Selasa, 10 Maret 2009

Gapura Sastera


Saya sempat singgah dan meninjau ‘Gapura Sastera’ bersama-sama W.B. Rendra. ‘Gapura Sastera’ merupakan rumah penulis Shaharom Husain yang terletak di Kempas, Johor Bahru. Sayangnya rumah yang bersejarah itu terlindung oleh sebuah Taman Perumahan. Kami terpaksa masuk melalui jalan belakang Taman Perumahan tersebut. Kami dapati rumah itu ada penghuninya berdasarkan sebuah kereta yang terletak di dalam kawasan rumah. Kebetulan pagar tidak berkunci, kami masuk dan memberi salam. Dari dalam rumah keluar seorang wanita, yang pada mulanya kami beranggapan tentulah anak buah Cikgu Shaharom. Kami pun memperkenalkan diri dan bertanyakan tentang rumah tersebut. Kami lihat halaman rumah tidak terjaga, meskipun sudah dibersihkan. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Wati. Katanya rumah itu telah disewakan kepada JIM (Jemaah Islam Malaysia) dan di sini ditempatkan Asrama Raudhatus Sakinah dan dia sebagai salah seorang Wardennya.

Kami minta kebenaran untuk melihat-lihat, terutama ada pondok-pondok pameran di sekitar rumah ‘Gapura Sastera’ itu. Wati membawakan kunci pondok. Katanya dia sendiri belum pernah memeriksa apakah isi pondok tersebut. Kami dapati pondok itu telah dikosongkan dan segala barang-barang kepunyaan Cikgu Shaharom telah dipindahkan, mungkin oleh anak Allahyarham sendiri.
Sebenarnya rumah Shaharom Husain ini dibina berasaskan seni bina Jepun dan juga Minang, lengkap dengan perpustakaan dan bilik pameran koleksi beliau. Menurut Shaharom Husain sendiri ‘Gapura Sastera’ sebagai sebuah taman sejarah yang diberi nama Sri Ksetra, mengambil sempena nama tersohor yang wujud pada zaman kerajaan Sriwijaya Palembang, Sumatera, seperti yang terdapat di Batu Bersurat Talang Tuo.
Rumah Tiga tingkat itu sendiri merupakan sebuah rumah yang penuh dengan bahan-bahan berharga koleksi Shaharom Husain selama hidup beliau. Setiap sudut beliau manfaatkan dengan pelbagai bahan yang amat berharga dari sudut sejarah, sastera dan budaya. Beliau menamakan sudut-sudut itu dengan nama ‘Balai Bingkisan’ misalnya bagi menyimpan bahan-bahan sejarah dan koleksi lawatan beliau ke 16 buah negara luar di seluruh dunia. Terdapat juga ‘Bilik Kasih Sayang’ yang menyimpan koleksi peribadi isteri tersayang Shaharom Husain yang berupa pakaian, kasut, beg tangan dan lain-lain. Di sudut lain pula terdapat Bilik Pameran Islam dan Antarabangsa yang mengumpulkan bahan-bahan yang berkaitan perkembangan Islam di Nusantara dan Antarabangsa.
Di keliling bangunan ‘Gapura Sastera’ terdapat beberapa buah pondok atau balai pameran yang menyimpan koleksi bahasa, sastera, budaya, politik dan gambar-gambar bersejarah. Beliau menamakan setiap pondok yang menyimpan bahan-bahan tersebut mengikut nama-nama seperti Pondok Yali Pak Pandir (mengambil sempena nama samaran Dato’ Onn, ketika beliau menjadi wartawan di Singapura), Pondok Bangla Hantu Raya – terdiri daripada koleksi Pak Sako. Pondok Astaka, kasetria dan Serikandi- yang menghimpunkan gambar-gambar karya penulis tanah air yang terkenal seperti Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Harun Aminurashid, Buyong Adil, Ahmad Murad Nasarudin, Mahmud Ahmad, Md. Yasin Makmor, Arifin Ishak, Mejar Dato’ Haji Mohd. Said Sulaiman, Pak Lomak, Ibu Zain dan banyak lagi.
Terdapat juga Pondok Keringat Munsyi yang menghimpunkan koleksi kenangan Shaharom Husain selama menjadi Munsyi dan Guru Bahasa dan Sastera Melayu. Manakala Pondok Johor Moden pula yang bercirikan rumah kesultanan Melaka, iaitu rumah Bendahara dan Temenggong Bugis, menghimpunkan gambar-gambar sejarah kesultanan Johor Moden sejak Maharaja Abu Bakar.
Terdapat juga Pondok yang diberi nama ‘Gubuk Masyhur Malaya’ – yang menyimpan artifak koleksi Shaharom Husain sendiri. Antaranya termasuklah seramik, tempayan, tapisan air (Dinasti Ming dan Dinasti Ching), bahan-bahan warisan Melaka, Johor-Riau, Lingga dan Telok Belanga Johor.
Di kiri-kanan Gapura Sastera terdapat dua buah kolam besar yang dinamakan ‘Selingkar Kenangan Abadi’. Dalam kolam ini terdapat beberapa jenis ikan peliharaan.
Jelas di sini ‘Gapura Sastera’ adalah salah satu warisan Melayu yang perlu dipelihara. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Tuan Haji Ismail Zamzam, Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, usaha telah dibuat untuk mewartakan rumah ‘Gapura Sastera’ ini sebagai salah satu bangunan warisan di bawah kelolaan YWJ. Seperti juga Memorial Dato’ Onn di Batu Pahat dan juga Memorial Usman Awang yang dalam proses pembinaannya di Kota Tinggi.

