Rabu, 27 Februari 2008

Keberanian Fikir

Keberanian fikir itu lebih sukar dari keberanian jasmani’
- SN Muhammad Haji Salleh

Bertindak atas hasil keberanian fakir kadang-kadang memerlukan kecekalan jitu. Risikonya besar. Sebab itulah kita sering terperangkap dengan sindrom takut. Ketakutan akan menyebabkan kita bertindak di luar pemikiran yang betul. Misalnya seseorang yang takutkan hantu, sanggup terjun ke dalam sungai yang dalam dan arusnya deras. Seseorang yang takut menyatakan kebenaran akan terus dikuasai oleh tangan-tangan kebatilan.

Takutkan perubahan adalah suatu sindrom yang telah lama menguasai orang-orang Melayu. Kalau setakat perubahan taraf, kalau dulu miskin sekarang sudah mewah atau kalau dulu kampung tidak ada kemudahan jalan raya sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada bekalan elektrik sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada jambatan sekarang sudah ada. Bukan bermakna kita sudah berubah. Ekonomi berubah kerana banyak sebab, salah satunya adalah kerana peranan ethnik lain yang mana kita sama-sama dapat menikmatinya kerana ada kuasa politik.

Lihatlah sikap orang Melayu, dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah. Sikap hasad dengki, fitnah memfitnah, jatuh-menjatuhkan, membunuh kebijaksanaan (seperti membunuh Hang Nadim) terus menguasai minda orang-orang Melayu. Semuanya kerana takut perubahan yang mungkin akan menyebabkan segala keselesaan yang dinikmati waktu ini akan hilang jika adanya perubahan. Takut dengan perubahan akan menyebabkan kita berhadapan dengan situasi yang lebih teruk lagi, meskipun sekarang kita sudah teruk.

Oleh itu kita perlukan ‘keberanian’ untuk apa yang dikatakan ‘hijrah minda’. Di sinilah letaknya ‘keberanian fikir’ itu.

Tidak ada komentar: