Selasa, 03 Maret 2009

Katak di Bawah Tempurung

Datuk Dr. Hassan Ahmad dalam ruangannya di Dewan Masyarakat bulan ini, ‘Kaca di Jendela’ menyentuh tentang bahayanya orang Melayu jika diberi maklumat yang salah. Beliau menyatakan bahawa orang Melayu tidak didedahkan dengan kebenaran. Mereka diberitahu bahawa keputusan itu ( kita tahulah keputusan apa) bagus dan baik untuk kemajuan bangsa Melayu. Malah, ada pemimpin Melayu yang berkata bahawa orang Melayu yang menentang keputusan itu adalah golongan yang tidak mahu bangsanya maju. Padahal ini adalah tuduhan yang sama sekali tidak benar.
Ada akhbar Melayu yang menyiarkan dasarnya sebagai ‘penyebar suara rakyat’ atau ‘pembela kepentingan bangsa’ menyiarkan kenyataan membela keputusan itu dan menolak segala hujah menentangnya. Media aliran perdana itu semacam tidak berani menyiarkan kebenaran dan ghairah menyebarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak rasmi yang diketahui oleh kebanyakan orang sudah diputarbelitkan atau yang manipulatif.
Seterusnya beliau menyatakan akibatnya orang Melayu juga akan menjadi seperti katak di bawah tempurung, kerana maklumat yang diberi biasanya tidak berpaksikan kebenaran.
Alasan kemajuan inilah kadang-kadang disalah tafsir oleh kita. Misalnya bermobil besar itu bermakna ‘maju’. Akan lebih terus maju jika gunakan kereta import. Begitu juga bercakap menggunakan bahasa Inggeris tandanya kita sudah maju. Benarkah?
Saya masih ingat 30 tahun dahulu Pengetua saya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (MPSI), Muhammad Haji Salleh telah menggariskan beberapa ciri bangsa yang maju. Di antaranya ialah:
1. Menepati masa
2. Sanggup mengorbankan faedah jangka pendek demi faedah jangka panjang.
3. Bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekerjaan.
4. Sentiasa mempertingkatkan diri
5. Mementingkan ilmu.
Ada 12 semuanya, tiada satu pun yang menyatakan bahawa dengan menggunakan bahasa Inggeris akan menjadikan kita bangsa yang maju. Tetapi katanya, untuk mendapatkan ilmu kita kenalah belajar, tidak kira apa juga bahasa. Belajarlah bahasa Inggeris untuk menimba sebanyak-banyak ilmu, bukan untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian. Kita sudah ada bahasa kita sendiri. Gunakanlah sepenuhnya. Macamlah kita sudah ada kereta proton, wira, perdana, kancil dan banyak lagi. Gunakanlah. Kalau ada kekurangan pada produk kita itu kita harus pastikan bagaimana hendak membaiki dan mempertingkatkan kualitinya Ini tidak, awal-awal lagi kita marahkan pengguna kerana tidak mahu menggunakan produk buatan kita sendiri. Sedangkan kita sendiri tidak mahu berfikir bagaimanakah caranya untuk kita mempertingkatkan produk kita itu. Begitulah dengan bahasa. Awal-awal lagi kita sudah berasa rendah diri dengan menyatakan bahasa Melayu tidak mampu bersaing dengan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu tidak mampu digunakan dalam mata pelajaran matematik dan sains.

3 komentar:

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Shapiai: Saya memetik sesuatu dari tulisan Sdr.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli N.O!
Sebagai satu penghargaan kepada saya yang tidak sepertinya ini.

aniisma mengatakan...

Tuan,

Tuan jugalah yang membimbing kami, pelajar tua UiTM Johor...

Terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak.