Selasa, 08 September 2009

Dus! Dus! Ta! Ta!

Ayah saya suka bercerita. Kami suka kalau dia ada di rumah. Banyak cerita dongeng, cerita-cerita nabi, cerita jenaka, cerita-cerita binatang saya ketahui lebih dahulu melalui cerita ayah. Ada sebuah cerita yang saya masih ingat sehingga kini, kerana ceritanya agak lain. Kata ayah, cerita ini adalah cerita rekaannya sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di kampung, kalau ada majlis kenduri kahwin, orang-orang kampung akan bergotong royong (istilah orang Johor- rewang). Rewang pada waktu malam kadang-kadang berlanjutan hingga larut malam. Untuk menceriakan suasana beberapa orang kampung yang pandai bercerita akan bertanding sesama mereka untuk mempersembahkan cerita lucu mereka. Meskipun tiada hadiah yang diberikan, tetapi ketawa orang yang mendengar cerita itu sudah merupakan satu kepuasan kepada mereka.
Cerita ayah saya itu tentang pertandingan memancing yang diadakan disebuah kampung, berikut kematian Tok Ketua. Ada 4 tokoh yang dirasakan sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan Tok Ketua kampung itu. Bagi Penghulu pula agak sukar untuk memilih salah seorang daripada mereka. Jadi Pengulu mencadangkan agar mereka bertanding memancing di sebuah tasik di kampung itu, iaitu Tasik Merah (agaknya Tasik Bukit Merah, kerana kampung saya berhampiran tasik itu). Syaratnya mereka tidak boleh menggunakan umpan biasa seperti cacing, belalang, katak yang biasa digunakan oleh para pemancing. Kata Tok Penghulu, ikan-ikan di Tasik Merah sudah pandai, mereka tidak lagi mahu umpan pancing yang biasa. Memang benarlah sejak kebelakangan ini nelayan-nelayan tasik itu sering pulang kehampaan kerana ikan-ikan sudah tidak makan umpan pancing mereka. Mereka lebih suka menggunakan jaring.
Tokoh calon pertama bernama Badang (Bukan Badang yang makan muntah hantu). Dia menyatakan akan memancing menggunakan umpan duit siling yang diikat berhampiran mata kail. Calon kedua pula bernama Bakar. Dia menggunakan umpan siling emas, kerana baginya ikan-ikan itu lebih tertarik kepada emas. Ikan sekarang sudah cerdik mereka juga memandang kepada kebendaan. Calon ketiga pula Buntat. Katanya dia cuma menggunakan batu biasa yang mempunyai kilauan bagai berlian. Biar ikan-ikan itu tertipu dengan kilauan itu. Dan akhir sekali Badar, seorang calon yang menyatakan bahawa dia akan menggunakan umpan seekor monyet. Belum sempat dia menyatakan sebab-sebab kenapa dia memilih monyet, dia telah diketawakan terlebih dahulu. Sebenarnya dia pernah bersampan di tasik Merah dan kebetulan dapat melihat sendiri bagaimana pada suatu hari seekor monyet yang sedang bergayut di dahan yang melentur berhampiran permukaan tasik, tiba-tiba disambar oleh seekor ikan.
Pada hari yang ditetapkan mereka berempat pun turunlah ke tepi tasik untuk memancing. Memang benarlah seperti telahan Tok Penghulu, ikan-ikan tasik sekarang sudah pandai memilih umpan. Badang dan Bakar berjaya memperoleh banyak ikan. Buntat juga yang hanya menggunakan kilauan batu untuk menggelabui ikan-ikan itu ternyata berjaya memancing banyak ikan. Tinggal Badar sahaja yang masih belum berjaya. Sudahlah untuk menangkap monyet satu hal. Monyet yang ditambat berhampiran mata kail itu puas berenang kesana- kemari dan hampir-hampir lemas dan letih. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan ada seekor ikan pun mahu menangkap umpannya itu. Hinggalah mencecah waktu petang, Badar hampir-hampir kecewa. Ketiga-tiga calon Tok Ketua itu sudah pun pulang untuk mengira jumlah tangkapan mereka hari itu.
Ketika Badar hampir berputus asa, ketika itulah baru pancingnya mengena. Monyet di permukaan air yang sudah penat itu tiba-tiba dibaham dan dibawa ke dasar tasik. Badar cuba menarik pancingnya, tetapi ikan yang menelan umpan itu cukup kuat menarik pancing dan dirinya sendiri hampir-hampir terbawa masuk ke dalam tasik. Sebelah tangannya cuba berpaut ke sebatang pokok berhampiran. Pokok itu tumbang. Dia mencapai lagi sebatang pokok, juga tumbang. Beberapa batang pokok ikut tumbang bila dia cuba berpaut. Wah, besar sungguh ikan itu, fakir Badar. Dia hampir-hampir putus asa dan ingin melepaskan sahaja pancingnya. Tiba-tiba dia memaut sahaja rumput di tepi tasik itu. Menghairankan. Dia berjaya menarik pancingnya. Menakjubkan. Pada umpan pancangnya itu penuh dengan ribuan ikan seluang (Ikan kecil sebesar jari kelingking kanak-kanak).
Esoknya sewaktu Tok Penghulu mengumumkan calon Tok Ketua, berdasarkan kemenangan pertandingan memancing itu. Didapati Buntat yang menggunakan kilauan batu sahaja itu berjaya mengatasi Badang dan Bakar. Ketika itu orang menyangka sudah tentu Badar tidak berjaya. Tiba-tiba Badar muncul dengan tujuh tempayan. Bila Tok Penghulu bertanya. Badar menyatakan itulah hasil tangkapannya semalam. Ribuan ikan seluang yang terpaksa dibuat pekasam. Dapat tujuh tempayan. Semua orang ternganga mendengarnya.
‘Ada satu lagi Tok!’ kata Badar
‘Apa dia?’ Tok Penghulu bertambah hairan.
‘Ini, kalau Tok Penghulu tak percaya, saya gunakan kulit ikan seluang itu untuk buat gendang. Ini ha gendangnya. Biar saya pukul untuk kita dengar bunyinya. Memang sedap bunyinya.’ Kata Badar lagi.
‘Pukullah biar kita semua dengar!’ kata Tok Penghulu.
Badar pun memukul gendang daripada kulit ikan seluang itu. Bunyinya begini..’Dus, dus, ta, ta. Dus, dus, ta, ta. Dusta! Dusta!’

