Dalam waktu terdekat ini kita umat Islam akan menyambut hari raya aidilfitri. Sudah tentulah jalan raya akan dipenuhi kenderaan kerana masing-masing akan balik kampung. Sudah tentu juga tidak lama selepas itu akan ada satu lagi pilihan raya, iaitu di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Dalam Kamus Dewan ‘Raya’ membawa maksud besar (walaupun terbatas penggunaannya), tetapi bila dikaitkan dengan hari menjadi ‘Hari Raya’ dengan jalan, menjadi ‘Jalan raya’ dan dengan pilihan, menjadi ‘pilihan raya’ – sudah tentu kita dapat mengagak bahawa ketiga-tiganya mempunyai makna yang besar bagi kita di Malaysia. Sebab itulah, hari raya dirayakan sampai 30 hari. Pada hari raya pertama dan kedua, nampaknya khas untuk menziarah keluarga dan sanak saudara yang terdekat sahaja. Hari-hari lain hinggalah akhir syawal bersedialah pula untuk berkunjung dan menerima kunjungan rakan taulan dan sahabat handai. Kanak-kanak lebih teristimewa. Mereka akan pergi ziarah ke rumah siapa sahaja, meskipun mereka tidak kenal. Ketika inilah selama sebualan mereka akan mencari duit raya. Sampai ada rumah yang menutup pintunya kepada anak-anak ini kerana tak sanggup melayan mereka. Pantang ada di rumah, tak lama lagi kedengaranlah mereka memberi salam secara serentak. ‘Assalamualaikum! Kami datang nak raya!’
Bagi saya pula kehadiran anak-anak ini memang saya tunggu-tunggu. Saya akan bertanya dan berbual dengan mereka. Rupanya kebanyakan yang datang zirah raya adalah anak-anak dari kampung lain. Mereka sanggup datang dengan bas. Saya sendiri tidak kenal siapa ibubapa mereka. Saya tetap melayan mereka. Ada ketikanya mereka cuma berdiri di depan pintu dan menyatakan tidak mahu masuk. Saya faham maksud mereka. Saya tetap menyuruh mereka masuk. Sekurang-kurangnya dapat membasahkan tekak. Waktu inilah saya akan mengambil kesempatan berbual dan berkenalan dengan mereka. Tanya ibubapa mereka dan tinggal di mana. Sempat bertanyakan tentang kemajuan pelajaran mereka. Bagaimana belajar? Biasanya dapat nombor berapa? Saya ambil kesempatan menasihati mereka agar belajar lebih rajin. Berikan contoh-contoh orang yang berjaya, seperti Dr. Mudzafar dan Dr. Faiz yang berjaya ke angkasa lepas. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang berjaya mendapat 18A dan 21A dalam peperiksaan. Saya dapati ada juga kanak-kanak yang kurang dapat berkomunikasi dengan baik. Saya ajar mereka bagaimana caranya untuk menghormati orang tua. Menghormati tuan rumah dan sentiasa mengucapkan terima kasih dan bila masanya mengucapkan selamat hari raya.
Sebagai guru, saya berasa tugas saya bukan sahaja di bilik darjah. Ini masa yang terbaik bagi saya menanamkan sifat-sifat terbaik ketika berkunjung ke rumah orang. Kalau beri salam selepas tiga kali, tuan rumah tidak buka pintu elok terus sahaja beredar. Tidak baik beri salam sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Semacam memaksa pula. Kita harus faham, kadang-kadang tuan rumah yang kita kunjungi itu baru balik dari perjalanan jauh, tentu penat. Bila berada di rumah orang perlu jaga tatatertib. Jangan terus duduk. Bersalaman dulu dengan tuan rumah dan ucapkan selamat hari raya. Hal ini saya lakukan kerana saya dapati ada anak-anak yang datang terus saja mencapai hidangan di depan mereka. Ada yang datang di depan pintu dan menyatakan mereka cuma mahukan duit raya. Apa lagi saya pun berhujah panjang dengan mereka. Saya suruh juga mereka masuk dan menerangkan dengan baik supaya menjaga tatatertib ketika menziarah. Tidaklah dengan nada marah kerana mereka ini tidak tahu, jadi kitalah yang sepatutnya memberi tahu kepada mereka dengan baik dan berhemah.
Entah kenapa saya pula jenis suka melayan kanak-kanak. Jadi melayan mereka tidaklah menjadi beban.
6 komentar:
Tuan Haji yang dihormati. Salam Syawal 1430H. Suka saya membaca(mendengar) cerita Tuan Haji ini. & beruntung sekali kanak2 yang beraya di rumah Tuan Haji; kuih dapat, duit dapat & pesanan/nasihat juga dapat. Selamat Hari Raya untuk Tuan Haji Sekeluarga, Memohon Maaf Zahir & Batin.
Selamat hari raya Cikgu... Salam kemaafan dan penuh kasih sayang sesama kita. Ketulusan adalah intan dalam sebuah persahabatan.. dan ia ada pada diri Tuan Haji. Terima kasih dan syukur atas jalinan ini. Salam Aidil Fitri drp saya.
Tuan Haji yang dihormati, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin. Panjang umur kita pasti bertemu lagi. InsyaAllah.
salam eidulfitri. moga ramadhan memberi kesan besar buat kita.positif.
merujuk surat kpd editor DS sept 2009 kata sdr horison indonesi telah berkubur?
tapi kami tahu bahawa horison Okt 2009 akan memberi ruang istimewa buat sang merak itu, kan? mari kita dapatkan horison itu buat tatapan... salam lagi dari saya dan ada bersama kini leo aws...
Wahyu,
Di Felda Tebrau tentu ramai kanak-kanak yang datang berkunjung. Raikanlah mereka. Merekalah yang dapat memeriahkan hari raya ini.
Ustaz Ahmad Nawawi,
Salam adilfitri diucapkan kepada ustaz sekeluarga. Khabarnya balik Kedah. Berhat-hatilah semasa memandu.
Abdul Latip,
Salam adilfitri dan diharap Pak Latip terus berjaya dalam bidang kreatif.
Abdul Hadi,
Salam adilfitri dan maaf zahir batin.
Saya dulu berlanggan horison, hinggalah diberitahu bahawa majalah tersebut sudah tidak diterbitkan lagi. Saya juga pernah berkunjung ke Riau, puas mencari majalah horison, tetapi tidak ada dalam pasaran.
Kalau horison diterbitkan kembali, syukur alhamdulilah. Satu perkembangan positif bagi kelangsungan kesusasteraan di sana.
Posting Komentar