5 komentar:

dariana mengatakan...

salam. saya ikut berkunjung ke 'gapura satera' nukilan sdr. terima kasih kerana pelbagai maklumat yg sdr catat, saya terhutang budi maklumat walaupun tiaa kesempatan berkunjung ke GS itu.ternyata almarhum seorang pencinta budaya dan kesusasteraan melayu. catatan sdr boleh dipanjangkan ke Dewan Budaya berserta foto2.

sdr. saya ada mnerima buku puisi sdr dan rm15 itu, terima kasih atas sokongan. lumayan enak dan mengesankan bila saya selusuri Keris Sebilah Itu.

Tuan, saya akan kirimkan sebuah pemberian lagi buku puisi saya yg terbitan 2001 Racun Abadi buat mengisi koleksi buku2 simpanan sdr insyaAllah, selamat berkarya kerana allah.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,

Saya berkesempatan mengunjungi dan menemu bual Arwah Shaharom Husain sebanyak 3 kali pada tahun 2004-2005. Banyak khazanah persuratan yang penuh bernilai hasil koleksi Arwah terdapat dalam 'Gapura Sastera' ini. Pernah satu ketika dahulu dalam satu majlis rasmi, Kerajaan Negeri berhasrat memelihara dan memulihara khazanah tersebut... tetapi tiada perkhabaran selanjutnya.

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Shapiai: Beginilah nasib sasterawan/budayawan. Bila matinya bagai tidak mahu diambil peduli pemerintah. Walhal Pak Shahrom adalah salah satu permata bangsa Melayu. Sampai bila keadaan begini akan berlanjut dan mahu diambil peduli?

Maaf. Saya sekadar bertanya dan semakin memikirkan nasib sendiri atas nama Melayu.

Relevankah?

Marsli N.O

Citra Wangsa mengatakan...

Gapura Sastera sewajarnya diberi penghormatan sebagai salah satu tempat sejarah, warisan dan kesusteraan Melayu yang wajib dikunjungi para pelancong. YWJ mungkin boleh 'buat' sesuatu untuk ketengahkan perkara ini kpd kerajaan negeri.

Unknown mengatakan...

Terima kasih but artikel ni. memudahkan kerja kursus syaa