Senin, 25 Februari 2008

Di Negara Catsia

Dalam kerajaan kucing, di Negara Catsia terdapat menterinya yang kuat tidur. Menteri kucing ini memang kelihatan alim dan mengiaupun bersopan. Kesempatan ini diambil oleh menteri dan juak-juaknya yang lain. Mereka ini akan memastikan setiap ikan-ikan besar akan menjadi santapan mereka dahulu. Menteri kucing yang suka tidur ini tidak dapat menghidu penyelewangan ini. Sebagai contoh setiap projek kerajaan yang akan diluluskan oleh Menteri kucing mestilah melalui prosedur yang sangat ketat. Mesti melalui saringan di beberapa bahagian yang masing-masing dijaga oleh kucing-kucing tamak ikan panggang ini. Sekurang-kurangnya setiap permohonan projek mestilah menyediakan ikan-ikan panggang untuk setiap bahagian penyaringan. Lalu berlakulah apa yang dikatakan ‘rasuah’ yang tidak jelas kelihatan, tetapi berlaku.

‘Kita akan tentang rasuah ikan panggang habis-habisan!’ kata Menteri kucing berkali-kali.

Tangkapan pun dibuat untuk membuktikan kerajaan kucing memang anti rasuah ikan panggang . Selepas itu Menteri kucing itu kembali dengan sifat semula jadinya yang suka tidur. Rasuah kembali senyap-senyap menular bagai ular yang bakal membelit kucing-kucing yang alpa dan akan menjadi mangsa. Juak-juak dan menteri yang rasuah ini begitu cekap dalam menjalankan aktiviti mereka. Semuanya atas nama parti yang mereka anggotai, iaitu Parti Kebangsaan Kucing Catsia (PKKC). Setiap projek kerajaan mesti melalui ehsan parti, dan setiap projek mestilah ada dimasukkan belanja menyediakan ikan-ikan panggang untuk parti. Pandai-pandailah untuk memasukkan perbelajaan ini, mungkin dengan cara menaikkan kos pembelian mata pancing kos cukai tasik atau cukai laut, asalkan kelihatan munasabah, asalkan ikan panggang dihidangkan kepada mereka.

Tidak ada komentar: