Minggu, 24 Februari 2008

Si Miskin dan Si Kaya

Dalam sebuah kampung terdapat dua orang yang benar-benar berbeza dari segi fizikal dan mentalnya. Bukan itu sahaja, jelas terdapat perbezaan dari segi status hidupnya juga. Seorang miskin, kurus dan hidup sekadar cukup untuk keperluan mereka sekeluarga. Anaknya ramai. Begitu juga jirannya seorang kaya, berbadan besar, gemuk dan juga punya anak ramai.

Bagaimanapun dari segi kepimpinan, si miskin itu tetap seorang pemimpin dalam keluarganya yang seramai empat belas orang itu. Begitu juga si kaya tetap juga seorang pemimpin bagi keluarganya yang seramai empat belas juga itu.

Si miskin dan si kaya sebenarnya adalah bersaudara, tetapi nasib dan takdir nampaknya menyebelahi si kaya sehingga si kaya mampu mempunyai beberapa buah rumah, beberapa buah kereta dan juga macam-macam kesenangan hidup. Sedangkan si miskin memang tidak mampu memiliki kemewahan seperti saudaranya. Yang ada cuma sebuah rumah sederhana dan sekeping tanah untuk mereka usahakan menampung hidup mereka selama ini.

Suatu ketika di kampung itu telah diadakan pemilihan untuk memilih Ketua Kampung yang baru sahaja meninggal. Didapati hanya dua tokoh itu sahaja yang dikira layak untuk menjadi Ketua Kampung. Si Miskin dan Si Kaya. Si Kaya cuba memujuk si miskin agar dapat membenarkan dia menyandang jawatan tersebut tanpa diadakan pemilihan. Pada mulanya si miskin memang tidak berhajat untuk menjadi Ketua Kampung, tetapi atas saranan dan desakan orang-orang kampung dia akhirnya bersetuju untuk bertanding. Apa lagi Si kaya pun sejak hari itu sudah mula memusihi si miskin anak beranak.

Semasa berkempen si kaya menyatakan kepada penduduk kampung, kalau kamu semua memilih dia, apakah yang boleh dilakukannya. Dia tidak akan dapat memberikan apa- apa kepada kamu, sedangkan untuk dirinya dan anak-anaknya sendiri dia tidak berupaya. Sebelum ini pun kalau tanpa belas ehsan kami, mereka akan kebuluran, inikan pula hendak menjadi ketua di kampung ini. Lainlah, saya. Saya mempunyai harta kekayaan yang akan dapat membangunkan kampung ini. Insyahallah masjid kampung ini akan saya besarkan, begitu juga sekolah, padang permainan dan kemudahan-kemudahan lain akan saya bina untuk kegunaan orang-orang kampung ini.

Mendengar janji-janji ini, termakan juga di hati penduduk kampung. Lalu mereka bertanya keapda si miskin. Apakah janji kamu wahai si miskin?

Jawab si miskin, saya tidak akan dapat berjanji seperti si kaya, tetapi percayalah, kalau saya menjadi pemimpin (yang dipercayai) , saya akan memimpin kamu, yakni kita akan bersama-sama membangunkan kampung ini. Maksud bersama-sama ialah, kita akan bersama-sama berusaha mencari dana untuk mendirikan masjid, atau membesarkan masjid, mendirikan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. Dengan cara ini tuan-tuan sebenarnya bersama-sama memajukan kampung, memajukan bangsa kita, bukan saya, saya hanya sebagai pemimpin. Itupun kalau tuan-tuan dan puan-puan percaya kepada saya.

Berdasarkan janji-janji ini siapakah yang akan saudara pilih untuk menjadi ketua kampung?

Tidak ada komentar: