Selasa, 01 September 2009

Sesekali Bila Anak-anak Pulang Berkumpul

Cuti hujung minggu lepas semua anak ( 6 semuanya) dapat berkumpul di rumah di Taman Sri Wangsa, Batu Pahat. Lima (lelaki) semuanya sudah bekerja. Anak yang bongsu (perempuan) masih belajar di UTM, Skudai. Anak sulung Khairul Ariffin sudah berumah tangga balik bersama isteri (Suraidah ) dan anaknya (Fakhirah Syakila) yang sudah berumur 5 tahun. Mohd Saiful anak kedua belum berkahwin. Faiz (anak ketiga) dan isterinya Farah pertama kali pulang bawa cucu (anak pertama) yang baru berusia dua bulan. Jadi kami sudah ada dua cucu. Abdul Hadi baru bertugas sebagai guru di Muar . Afif anak kelima juga sudah bekerja di Taman Universiti, Skudai.
Bila berkumpul begini saya teringat sudah lama tidak mengadakan usrah keluarga seperti dulu, semasa anak-anak masih kecil dan masih bersekolah. Ketika itu sebulan sekali saya pasti mengadakan usrah atau mesyuarat keluarga bersama isteri dan anak-anak, selepas sahaja bersembahyang maghrib secara berjemaah. Bila berkumpul begini saya ambil peluang untuk satu usrah pendek selepas sembahyang trawih. Bukan usrah tentang kelebihan bulan puasa tapi lebih kepada harapan-harapan seorang bapa dan Ibu, terhadap masa depan mereka. Kita mestilah merancang hidup kita, merancang kewangan, masa dan juga rumah tangga kita. Siap berikan contoh-contoh rumah tangga saudara mara yang terdekat, baik yang gagal maupun yang berjaya. Kenapa? Apakah puncanya? Itulah yang kami harap kepada anak-anak. Biarlah kita bina rumah tangga dan kehidupan yang bahagia. Kebahagiaan itu di tangan kita. Kita yang menanam benihnya, kita yang menuainya dengan izin Allah juga.
Saya masih ingat ketika mereka masih kecil dan masih sekolah dulu, usrah keluarga lebih tertumpu kepada kehidupan masa depan mereka. Bagaimana harus mencipta kejayaan terutama di bidang pelajaran. Kini mereka semuanya sudah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti dan bekerja. Rupanya mereka harus mencari takah kebahagiaan seterusnya, iaitu kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat.

14 komentar:

Sham al-Johori mengatakan...

Insya-Allah, pesanan yang menyentuh dan bagus dalam sebuah keluarga. Akan saya contohi.

Unknown mengatakan...

Panduan seperti inilah amat perlu bagi keluarga muda sekarang.Insya-Allah , saya akan teruskan seperti mana ayahanda tercinta pernah lakukan semasa hidupnya. Kini tiada lagi.

azman man mengatakan...

Tahniah , kesenambungan kekeluargaan ini amat perlu untuk mengeratkan persaudaraan dengan penuh keikhlasan dan memahami kasih sayang yang kudus

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Lama juga tuan haji tidak menukilkan bingkisan dalam blog. Ingatkan sudah menetap di NUSAJAYA! Tuan haji yang amat-amat saya hormati, saya tersentuh dengan bicara kali ini. Ya, sesekali apabila seorang ayah berbicara tentang kehidupan, saya percaya banyak falsafah dan hikmahnya. Saya berharap agar pesanan dan harapan seorang ayah itu dapat dikongsi bersama-sama dan dicoretkan sebaris dua kata agar dapat dijadikan jambatan kehidupan.

Ahmad Nawawi Yaakob mengatakan...

syukur dengan rezeki anak dan cucu, penghibur setiap masa.. Doakan kesejahteraan kami juga ya tuan haji..

Citra Wangsa mengatakan...

Tuan Haji,
Tatkala membaca entri ini, teringat sgt dengan ayahanda saya. Sekian lama kami tidak berjumpa...tiba-tiba rindu pula dengan wajah, suara dan pelukannya...(alamak...sedihlah pulak!).

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sham,
Tuan juga punya anak yang ramai. Satu anugerah dan juga amanah. Sebagai bapa tentu tuan juga memahaminya. (Maaflah kerana ber'tuan-tuan'pula kepada Tuan Pensyarah kita -Sebenarnya terasa macam adik-beradik terutama selepas mendaki Ledang tempohari hehe)

Melihat Kesunyataan mengatakan...

ppdkotatinggi,
Terima kasih kerana sudi berkongsi. Tentu ayahanda sdr/i juga punya harapan yang tinggi terhadap anak-anak.
Yang merealisasikannya juga tentulah anak-anak.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

norazhat,
Terima kasih. Saya juga bukanlah yang terbaik apalagi terhebat. Saya juga banyak mengambil contoh-contoh keluarga yang berjaya.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Sebenarnya lama juga saya terkedu selepas puji-pujian tuan Sifu tempohari.
Jadi saya cubalah pula memenuhi entri kali ini dengan cerita keluarga. Khuatir juga kalau-kalau ada yang tersalah anggap. Sebenarnya cerita itu lebih saya tujukan kepada anak-anak. Mereka juga adalah pembaca tetap blog saya ini. Kalau ada yang ingin berkongsi apa salahnya. Saya juga banyak mengambil iktibar dari kisah rakan-rakan yang berjaya sebelum ini. Malah satu yang saya masih ingat, bila ada seorang kawan berkata, "kejayaan anak-anak dalam pelajaran belum menentukan kejayaan mereka dalam hidup. Kejayaan mereka dalam hidup bukan pula menentukan kejayaan mereka di akhirat nanti'. Itulah yang lebih menakutkan saya.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ustaz Ahmad Nawawi,
Alhamudlilah! Anak-anak pada saya adalah dugaan dan juga tanggungjawab.
Saya beranggapan ustaz lebih berkemampuan daripada saya dalam hal mendidik ini.
Bagaimanapun sama-samalah kita berdoa agar anak-anak kita sentiasa menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Zura,
Memang setiap orang tua akan berbangga dengan kejayaan anak-anaknya. Bukan itu saja, kepulangan mereka memang ditunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi bila tinggal berdua- Sunyi!

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Amalan dan nasihat yang baik pasti dibalas dengan pahala yang berlipat ganda serta dibalas dengan imbalan amalan yang baik juga.
Alhamdulillah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Harap-harap begitulah. Amin!