5 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Mungkinkah Si Badar ada di pentas sahsiah kita? Ya, mungkin. "Si Badar" dalam jelmaan baru telah sekian lama memalu gendang yang bunyinya sama seperti gendang itu. Pergi ke stesen minyak, gendang berbunyi. Pergi ke Kelantan, ke Pulau Pinang, ke Selangor, bunyinya lagilah kuat...dus! dus! ta! ta!...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Watak 'Baba Buba' ini memang banyak sekarang.
Watak 'Badang' yang hanya percaya keapda muntah hantu. Watak 'Bakar' suka membakar-bakar atau mengapi-apikan (Bukan Watak Abu Bakar sahabat nabi). Watak 'Buntat' -seperti buntat hednak jadi gemala (tak tahu diuntung) dan watak 'Badar'watak ikan kecil yang melonjak-lonjak, melonjak gerundang-meniru-niru orang yang besar.

Sham al-Johori mengatakan...

Tahniah, Si Badar tu samalah macam umno hari ini. Bukan setakad berdusta tapi menzalimi.
Masya-Allah.

dariana mengatakan...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
سلام عيدالفطري المبارك هجرة 1430
من العائدين والفائزين
معاف ظاهير دان باطين
جمفوت كرومه ساي هاري راي ننتي
سودارامو حج عبدالهادى بن محمد سكلوارك دكوت بهارو كلنتن دارالنعيم

dus2ta2...salah satu sifat kemunafikan ialah berdusta bila bercakap. yg lainnya ialah khianat, mungkir janji dan suka bergaduh lama.
bagus kisah teladan tu...zaman dedulu takdak tv dan buku2 maka org2 tua pun berkisahlah...tapi kisah punya teladan bukan ultraman wonderpet atau kartun popeye.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sham al-Johari,
Ayah saya orang kuat UMNO. pernah jadi Setiausaha Bahagian dan pernah ditawarkan jadi calon. Dia sanggup undurkan diri untuk bagi peluang kepada tokoh yang lebih berpendidikan. Waktu tu DR.Mahadir dan Musa banyak memberi peluang kepada tokoh-tokoh yang berpelajaran untuk jadi calon. Terutama yang ada ijazah.
Saat akhir dalam hidupnya, dia sendiri sudah dapat merasakan bahawa UMNO pada waktu itu sudah mula berubah. Ayah saya sudah pun menjangkakannya. Kalau dulu saya tak berapa faham ceritanya dan menganggap hanya sebagai cerita lucu sahaja. Kni barulah saya terfikir.

Abdul Hadi Muhammad,
Terima kasih atas undangan sempena sambutan hari raya kali ini.

Memang benar dahulu tidak ada tv. Jadi kami adik beradik akan tertunggu-tunggu bila lagi ayah akan bercerita.