ibunda dikembalikan ketahaf yang sewajarnya. Bahasa lain katanya jangan ditinggalkan. Adakan mereka ini adalah golongan yang langkahnya mundur ke belakang?
Posting Komentar