Inilah yang disyorkan oleh seorang penulis dalam sebuah ruangan khas dalam Berita Minggu, Singapura baru-baru ini. Mengapa harus berbalah tentang soal PPSMI itu? Katanya. Beliau menyatakan lihatlah kepada orang Melayu Singapura, yang sudah lama belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Tak ada masalah pun, malah beliau mengaku bahawa mereka juga dapat memajukan bahasa Melayu.
Daripada kenyataan beliau, nampaknya beliau dengan megah menyatakan bahawa orang Melayu Singapura tetap tidak mengabaikan bahasa Melayu. Soalnya di sini, benarkah bahasa Melayu sudah maju di Singapura? Berapa banyak buku-buku sastera yang telah dicetak dan diterbitkan di Singapura? Berapa banyak novel bermutu telah lahir di Singapura? Berapa banyak buku-buku sains dan matematik yang telah diterbitkan?
Kalau setakat menyatakan orang Melayu sudah maju dengan menggunakan bahasa Inggeris, tidaklah hebat. Itulah, kalau setakat hanya dapat mempertahankan sastera Melayu sahaja, tidaklah bermakna kita orang Melayu sudah maju. Kemajuan harus diukur melalui sejauh mana kita menerapkan ilmu moden dalam bahasa Melayu. Kalau setakat menyatakan ada orang Melayu Singapura berjaya menjadi doktor pakar, menjadi itu dan ini, bukanlah bermakna orang Melayu sudah maju dari segi bahasanya. Kita takut suatu hari nanti, bahasa Melayu akan menjadi seperti bahasa jawa, bahasa iban, bahasa banjar, bahasa boyan yang hanya menjadi bahasa ucapan seharian, malah semakin hari semakin pupus, kerana orang-orang Melayu sudah ada bahasa lain, iaitu bahasa Inggeris. Percayalah, hal ini tidak akan berlaku secara mendadak, tetapi akan berlaku secara perlahan-lahan, dari generasi ke generasi. Macam bahasa jawa dan banjar. Anak-anak orang jawa dan banjar sekarang sudah tidak mahir lagi bercakap bahasa ibunda mereka kerana bahasa tersebut sudah tidak diajar di sekolah-sekolah. Sudah tidak menjadi bahasa Ilmu. Contohnya sudah jelas , iaitu dengan tulisan jawi sendiri. Orang sekarang sudah tidak mahir menulis dan membaca jawi, kerana sudah ada tulisan lain yang menggantikannya. Sedikit demi sedikit tulisan jawi pupus, setelah semua mata pelajaran penting ditulis dalam tulisan rumi. Akhirnya tulisan Melayu berkubur di tangan orang Melayu sendiri.
Sebenarnya orang yang menentang PPSMI tidak menentang bahasa Inggeris. Malah, mereka mencadangkan agar pelajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan lagi, kerana bahasa Inggeris adalah bahasa Ilmu. Bila PPSMI dilaksanakan, kita sebenarnya telah menidakkan keupayaan bahasa Melayu dalam teknologi matematik dan sains. Orang Melayu Malaysia berharap anak-anak Melayu akan belajar matematik dan sains dalam bahasa Melayu hinggalah ke peringkat Universiti. Malah, kita berharap akan melahirkan pakar matematik Melayu dan saintis Melayu dan ribuan bijak pandai Melayu yang dapat menulis dalam bahasa Melayu. Hingga orang-orang luar negara akan datang belajar bahasa Melayu untuk mendapatkan ilmu di Malaysia. Seperti mana orang-orang Melayu terpaksa belajar bahasa Jepun untuk mendapatkan ilmu teknologi daripada orang-orang Jepun. Adakah orang Melayu yang pandai berbahasa Inggeris diterima belajar di Jepun? Sudah tentu tidak. Inilah kelebihnya jika kita cuba memajukan bahasa. Apakah orang-orang Jepun yang maju itu tidak pandai berbahasa Inggeris? Mereka juga punya kepakaran, sehingga dapat membawa balik maklumat terbaru orang Inggeris ke dalam bahasa mereka.
Ingat, jangan salah faham dengan Melayu boleh dengan bahasa Melayu boleh. Kita tidak mahu maju dengan hanya menguasai bahasa Inggeris, tetapi kita mahu maju dengan bahasa kita sendiri, iaitu bahasa Melayu. Saya percaya kalau Singapura terletak di kepulauan Tahiti atau Hawai , iaitu jauh dari nusantara, sudah lama orang Melayu akan kehilangan bahasanya, iaitu bahasa Melayu. Seperti apa yang berlaku di Afrika Selatan.
3 komentar:
Salam TUAN HAJI,
Ada perkara yang dapat kita contohi daripada penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Mereka menggunakan bahasa baku melalui media massa, dan mereka banyak belajar daripada kita. Namun begitu, pandangan bahawa orang Melayu Singapura maju kerana bahasa Inggeris adalah TIDAK TEPAT sama sekali kerana, siapa kata orang Melayu Singapura maju?
Saudara Azhar,
Sebenarnya dalam ruangan tersebut (Berita Minggu keluaran Singapura) menyatakan bahawa kita perlu belajar daripada mereka. Terutama dalam cara memajukan bahasa Melayu.
memetik keranji merasa manggis
melambak duku luruh bertabur
matematik sains berbahasa inggeris
gagal pelajarku, ramai yang mundur.
sorong papan tarik papan
rambutan durian di atas lori,
suruh ajarkan kami ajarkan
pelajaran tak maju gara2 menteri.
* terima kasih kerana menyimpan 3 buku puisi saya. teruskan berkarya keranan Allah.
Posting Komentar